SFA arah tarik balik 2 produk mi segera Mie Sedaap ekoran kewujudan racun perosak
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) hari ini (6 Okt) menarik balik dua produk di bawah jenama mi segera Mie Sedaap selepas didapati mengandungi etilena oksida, iaitu racun perosak yang tidak dibenarkan digunakan dalam makanan.
SFA sudahpun mengarahkan Sheng Sheng F&B Industries supaya menarik balik mi segera jenama Mie Sedaap berperisa Korean Spicy Soup dan produknya berperisa Korean Spicy Chicken. Langkah menarik balik produk-produk terjejas itu masih dijalankan.
Penarikan balik itu menjejas mi segera Mie Sedaap Korean Spicy Soup, dengan tarikh luput pada 17 Mac 2023 dan mi segera Mie Sedaap Korean Spicy Chicken dengan tarikh luput pada 21 Mei 2023.
Kedua-dua produk berkenaan datang dari Indonesia.
Berikutan pengesanan etilena oksida dalam dua produk aiskrim Haagen Dazs pada Ogos 2022, SFA meneliti produk makanan lain, termasuk mi segera.
SFA sedang meneruskan ujian kawal selia ke atas produk-produk mi segera Mie Sedaap.
Ia juga sedang bekerjasama dengan pengimport dan pihak berkuasa Indonesia untuk menjalankan siasatan dan membetulkan punca pencemaran etilena oksida.
Tambah SFA lagi, sekirannya etilena oksida yang dikesan melebihi tahap maksimum yang ditetapkan, agensi tersebut akan memulakan penarikan balik produk-produk terjejas sebagai langkah berjaga-jaga.
"Meskipun tiada risiko segera kepada pengambilan makanan yang tercemar dengan paras rendah etilena oksida, pendedahan jangka panjang boleh menyebabkan isu kesihatan," menurut SFA dalam sebuah kenyataan media.
Agensi tersebut bertegas bahawa pendedahan kepada etilena oksida "perlu dikurangkan sebanyak mungkin".
SFA menasihatkan pengguna yang membeli produk-produk terjejas supaya tidak memakannya.
Agensi itu juga menasihatkan mereka yang sudah memakan produk terjejas itu dan mempunyai keprihatinan mengenai kesihatan mereka supaya mendapatkan nasihat perubatan.
Para pengguna juga boleh menghubungi tempat di mana produk tersebut dibeli, untuk mengemukakan pertanyaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.