Skip to main content

Singapura

SFA tarik balik dua lagi produk susu formula kerana kandung toksin cereulide

Anggaran Waktu Membaca:
SFA tarik balik dua lagi produk susu formula kerana kandung toksin cereulide
 Sejak 8 Januari 2026, sebanyak 11 produk susu formula telah ditarik balik oleh Agensi Makanan Singapura kerana mengandungi toksin cereulide. (Gambar: iStock)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 15 Mar 2026 06:40PM Dikemas Kini : 16 Mar 2026 12:03PM

SINGAPURA: Dua produk susu formula telah ditarik balik kerana mengandungi toksin cereulide, kata Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada Ahad (15 Mac).

Toksin tersebut, yang boleh menyebabkan rasa mual dan muntah, ditemui dalam susu formula bayi Nestle NAN HA2 dan Susu Formula Kanak-kanak Organik Nature One Dairy, untuk kanak-kanak berumur lebih satu tahun.

Kelompok yang terjejas adalah:

- Nestle NAN HA2 (800g), kelompok 52750017C1 (dibuat di Switzerland)
- Nature One Dairy Premium Toddler Milk Formula - Stage 3, kelompok 326251110 (dibuat di Australia)
- Produk Nestle mempunyai tarikh luput pada 31 Okt 2027, manakala tarikh luput bagi produk Nature One Dairy ialah pada 10 dan 11 Nov 2027.

Sejak 8 Jan, sejumlah 11 produk susu formula - yang terdiri daripada produk Nestle NAN, Nature One Dairy dan Dumex Dulac - telah ditarik balik kerana mengandungi toksin tersebut.

SFA dan CDA menambah bahawa tiada kes baharu tentang individu yang mengalami gejala ringan yang mungkin berkaitan dengan pendedahan kepada cereulide selepas mengambil produk yang terjejas sejak kemas kini terakhir mereka mengenai kes tersebut pada 30 Januari. Mereka melaporkan tiga kes pada masa itu, dengan ketiga-tiganya sudah pulih.

"Buat masa ini, tiada ujian makmal klinikal muktamad yang tersedia untuk mengesahkan keracunan cereulide," kata pihak berkuasa.

"Agensi Penyakit Berjangkit sedang bekerjasama rapat dengan SFA dan sedang menjalankan pengawasan dengan karyawan perubatan untuk memantau potensi kes keracunan cereulide pada kanak-kanak."

Mereka yang telah membeli produk yang terjejas tidak harus memberinya kepada anak-anak mereka, dan mereka yang anaknya telah mengambil produk berkenaan dan tidak sihat harus segera mendapatkan nasihat perubatan, kata SFA dan CDA. Mereka menambah bahawa pengguna boleh menghubungi tempat di mana produk itu dibeli untuk sebarang pertanyaan produk.

Produk susu formula bayi import yang terlibat menyumbang kira-kira 5 peratus daripada bekalan import Singapura dan merupakan "segelintir" daripada keseluruhan produk susu formula bayi yang terdapat di negara ini, kata pihak berkuasa.

"Bagi produk susu formula yang terbabit, yang dikhususkan untuk kanak-kanak berumur lebih satu tahun, ia mewakili segelintir daripada keseluruhan bekalan pasaran, dengan pilihan alternatif tersedia," tambah mereka.

Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita