Skip to main content

Singapura

SG-Afrika Selatan meterai perjanjian kerjasama ICT, pembangunan kemahiran

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura dan Afrika Selatan pada Selasa (16 Mei) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk bekerjasama dalam bidang-bidang seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pembangunan kemahiran.

MOU ICT itu akan memulakan kerjasama dalam bidan tersebut, termasuk pertukaran amalan-amalan terbaik dan melanjutkan kerjasama dalam aspek sedia ada, baru atau yang baru muncul, menurut Kementerian Ehwal Luar Singapura.

MOU pembangunan kemahiran pula akan mempertingkat kerjasama Singapura dengan Afrika Selatan dari segi pembangunan kemahiran, termasuk bidang pendidikan, tambah kementerian itu.

Kedua-dua Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa menghadiri majlis menandatangani MOU tersebut di Cape Town.

Perjanjian itu mengesahkan jalinan hubungan ekonomi yang kukuh antara Singapura dengan Afrika Selatan, kata PM Lee semasa taklimat di Tuynhuys, pejabat presiden Afrika Selatan.

"Hubungan dua hala kami sudah berkembang lebih 60 peratus sejak 2018. Kami menyumbang sekitar 13.5 bilion rand pelaburan di Afrika Selatan, yang bermakna hampir satu bilion dolar Singapura," tambah PM Lee.

PM Lee menarik perhatian bahawa terdapat banyak perniagaan Singapura yang berada di Afrika Selatan, dalam pelbagai industri dari agroperniagaan dan huraian-huraian bandar hingga pelayanan dan pengilangan.

Dengan Afrika Selatan menjadi rakan kerjasama "paling meluas" di Afrika, terdapat skop bagi pertumbuhan dan kerjasama lanjut ekonomi.

Satu delegasi perniagaan yang terdiri daripada 17 firma Singapura mengiringi PM Lee dan para pegawai pemerintah ke Afrika Selatan dan satu mesyuarat meja bundar kemudian diadakan dengan Encik Ramaphosa dan syarikat-syarikat lain Afrika Selatan untuk membincangkan peluang-peluang di negara itu.

Selain hubungan perniagaan, hubungan "yang amat penting" antara rakyat juga boleh diperluaskan lagi, ujar PM Lee.

Singapore Airlines menyediakan penerbangan langsung ke Johannesburg dan Cape Town, manakala lebih 1,000 pegawai Afrika Selatan sudah menyertai program-program pembangunan kapasiti di bawah Program Kerjasama Singapura (SCP).

Kerjasama Singapura-Afrika itu, termasuk keutamaan bagi penempatan, kursus-kursus yang disesuaikan serta biasiswa lepasan ijazah di Singapura, juga dilancarkan tahun lalu.

Sekalipun demikian, PM Lee berkata lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk memperkukuh ketersambungan antara Afrika Selatan dengan Singapura, sambil menambah bahawa lebih banyak khidmat penerbangan boleh ditawarkan, lebih banyak perdagangan dan pelaburan serta keterkaitan digital yang lebih kukuh.

PM Lee berkongsi bagaimana mendiang Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew pertama kali mengadakan lawatan ke Afrika Selatan pada 1992, dengan hubungan diplomatik dijalin setahun kemudian.


Pada 1997, mantan presiden Afrika Selatan Nelson Mandela mengadakan lawatan ke Singapura dan untuk memperingati lawatan beliau, sebuah pokok Cola raksasa didedikasikan untuk beliau.

PM Lee berkata pokok itu masih berdiri "tinggi dan kuat" sehingga hari ini dan menzahirkan keinginan beliau untuk melihat jalinan hubungan antara Afrika Selatan-Singapura ini terus mekar seumpama itu.

PM Lee juga mengundang Encik Ramaphosa ke Singapura lagi selepas lawatan terakhir pada 2016 sebagai timbalan perdana menteri pada waktu itu.

PM Lee akan ke Kenya, ibu kota Nairobi, pada Rabu (17 Mei), dengan lawatan beliau ke Afrika berakhir pada Jumaat (19 Mei).
Sumber : CNA/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita