Skip to main content

Singapura

SEZ Johor-SG bakal perlukan banyak tenaga; tenaga nuklear mungkin kunci projek

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menjadi projek penting untuk kerjasama industri dan ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
SEZ Johor-SG bakal perlukan banyak tenaga; tenaga nuklear mungkin kunci projek

Gambar fail Koswe Johor-Singapura. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

Diterbitkan : 12 Jun 2025 04:47PM Dikemas Kini : 12 Jun 2025 04:49PM
SINGAPURA: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan menjadi projek penting untuk kerjasama industri dan ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Apa yang diperlukan oleh koridor ekonomi baharu ini ialah tenaga bebas karbon yang stabil dan beroperasi 24/7, menurut Dr Victor Nian dari Pusat bagi Tenaga dan Sumber Strategik.

Kedua-dua negara menghadapi cabaran tenaga yang boleh menjejas daya maju jangka panjang JS-SEZ.

Ia merupakan peluang untuk kerjasama strategik nuklear.

Singapura sangat bergantung kepada gas asli yang diimport untuk elektrik, mendedahkannya kepada harga yang tidak menentu dan risiko bekalan.

Ia bertujuan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, tetapi permintaan elektrik dijangka meningkat sebanyak 3 peratus hingga 5 peratus setiap tahun.

Malaysia bercadang untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 40 peratus menjelang 2035, tetapi ketidaktetapan (sejauh mana bekalan boleh dijana secara konsisten) adalah mencabar pada skala besar, jelas Dr Victor Nian.

Huraian tenaga bersih sedia ada juga tidak dapat mengikuti sektor yang intensif tenaga seperti pengilangan berat dan pusat data yang menjadi sasaran JS-SEZ.

Tenaga solar turut tidak dapat memberikan kebolehpercayaan 24 jam sehari walaupun dengan penyimpanan tenaga bateri, manakala hidrogen adalah mahal dan tidak mempunyai infrastruktur dan peraturan yang berpatutan untuk aplikasi dalam industri besar.

Tenaga nuklear, sebaliknya, menawarkan huraian yang lebih realistik, kata Dr Victor Nian.

Ia terbukti dapat menyediakan elektrik beban asas yang boleh dipercayai dengan pelepasan sifar, seperti di Perancis, Sepanyol, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

TENAGA NUKLEAR SEBAGAI LANGKAH STRATEGIK

Menyepadukan kerjasama tenaga nuklear ke dalam rangka kerja JS-SEZ akan menawarkan pelbagai manfaat.

JS-SEZ boleh menggabungkan ketersediaan tanah dan kesediaan peraturan Malaysia dengan keupayaan pembiayaan Singapura dan niat untuk mengimport tenaga bersih dari rantau ini, menurut Dr Victor Nian.

Malaysia dan Singapura sudah mempunyai penyambung elektrik yang membolehkan tenaga dipindahkan antara dua grid negara.

Ia kini digunakan untuk mengimport elektrik boleh diperbaharui dari Laos ke Singapura, dan dari Malaysia ke Singapura, dengan kapasiti yang tersisa untuk menjana lebih banyak.

Terdapat juga peluang untuk pemindahan teknologi kolektif dan pembangunan rantaian bekalan.

Jepun, Korea Selatan dan China telah memperkukuhkan industri nuklear domestik, mewujudkan pekerjaan berkemahiran dan pilihan eksport baharu, melalui perkongsian dengan negara-negara nuklear yang mantap.

JS-SEZ boleh melakukan perkara yang sama untuk Malaysia dan Singapura.

Pembangunan bakat sudah dinyatakan sebagai matlamat JS-SEZ. Tenaga nuklear memerlukan tenaga kerja yang sangat berkemahiran dan berpendidikan tinggi.

Kedua-dua Malaysia dan Singapura mempunyai keupayaan dan motivasi untuk membentuk program latihan akademik dan vokasional yang menyokong sektor tenaga nuklear, kata Dr Victor Nian.

Projek nuklear bersama juga akan meletakkan Singapura dan Malaysia sebagai pemimpin ASEAN dalam bidang kerjasama nuklear awam, yang akan membentuk masa depan rantau ini dan mendorong pelaburan antarabangsa.

BERALIH DARIPADA KONSEP KEPADA REALITI

Kerjasama luar biasa seperti ini tidak mudah untuk dilaksanakan. Namun terdapat laluan yang jelas untuk mencapai kejayaan yang membina hubungan sedia ada antara kedua-dua negara dan usaha-usaha yang lalu.

