Sezairi Sezali, artis S'pura pertama capai 100 juta penstriman di Spotify

Gambar: Sony Music Entertainment Asia Pacific
SINGAPURA: Penyanyi tempatan, Sezairi Sezali, membuat pengumuman besar pada awal minggu ini. Dalam satu catatan di media sosial pada Isnin (7 Mac), Sezairi menulis bahawa dia menjadi "artis Singapura yang pertama untuk mencapai 100 juta penstriman di Spotify bagi lagunya berjudul It's You."
Lagu tersebut dikeluarkan sebagai lagu single pada 2018 dan juga dimasukkan ke dalam EPnya berjudul Undertones, pada 2020.
Ia menarik perhatian pada 2021, menerusi TikTok dan kemudian menjadi salah satu lagu yang menjadi tular dalam aplikasi itu dan dimasukkan dalam Spotify’s Global Viral 50, sebuah carta yang menyenaraikan lagu-lagu yang menjadi trend di merata dunia.
Dalam catatan instagramnya, Sezairi berkongsi bahawa lagu tersebut "ditulis dengan tujuan untuk mengubah hidupnya menjadi seorang kekasih, suami dan orang lebih baik."
"Untuk melihat lagu itu juga begitu bermakna kepada anda semua, mengembalikan semula kepercayaan saya pada keindahan muzik," tambahnya.
Sezairi yang berusia 34 tahun juga mengucapkan terima kasih kepada peminatnya "kerana berkongsi kasih sayang mereka melalui pandangan dan kata-kata yang menjadi pencetus positif untuk saya."
Menurut syarikat rekod Sezairi, Sony Music Entertainment, lagu "It's You" mencapai platinum sebanyak enam kali di Singapura, Malaysia dan Indonesia, serta emas di Taiwan.
Bekas pemenang Singapore Idol (2009) itu, turut menerima ucap tahniah daripada bintang tempatan termasuk Benjamin Kheng dan Gentle Bones.
Penyanyi Imran Ajmain, juga menunjukkan sokongannya, sambil memberi komen "yay" dengan emoji tepukan tangan.
Selain curahan ucapan tahniah, peminatnya juga berkongsi bagaimana mereka amat menyukai lagu itu, dengan salah seorang berkata menyatakan, "ini adalah salah satu lagu paling digemari dalam senarai lagu saya".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.