Skip to main content

Singapura

SFA gantung operasi Hensin Food setelah serangan lipas ditemui di tempat penyediaan makanan

Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan agar operasi syarikat pengilang dan pemborong tauhu, Hensin Food, digantung setelah terdapat serangan lipas di kawasan penyediaan makanan syarikat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
SFA gantung operasi Hensin Food setelah serangan lipas ditemui di tempat penyediaan makanan

Petikan dari Google Maps.

Diterbitkan : 20 Jan 2022 07:33PM

SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan agar operasi syarikat pengilang dan pemborong tauhu, Hensin Food, digantung setelah terdapat serangan lipas di kawasan penyediaan makanan syarikat itu.

Arahan penggantungan itu, yang berkuat kuasa Khamis (20 Jan) hingga makluman lanjut, dikeluarkan menyusuli satu pemeriksaan di premis syarikat itu di 151 Pandan Loop pada Rabu (19 Jan).

Premis itu juga didapati berada dalam keadaan "kotor dan tidak disenggara dengan baik", menurut SFA.

"Atas kepentingan kesihatan awam, SFA mengarahkan pemegang lesen itu supaya memperbetulkan kelemahan dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memperbaiki amalan keselamatan makanan dan kebersihan premisnya," menurut SFA.

Sebagai langkah berjaga-jaga, ia juga mengarahkan syarikat itu supaya membuang semua tauhu yang dihasilkan pada hari pemeriksaan dijalankan.

Tiada sebarang produk-produk makanan yang terjejas diedarkan mahupun disediakan sebagai jualan, tambahnya.

"Keselamatan makanan merupakan tanggungjawab bersama kerana makanan boleh dicemari di mana-mana sahaja sepanjang rantaian makanan," menurut SFA.

"Walaupun SFA terus mengawasi keadaan dengan rapi dan berusaha untuk memastikan langkah-langkah pengawalseliaan dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan betul, pihak industri dan pengguna juga mesti memainkan peranan masing-masing."

SFA mengingatkan para pengendali makanan supaya memastikan premis mereka bersih dan diuruskan dengan baik. Ini di samping memastikan kakitangan menerima latihan sewajarnya dalam pengurusan keselamatan makanan yang betul.

"SFA akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan atau memenuhi keperluan keselamatan makanan," menurutnya lagi.

Para pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$10,000, dihukum penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita