Skip to main content

Singapura

SFA 'kesali kekeliruan' dengan Jian Bo, paras tinggi asid sorbik temui dalam kuih pada April

Jian Bo menyatakan tiga produk yang terjejas dan dikenal pasti oleh agensi itu - chwee kueh, kuih lapis dan kuih ubi - tidak mengandungi asid Benzoik atau asid sorbik.

Anggaran Waktu Membaca:
SFA 'kesali kekeliruan' dengan Jian Bo, paras tinggi asid sorbik temui dalam kuih pada April

(Gambar: Facebook/Jian Bo Tiong Bahru Shui Kueh)

Diterbitkan : 30 Jul 2022 09:17AM Dikemas Kini : 30 Jul 2022 09:18AM
SINGAPURA: Paras tinggi asid sorbik ditemui dalam dua produk Jian Bo Tiong Bahru Shui Kueh semasa pemeriksaan dijalankan pada bulan April, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (29 Jul), meskipun agensi itu akur wujud kekeliruan berhubung penggunaan bahan tambahan dalam produk makanannya.

Jian Bo, yang didaftar sebagai Tiong Bahru Tian Bo Shui Kueh, adalah salah satu daripada sembilan pengeluar kuih yang digantung operasi oleh SFA awal minggu ini disebabkan penggunaan tidak betul bahan tambahan makanan.

Jian Bo pada Rabu menyangkal dapatan SFA. Pihaknya menyatakan di Facebook bahawa tiga produk yang terjejas dan dikenal pasti oleh agensi itu - chwee kueh, kuih lapis dan kuih ubi - tidak mengandungi asid Benzoik atau asid sorbik.

Pihaknya mengumumkan pada Khamis bahawa penggantungan itu sudahpun ditarik balik selepas SFA menyemak laporan ujian makmal.

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Jumaat, SFA menyatakan pihaknya menghubungi Jian Bo pada 12 April selepas perniagaan makanan itu memohon maklumat sama ada asid sorbik dibenarkan.

"SFA memaklumkan (Tiong Bahru Tian Bo Shui Kueh) bahawa asid sorbik dibenarkan dalam produk kuih, sehingga had maksimum yang dibenarkan sebanyak 1,000ppm.

"Ini tidak betul kerana asid sorbik hanya dibenarkan dalam inti kuih dan bukan kuih," jelas SFA, sambil menambah perniagaan itu dimaklumkan pada 20 April tentang peraturan makanan yang ditetapkan berhubung bahan pengawet itu.

Di bawah Peraturan Makanan Singapura, penggunaan asid benzoik dan asid sorbik tidak dibenarkan dalam produk kuih, kecuali intinya. Jika ia digunakan dalam inti, ia tidak boleh melebihi had maksimum yang dibenarkan pada 1,000ppm.

PARAS TINGGI ASID SORBIK

Sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan berterusannya, SFA menyatakan pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas Jian Bo pada 19 April.

Sampel chwee kueh, kuih lapis dan kuih ubi diambil bagi ujian makmal.

"Meskipun wujud kekeliruan berhubung penggunaan asid sorbik yang dibenarkan dalam produk kuih, kami mendapati dua produk (kuih lapis dan kuih ubi) mengandungi paras tinggi asid sorbik melebihi had 1,000 ppm.

"Memandangkan ini tidak mematuhi keperluan keselamatan makanan, dan selepas siasatan dijalankan, SFA pada 26 Jul menggantung pengeluaran, pengedaran dan penjualan produk-produk terjejas dari Tiong Bahru Tian Bo Shui Kueh," kata agensi tersebut.

Pada 27 Jul, pengeluar kuih itu menyedikaan keputusan ujian yang dijalankan makmal pihak ketiga yang bertauliah.

SFA menyatakan keputusan itu menunjukkan pengeluaran Jian Bo sekarang ini bebas asid sorbik. Berdasarkan keputusan yang diterima, agensi itu menyatakan pihaknya menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas syarikat itu memandangkan langkah-langkah sudah dilaksanakan, selaras dengan Peraturan Makanan Singapura.

Agensi tersebut menambah pihaknya akan menyemak prosedur dalaman bagi memastikan keperluan keselamatan makanan dimaklumkan dengan tepat kepada pengeluar makanan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita