Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SFA nilai 16 spesies serangga bagi pengambilan manusia

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) tidak lama lagi mungkin membenarkan import dan penjualan serangga serta produk serangga untuk pengambilan manusia selain sebagai makanan haiwan.

Dalam kenyataannya pada Ahad (16 Okt), SFA menyatakan selepas "penilaian saintifik yang menyeluruh", ia berkemungkinan membenarkan "spesies-spesies serangga tertentu yang mempunyai sejarah pernah diambil oleh manusia" untuk dihidangkan sebagai makanan.

Sebanyak 16 spesies serangga sudahpun dinilai bagi pengambilan manusia, termasuk beberapa jenis cengkerik, belalang, kumbang, cacing, rama-rama, ulat sutera dan lebah madu.

Penternakan komersil serangga untuk pengambilan manusia dan sebagai makanan haiwan sudahpun dipromosikan oleh Pertubuhan Makanan dan Agrikultur sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut SFA.

Di Singapura, lebih 10 syarikat sudah menyatakan minat untuk mengimport produk makanan serangga atau penternakan serangga, tambah agensi tersebut.

SFA menekankan syarikat-syarikat yang berhasrat untuk mengimport atau menternak serangga bagi pengambilan manusia atau sebagai makanan haiwan perlu memenuhi syarat-syarat keselamatan makanan yang tertentu.

Ini termasuk mengemukakan bukti dokumentari bahawa serangga yang diimport diternak di "pusat yang diselia dengan kawalan keselamatan makanan" dan bahawa tiada patogen atau bahan cemar berbahaya digunakan semasa menternak atau memberi makanan kepada serangga tersebut.

Mereka yang ingin mengimport atau menternak spesies serangga yang belum pernah diambil oleh manusia perlu menjalankan dan menyerahkan penilaian keselamatan kepada SFA sebelum produk tersebut dibenarkan untuk dijual.

SFA menyatakan produk serangga tertakluk kepada ujian makanan dan keselamatan, seperti yang dilakukan ke atas semua makanan yang disediakan di Singapura.

"Makanan yang didapati tidak memenuhi syarat makanan dan keselamatan kami tidak akan dibenarkan untuk dijual," menurut SFA.

Agensi tersebut mempelawa orang ramai serta industri makanan dan makanan haiwan untuk memberikan maklum balas mengenai syarat-syarat import dan peraturan tambahan sebelum memperolehi lesen bagi serangga dan produk serangga.

Rundingan awam tersebut akan dijalankan sehingga 4 Disember.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan