Skip to main content

Singapura

SFA tarik balik 'Arrowroot Biscuits' Gerber; berpotensi mengandungi cebisan plastik, kertas

Anggaran Waktu Membaca:
SFA tarik balik 'Arrowroot Biscuits' Gerber; berpotensi mengandungi cebisan plastik, kertas
Sebagai langkah berjaga-jaga, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan arahan untuk menarik balik tiga kelompok biskut  'Arrowroot Biscuits' Gerber. (Gambar: SFA)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengeluarkan arahan untuk menarik balik Arrowroot Biscuits Gerber selepas timbul kebimbangan mengenai kemungkinan kehadiran “bahan asing” dalam produk tersebut, khususnya cebisan plastik lembut dan kertas.

Langkah di Singapura ini menyusuli tindakan menarik balik produk itu secara sukarela oleh pengeluar produk itu di Amerika Syarikat, kata SFA pada Selasa (27 Jan).

Nestle Singapore, pengimport tempatan produk berkenaan, memaklumkan SFA mengenai langkah untuk menarik balik produk tersebut, dan SFA mengarahkan Nestle Singapore supaya menarik balik kelompok produk yang terjejas sebagai langkah berjaga-jaga, kata agensi itu.

“Langkah untuk menarik balik produk ini sedang dijalankan,” kata SFA.

Nestle merupakan syarikat induk Gerber.

Tiga kelompok biskut ditarik balik, iaitu:

Nombor 5209565504 (tarikh luput 27 Oktober 2026)
Nombor 5252565505 (tarikh luput 9 Disember 2026)
Nombor 5259565505 (tarikh luput 16 Disember 2026)

Di bawah Akta Penjualan Makanan, makanan yang diketahui tidak selamat untuk dimakan tidak boleh dijual.

SFA menasihati pengguna yang sudah membeli produk terjejas supaya tidak memberikannya kepada anak-anak mereka.

Ibu bapa yang anak mereka sudah memakan produk tersebut dan bimbang tentang kesihatan anak mereka digalakkan untuk mendapatkan nasihat perubatan, kata agensi itu.

“Pengguna boleh menghubungi kedai di mana mereka beli produk itu untuk mendapatkan maklumat,” tambah SFA.

Pada awal Januari, penjualan lima kelompok susu tepung formula bayi dan susu formula 'follow-on' Nestle NAN dihentikan di Singapura sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kemungkinan kehadiran cereulide, sejenis toksin yang boleh menyebabkan loya dan muntah.

Nestle mengeluarkan arahan untuk menarik balik produk terjejas di seluruh dunia, yang melibatkan Eropah, Afrika, benua Amerika dan Asia.

Dua lagi kelompok produk susu tepung formula bayi turut ditarik balik atas sebab yang sama, iaitu satu lagi kelompok susu tepung formula bayi Nestle NAN, serta satu kelompok susu tepung formula bayi Dumex.

Kesemua kelompok produk Nestle NAN yang ditarik balik dihasilkan di Switzerland, manakala kelompok susu tepung formula bayi Dumex yang ditarik balik dihasilkan di Thailand.

Jenama Dumex dimiliki oleh Danone.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita