Skip to main content

Singapura

SFA kesan 3 produk mengandungi bahan terlarang

Anggaran Waktu Membaca:
SFA kesan 3 produk mengandungi bahan terlarang

Bahagian depan dan belakang kotak paket B Solution Honey (Liquid). (Gambar: SFA)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 07:22AM
SINGAPURA: Suplemen madu yang mengandungi ubat preskripsi untuk merawat mati pucuk (erectile dysfunction) merupakan antara tiga produk yang didapati dicampur dengan bahan terlarang untuk digunakan dalam makanan.

Produk B Solution Honey (Liquid) didapati mengandungi tadalafil, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam kenyataan medianya pada Selasa (4 Ogos).

Tadalafil merupakan ubat preskripsi yang digunakan untuk merawat mati pucuk dan hanya boleh diambil di bawah pengawasan perubatan, menurut agensi itu.

Pembungkusan produk dari Malaysia itu memerlukan para pengguna untuk mengambil kandungan dalam paket itu bersama air.

Produk tersebut juga menyatakan bahawa ia dapat "meningkatkan tenaga" dan stamina.

Penggunaan tadalafil yang tidak wajar boleh mendatangkan bahaya dan meningkatkan risiko kesan sampingan yang serius, termasuk serangan jantung, angin ahmar, sakit kepala, migrain, degupan jantung yang tidak sekata dan priapisme, iaitu ereksi yang menyakitkan dan berpanjangan.

Ia juga boleh menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah sehingga mengancam nyawa bagi golongan yang mengambil ubat jantung, khususnya ubat-ubat yang mengandungi nitrat, tambah SFA.

SFA turut mengesan ubat steroid dexamethasone dalam Jus Tuan Haji 1921, iaitu produk dari Malaysia, serta sennosides dalam produk Shaio-Ge Xian Li 365 S1 Botanical Beverage Mix Barley Seedling Powder dari Taiwan.
Related article image
Sebotol Jus Tuan Haji 1921. (Gambar: SFA)
Related article image
Produk Shaio-Ge Xian Li 365 S1 Botanical Beverage Mix Barley Seedling Powder. (Gambar: SFA)
Dexamethasone digunakan untuk merawat pelbagai keadaan keradangan, dan kesan sampingannya termasuk penglihatan kabur, pertumbuhan bulu roma yang berlebihan, jerawat, gangguan haid, sakit kepala dan sindrom Cushing.

Menurut SFA, dos berlebihan bagi ubat tersebut juga boleh menyebabkan psikosis, halusinasi serta ketidakseimbangan elektrolit dan cecair dalam badan.

Sennosides pula digunakan untuk melegakan sembelit. Kesan sampingan yang lazim dialami termasuk sakit perut, kekejangan, cirit-birit dan paras kalium yang rendah dalam darah.

Agensi itu menyatakan penggunaan ubat tersebut bagi tempoh yang panjang boleh menyebabkan dehidrasi dan 'usus malas', iaitu keadaan di mana otot usus menjadi terlalu lemah sehingga mengurangkan kekerapan membuang air besar dan boleh menyebabkan keadaan sembelit yang berpanjangan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, SFA menyatakan ketiga-tiga produk itu kebanyakannya dijual menerusi platform e-dagang.

Menurut agensi tersebut, ia sudah bekerjasama dengan para penjual untuk mengeluarkan produk tersebut daripada senarai jualan dan mengeluarkan arahan supaya penjualan dihentikan dengan serta-merta.

Semakan Mediacorp pada sekitar pukul 10.00 malam pada Selasa mendapati masih terdapat beberapa penyenaraian B Solution Honey (Liquid) di platform e-dagang Lazada.

Mediacorp sudah menghubungi Lazada untuk mendapatkan komen.

SFA menasihatkan pengguna yang sudah membeli produk berkenaan supaya tidak memakannya, dan menggesa mereka yang mempunyai kebimbangan mengenai kesihatan mereka supaya mendapatkan nasihat perubatan.

"Para pengguna juga harus berwaspada dan menyedari risiko yang berkaitan dengan pengambilan makanan yang dibeli daripada sumber yang tidak dikenali atau tidak disahkan dan dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat lanjut sebelum membuat sebarang pembelian," menurut SFA.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan atau pembekalan produk-produk tersebut boleh menghubungi SFA menerusi laman webnya.
Sumber : CNA/AZ/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita