SFA siasat Catering Solutions selepas aduan tentang makanan di dormitori Jalan Tukang
Agensi Makanan Singapura (SFA) hari ini (22 Okt) menyatakan bahawa ia sedang menyiasat syarikat Catering Solutions berkaitan makanan-makanan yang disediakan untuk para penghuni Domitori Westlite Jalan Tukang.
(Gambar: Weixin)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) hari ini (22 Okt) menyatakan bahawa ia sedang menyiasat syarikat Catering Solutions berkaitan makanan-makanan yang disediakan untuk para penghuni Domitori Westlite Jalan Tukang.
Ini selepas tersebarnya gambar-gambar yang diterbitkan dalam satu rencana online minggu lalu, menunjukkan serangga dan helaian rambut dalam bungkusan-bungkusan makanan.
Para pekerja di dormitori itu mengadu tentang mutu makanan yang disediakan sebuah syarikat katering luar selain kurangnya kebersihan dalam persediaan makanan tersebut.
Jumaat lalu (15 Okt), Sembcorp Marine menyatakan bahawa ia "sudah menegur syarikat katering itu" dan memohon maaf kepada para pekerjanya yang tinggal di dormitori tersebut.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, SFA menyatakan ia tidak menerima sebarang maklum balas daripada para penghuni Dormitori Westlite Tukang tentang makanan katering.
Agensi itu menarik perhatian pada Mei, ia bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk mengeluarkan kenyataan nasihat tentang keselamatan makanan kepada para pengendali dormitori dan majikan pekerja hijrahan.
"Pengendali/pengurus dan majikan diingatkan supaya hanya melantik syarikat katering yang berlesen dan menggalak para pekerja untuk mengamalkan kebersihan diri yang baik serta mematuhi tempoh luput makanan yang tertera pada label bungkusan makanan katering," menurut SFA.
Sejak 2019, SFA sudahpun mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas sekitar 20 syarikat makanan yang menyediakan makanan katering kepada dormitori-dormitori pekerja hijrahan. Ini termasuk surat amaran dan denda, dedah agensi itu.
"Kesemua tempat makan yang mendapat lesen SFA termasuk syarikat katering, wajib mematuhi keperluan kawal selia SFA. SFA menjalankan pemeriksaan kerap ke atas tempat-tempat makanan itu untuk memastikan ia mematuhi keperluan tersebut," tambah agensi itu.
SFA juga menyatakan kesemua syarikat katering berlesen tertakluk kepada syarat-syarat yang sama, tidak kira ia berkhidmat kepada siapa.
Ini termasuk melekatkan label tempoh luput makanan untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang berapa lama satu-satu makanan boleh disimpan sebelum dimakan.
Ia ditetapkan selama empat jam daripada waktu makanan yang sudah dimasak itu dibiarkan pada suhu zon bahaya, iaitu antara lima darjah Selsius dengan 60 darjah Selsius, sejak ia mula disiapkan untuk dimakan, menurut agensi itu.
Menurut lamannya, Catering Solutions menyediakan kotak bento yang direka khas untuk memastikan kesegaran makanan.
"Kotak bento kami direka khas kedap udara dan jika diperlukan, dibuang anginnya untuk menjamin kesegaran makanan dan mengelak pencemaran," menurut laman itu.
LAPORAN-LAPORAN BERKAITAN
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.