SFA tarik balik penjualan semua empat produk coklat Kinder kerana mungkin tercemar salmonella
Gambar: Singapore Food Agency
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan arahan baru menarik balik empat produk coklat Kinder dari Belgium daripada pasaran. Ia termasuk semua kelompok tiga produk Kinder yang ditarik balik jualannya sebelum ini serta satu lagi produk tambahan disebabkan keprihatinan tentang pencemaran Salmonella.
Langkah itu diambil susulan amaran baru Penguasa Keselamatan Makanan Ireland, menurut SFA dalam satu kenyataan media pada Selasa (12 Apr).
Produk yang terjejas ialah Kinder Schokobons, Kinder Surprise Maxi, Kinder Mini Eggs dan Kinder Egg Hunt Kit.
Penarikan balik itu termasuk semua kelompok produk tersebut dan tarikh 'baik sebelum' luput, menurut SFA.
Agensi itu sudah mengarahkan lima pengimport - Kaimay Trading, Heinemann Asia Pacific, Focus Network Agencies, Walluco dan Le Petit Depot - untuk menarik balik produk yang terjejas.
Mereka yang telah makan produk berkenaan dan bimbang tentang kesihatan mereka harus mendapatkan nasihat perubatan, tambah SFA
Pengguna juga boleh menghubungi penjual atau pengimport bagi pertanyaan lanjut.
SFA sebelum ini mengarahkan penarikan semula beberapa kelompok Kinder Surprise, Kinder Surprise Maxi, Kinder Egg Hunt Kit dan Kinder Mini Eggs.
Minggu lalu, pihak berkuasa kesihatan Belgium mengarahkan kumpulan Itali Ferrero - yang menghasilkan coklat Kinder - untuk menggantungkan pengeluaran di kilangnya di Arlon, Belgium, selepas agensi kesihatan Eropah melancarkan siasatan ke atas berpuluh-puluh kes salmonella yang berpotensi dikaitkan dengan coklat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.