SFA akan berusaha kurangkan kesan import ayam M'sia
(Gambar: AFP /Jimin LAI)
SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan pada Isnin (23 Mei) bahawa ia sedang berusaha untuk mengurangkan kesan bekalan ayam selepas Malaysia mengenakan sekatan pada eksport daging haiwan tersebut.
Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan akan dihentikan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil di negara itu.
"Keutamaan kerajaan adalah rakyat kita sendiri," kata Encik Ismail Sabri dalam kenyataannya.
Dalam catatan Facebooknya, SFA menyatakan bahawa sekitar 34 peratus daripada import ayam Singapura pada 2021 adalah dari Malaysia. Hampir kesemua ayam diimport hidup-hidup yang kemudian disembelih dan dibekukan di Singapura.
Sumber-sumber utama ayam termasuk Brazil (49 peratus) dan Amerika Syarikat (12 peratus).
"SFA sedang memantau keadaan import dari Malaysia dengan teliti dan akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan, seperti para pengimport untuk mengurangkan kesannya terhadap bekalan ayam kita," menurut SFA.
"Sebagai contoh, ia akan mengaktifkan rantaian bekalannya untuk meningkatkan import ayam beku daripada sumber-sumber alternatif, meningkatkan import ayam beku daripada pembekal sedia ada yang bukan dari Malaysia, atau mendapatkan bekalan hasil ternakannya."
Agensi itu turut menggesa para pembeli supaya bersikap terbuka untuk menukar pilihan, seperti membeli ayam beku.
"Walaupun mungkin terdapat gangguan buat sementara waktu pada bekalan ayam, pilihan ayam beku kekal tersedia bagi menangani kekurangan bekalan," menurut SFA.
"Kami amat menggalakkan para pembeli supaya memainkan peranan mereka dengan bersikap terbuka untuk menukar pilihan makanan (seperti membeli ayam beku) serta sumber produk daging yang lain. Kami juga menasihatkan para pembeli supaya hanya membeli apa yang diperlukan saja."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.