Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SFA arah 3 produk puri & bijirin bayi ditarik balik kerana kandungan tinggi bahan arsenik

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) telah mengarahkan tiga produk bayi ditarik balik setelah ia didapati mengandungi lebih daripada had maksimum arsenik yang ditetapkan Peraturan Makanan Singapura.

Produk tersebut termasuk 'Wen’s Baby Cereal Puree Whitebait and Pumpkin', 'Wen’s Baby Cereal Puree Whitebait and Purple Sweet Potato' dan 'Holle Organic Wholegrain Cereal Rice'.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin (15 Mei).

Bekalan produk 'Wen’s Baby Cereal Puree' dihasilkan di Singapura dan mempunyai tarikh luput 15 September 2023, manakala bagi produk 'Holle Organic Wholegrain Cereal Rice' dari Jerman mempunyai label dengan tarikh guna sebelum 20 Januari 2024.

SFA mengarahkan pengeluar Naoki Trading dan pengedar Chadil untuk menarik balik bekalan produk yang terjejas.

Arsenik adalah bahan logam berat yang terdapat secara semulajadi di kerak bumi dan di alam sekitar.

"Pengambilan arsenik dalam jangka panjang boleh menyebabkan barah dan perubahan pada kulit," nyata SFA. "Lantaran itu, pendedahan menerusi makanan, terutama sekali yang dikhususkan untuk kanak-kanak kecil, seharusnya pada kadar serendah mungkin."

Tambah SFA, tahap arsenik dalam makanan bayi tidak seharusnya melebihi had maksimum 0.1ppm.

"Bagi membendung pendedahan kepada arsenik, pengguna dinasihati supaya memberi bayi mereka diet yang seimbang dengan pelbagai pilihan makanan," menurut agensi tersebut.

SFA mengawal selia produk makanan, termasuk makanan bayi, bagi memastikan keselamatan makanan.

"Ia tertakluk kepada program pemeriksaan dan pemantauan SFA, yang berasaskan penilaian risiko saintifik," tekannya.

Produk makanan yang tidak mematuhi peraturan keselamatan makanan, tidak akan dibenarkan dijual di Singapura.

Ia menasihati pengguna yang telah membeli produk terbabit, agar jangan memberinya kepada anak mereka. Mereka yang mempunyai anak yang sudah memakan produk tersebut dan bimbang mengenai kesihatan anak-anak mereka, patut berjumpa dengan doktor.

Pengguna boleh menghubungi tempat di mana mereka membeli produk itu untuk sebarang pertanyaan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan