Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sewa tinggi, persaingan sengit; peniaga Bazar Geylang Serai terkapai-kapai raih untung

Anggaran Waktu Membaca:
Sewa tinggi, persaingan sengit; peniaga Bazar Geylang Serai terkapai-kapai raih untung

(Gambar: CNA/Abigail Ng)

Diterbitkan : 06 Apr 2023 12:18PM Dikemas Kini : 06 Apr 2023 12:19PM

SINGAPURA: Penjual kebab, Encik Hassan, berkata pada Rabu (5 Apr) beliau menyesal menyewa sebuah gerai di bazar Ramadan Geylang Serai tahun ini.

"Kami semua kerugian. (Kami) tidak dapat menampung kos, bahkan tidak dapat menampung kos sewa," keluh pemilik Hasan Istanbul Kebab kepada Mediacorp sambil menunjuk ke arah gerai-gerai yang terletak sederet dengannya.

Di sebuah gerai bersebelahan yang menjual burger Ramly, seorang pekerja yang enggan mendedahkan namanya turut berkongsi sentimen serupa.

"Kami menyesal ambil (gerai) tahun ini," katanya. "Ia baik-baik sahaja pada tahun-tahun sebelumnya."

Encik Hasan mengeluarkan wang sekitar S$25,000 untuk membiayai kos sewa, manakala pengendali gerai bersebelahan dengannya membayar S$20,000.

Terdapat aduan mengenai kos sewa yang melambung tinggi di bazar Ramadan Geylang Serai sejak ia bermula pada 17 Mac lalu.

Selain kos sewa gerai di bazar, beberapa pemilik gerai berkongsi bahawa jumlah pengunjung tahun ini lebih rendah, dengan mengaitkan keadaan itu berkemungkinan disebabkan bazar-bazar lain yang sedang berlangsung di merata Singapura.

Dahulu, hanya tiga atau empat bazar diadakan semasa bulan Ramadan, kata Encik Muhd Ridzuan yang mengendalikan sebuah gerai menjual burger dan kudapan goreng.

Ketika itu, beliau menyaksikan orang ramai sudah mula beratur panjang seawal jam 4.00 petang lagi.

Tahun ini, beliau menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya lapan atau sembilan bazar yang berlangsung serentak.

Menurut hantaran media sosial oleh penganjur- penganjur bazar, terdapat pasar malam yang sedang berlangsung di Bedok, Jurong East, Tampines, Punggol dan tempat-tempat lain semasa tempoh ini.

Encik Ridzuan meluahkan harapan agar lebih ramai pelanggan akan mengunjungi Bazar Geylang Serai setelah bazar di Kampong Gelam tutup pada 16 April nanti.

Penasihat Utama Wisma Geylang Serai (WGS),
Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, menarik perhatian dalam satu catatan di Instagramnya pada Selasa (3 Apr) bahawa jumlah pengunjung ke bazar tersebut mencecah lebih dua juta orang.

<<BACA: Lebih 2 juta orang kunjungi Bazar Geylang Serai>>

"Kami sudah pun bersedia untuk mencatat jumlah terbesar pengunjung yang datang ke (satu-satu) bazar Ramadan di Singapura," kata Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri.

Terdapat 700 gerai tersedia untuk disewa di bazar Geylang Serai tahun ini tetapi hampir 200 gerai masih lagi kosong setakat 21 Mac.

GERAI "SERUPA"

Para penganjur bazar tersebut – S-Lite Event Support, Enniche Global Trading dan TLK Trade Fair and Events – menyatakan mereka menghadkan bilangan gerai menjual burger Ramly serta kebab yang popular dan bahkan memastikan gerai-gerai berkenaan berpecah-pecah di merata bazar tersebut.

Pihak penganjur pada Selasa menyatakan daripada 150 gerai di bawah kategori makanan dan minuman,terdapat 20 gerai yang menjual "produk premium".

Mereka menambah bahawa sekalipun setelah meletakkan had dan gerai-gerai tersebut berpecah-pecah di merata bazar itu, masih boleh terdapat lebih daripada satu gerai menjual burger Ramly dan kebab dalam sebuah zon tertentu.

Kenyataan tersebut menambah bahawa vendor yang ingin menjual burger Ramly dan kebab di bazar itu sudahpun dimaklumkan tentang hal demikian.

Sungguhpun begitu, sesetengah pemilik gerai berpendapat bahawa pihak penganjur tidak mengambil langkah yang mencukupi dalam menangani hal berkenaan.

Mereka berkata kehadiran gerai menjual produk serupa menjadikannya sukar untuk menampung kos operasi.

Apabila ditanya sama ada beliau mampu mendapatkan pulangan modal, Encik Ridzuan menjawab: "Saya rasa boleh tetapi cuma (keuntungan) sedikit saja, mungkin 10 peratus."
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan