Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SFA arah tarik balik kek bulan Mao Shan Wang keluaran My Mum's Cookies

Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan supaya kek bulan My Mum’s Cookies Premium Mao Shan Wang Snowskin Mooncakes ditarik balik kerana ia mengandungi E coli di dalam produknya.

Anggaran Waktu Membaca:
SFA arah tarik balik kek bulan Mao Shan Wang keluaran My Mum's Cookies

SFA mengesan bakteria E coli di dalam produk kek bulan keluaran My Mum’s Cookies Premium Mao Shan Wang Snowskin Mooncakes. (Gambar: SFA)

Diterbitkan : 29 Aug 2022 09:32PM Dikemas Kini : 29 Aug 2022 10:51PM
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan supaya kek bulan My Mum’s Cookies Premium Mao Shan Wang Snowskin Mooncakes ditarik balik kerana ia mengandungi E coli di dalam produknya.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin (29 Ogos), SFA menyatakan ia mengesan E coli pada paras yang "melebihi had mikrob" bagi makanan sedia dimakan di dalam produk tersebut, seperti dinyatakan dalam Peraturan Makanan Singapura.

Produk yang terjejas adalah kek bulan My Mum's Cookies Premium Mao Shan Wang Snowskin Mooncake (Vegan) dengan nombor kelompok 23GBB-400 dan mempunyai tarikh luput 31 Disember 2022. Ia merupakan produk keluaran Malaysia.

Sebagai langkah berjaga-jaga, SFA sudah mengarahkan pengimport Easy Mix supaya menarik balik produk yang terjejas dan langkah tersebut masih sedang dijalankan.

Di bawah Peraturan Makanan Singapura, seorang individu dilarang mengimport, menjual, mengeluarkan atau menghasilkan untuk penjualan, sebarang makanan sedia dimakan yang "tidak mematuhi mana-mana piawai mikrobiologi yang dinyatakan dalam Jadual Kesebelas, terang SFA.

E coli adalah sejenis bakteria yang lazimnya dikesan dalam usus manusia dan haiwan. Walaupun kebanyakan spesies bakteria itu tidak berbahaya, sesetengah jenis boleh menyebabkan cirit-birit, sakit perut, kekejangan dan demam.

Individu mudah terjejas yang mempunyai sistem imun lemah mungkin mengalami gejala yang lebih teruk, tambah SFA.

Patogen bawaan makanan seperti E coli boleh diperkenalkan semasa proses pengeluaran makanan apabila berlaku pencemaran silang, terutama sekali apabila kebersihan tangan yang baik tidak diamalkan.

"Pengguna yang sudah membeli produk terjejas itu tidak harus mengambilnya," nasihat SFA.

Ia menambah pengguna yang sudahpun mengambil produk terjejas itu dan berasa bimbang akan kesihatan diri mereka seharusnya mendapatkan nasihat doktor.

Pengguna juga boleh menghubungi kedai di mana mereka membeli produk tersebut bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan