SFA tarik balik buah pic dibungkus syarikat AS yang mungkin ada kaitan salmonella
Arahan untuk menarik balik buah pic yang dibekalkan atau dibungkus oleh sebuah syarikat AS telah dikeluarkan kerana mungkin mempunyai kaitan dengan penularan salmonella di Amerika Syarikat, menurut Agensi Makanan Singapura pada Selasa (25 Ogos).
(Gambar: AS FDA)
SINGAPURA: Arahan untuk menarik balik buah pic yang dibekalkan atau dibungkus oleh sebuah syarikat AS telah dikeluarkan kerana mungkin mempunyai kaitan dengan penularan salmonella di Amerika Syarikat, menurut Agensi Makanan Singapura pada Selasa (25 Ogos).
Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) mengeluarkan arahan tarik balik itu pada Sabtu.
"Oleh kerana produk yang terjejas itu diimport ke Singapura, SFA sudah mengarahkan pengimport, Satoyu Trading, untuk menarik balik produk itu," menurut agensi tersebut, sambil menambah bahawa proses menarik balik sedang dilaksanakan.
Kesemua buah pic itu dibungkus atau dibekalkan oleh Prima Wawona atau Syarikat Pembungkusan Wawona, menurut SFA.
Buah-buah tersebut mungkin mempunyai pelekat dengan nombor-nombor tertera: 4037, 4038, 4044, 4401, 94037, 94038, 94044, 94401. Bagaimanapun, bukan semua buah pic yang mempunyai kod harga itu dibekalkan oleh Prima Wawona, menurut SFA.
"Para pengguna yang tidak pasti mengenai jenama atau jenis buah pic itu patut menghubungi peruncit masing-masing," menurutnya.
Pengambilan makanan yang dicemari dengan salmonella boleh menyebabkan salmonellosis dalam manusia, yang boleh mengakibatkan cirit-birit, demam, muntah-muntah dan sakit perut.
Agensi itu menambah bahawa mereka yang telah makan "produk terbabit" dan prihatin tentang kesihatan mereka sepatutnya mendapatkan nasihat perubatan.
Bagi butiran lanjut, pertukaran atau mendapat bayaran pulangan bagi produk-produk tersebut, para pelanggan boleh menghubungi pengimport Satoyu Trading di 9066 1290.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.