Reaktor Modular Kecil (SMR) khususnya, amat meyakinkan. Ia lebih selamat, lebih fleksibel dan memerlukan pelaburan modal yang lebih rendah berbanding reaktor berskala besar tradisional, seperti yang dilihat di negara-negara yang telah menggunakan atau sedang giat mengejar penggunaan SMR.

Singapura dan Malaysia berpeluang untuk meraih manfaat daripada kepakaran dan pengalaman mereka.

Satu lagi langkah penting adalah untuk membangunkan rangka kerja pemilikan dan tadbir urus yang telus. Pembiayaan melalui perkongsian awam dan swasta sesuatu yang munasabah, dalam konteks JS-SEZ, menurut Dr Victor Nian.

Malah amalan terbaik antarabangsa menunjukkan bagaimana untuk mengimbangi risiko dengan ganjaran sambil memastikan pematuhan ketat terhadap peraturan.

Yang paling penting, pasukan petugas dua hala boleh menilai kebolehlaksanaan kemudahan nuklear bersama dan menangani kebimbangan mengenai keselamatan, keamanan dan perlindungan nuklear.

Pasukan petugas menyediakan platform untuk bersama-sama melibatkan semua pihak berkepentingan, terutamanya rakan strategik antarabangsa.

Ini adalah penting: Pelibatan dengan negara-negara nuklear yang mantap, serta pertubuhan teknikal bebas, pakar dan kumpulan pemikir adalah perlu untuk kejayaan.

Pendekatan ekosistem ini akan meningkatkan akses Malaysia dan Singapura kepada teknologi terkini dan memaksimumkan manfaat ekonomi, sosial dan alam sekitar.

LANGKAH BERANI UNTUK MASA DEPAN

Terdapat langkah-langkah yang boleh diambil oleh kedua-dua negara di pihak masing-masing juga.

Singapura, sebagai pusat kewangan global, boleh mengutamakan rangka kerja dasar dan pelaburan mampan untuk membolehkan projek nuklear merentas sempadan, diikuti dengan dana pelaburan khusus, jelas Dr Victor Nian.

Ia boleh mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan peraturan untuk singkatkan tempoh persediaan bagi kesediaan nuklear.

Keperluan untuk pertubuhan pelaksanaan program tenaga nuklear Singapura (NEPIO) akan muncul dengan cepat.

MyPOWER, di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, telah ditugaskan sebagai NEPIO negara.

Singapura juga boleh mengembangkan program pendidikan dan latihan untuk mewujudkan kumpulan bakat dalam dekad akan datang, menjadikan saintis, jurutera, pembuat dasar, serta profesional kewangan dan undang-undangnya sebagai pemimpin dalam bidang ini, kata Dr Victor Nian.

Malaysia boleh memberi tumpuan kepada dasar tenaga nuklear. Mewujudkan pelan tindakan yang jelas untuk penggunaan tenaga nuklear yang merangkumi JS-SEZ adalah perlu untuk memudahkan keyakinan.

Malaysia juga boleh membina kekuatan Agensi Nuklear Malaysia untuk membantu menjadikan negeri Johor sebagai hab serantau untuk perkhidmatan tenaga nuklear yang menarik syarikat teknologi dan kejuruteraan antarabangsa serta mempromosikan rantaian bekalan tempatan yang menyokong industri nuklear.

FAKTOR AWAM

Seperti semua perbincangan mengenai tenaga nuklear - dan dengan sebab yang munasabah - banyak perhatian diperlukan untuk menangani sensitiviti sosial dan politik domestik serta pertimbangan geopolitik.

Kedua-dua negara harus bekerjasama untuk menangani kebimbangan awam mengenai keselamatan nuklear dan pengurusan sisa. Sekali lagi, terdapat contoh antarabangsa yang boleh diikuti, menurut Dr Victor Nian.

Korea Selatan dan Finland melibatkan warga mereka untuk membina sokongan untuk penggunaan nuklear.

Usaha Singapura-Malaysia juga perlu secara proaktif telus dalam komunikasi dan memulakan perundingan awam dan inisiatif pendidikan untuk membantu membentuk sikap awam.

Singapura dan Malaysia boleh mengambil langkah berani ke arah kerjasama nuklear, memastikan masa depan yang berdaya tahan dan rendah karbon untuk JS-SEZ dan seterusnya.
Sumber : CNA/AT/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita