Sewa hartanah wakaf perlu ikut kadar pasaran bagi lindungi hak penerima: MUIS
Singapura: Kadar sewa hartanah wakaf perlu selaras dengan kadar pasaran bagi memastikan hasilnya terus memberi manfaat kepada golongan penerima yang telah ditetapkan pewakaf.
Demikian penjelasan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dipaparkan di lamannya pada Rabu (11 Feb) susulan keprihatinan orang ramai berhubung perniagaan warisan dan amalan penyewaan hartanah wakaf.
Pada 3 Februari lalu, Pemangku Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Faishal Ibrahim dalam jawapan bertulisnya di Parlimen sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen GRC Aljunied, Fadli Fawzi berkata rumah-rumah kedai di Kampong Gelam yang terletak di atas tanah wakaf diuruskan oleh MUIS serta anak syarikatnya Warees Investments, mengikut syarat yang ditetapkan dalam dokumen wakaf masing-masing.
BACA:
Menurut MUIS, di bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA), semua harta wakaf mesti diurus secara mampan agar terus menjana pendapatan untuk masjid, madrasah, waris memerlukan serta badan kebajikan seperti yang dinyatakan dalam surat ikatan wakaf.
Pihak yang mengurus wakaf, sama ada pemegang amanah (mutawalli) atau MUIS melalui anak syarikatnya Warees Investments, memikul tanggungjawab amanah untuk memastikan manfaat wakaf sampai kepada penerimanya.
Ini bermaksud, para penerima mempunyai hak kepada pendapatan yang dijana itu.
"Di Singapura, prinsip-prinsip pengurusan wakaf ini digariskan dalam AMLA. Wakaf diuruskan oleh mutawalli (pemegang amanah) atau MUIS (peranan yang dilaksanakan anak syarikat MUIS, Warees Investments Pte Ltd, bagi pihak kami). Bagi mutawalli, MUIS memastikan mereka disaring dan diluluskan oleh Majlis MUIS sebelum dilantik. Para mutawalli juga mesti mematuhi keperluan ketat AMLA termasuk mengemukakan kenyataan kewangan hartanah wakaf yang telah diaudit," jelas MUIS.
KADAR SEWA DIKEKALKAN PADA PARAS PASARAN; SOKONG TUJUAN ASAL PEWAKAF
MUIS menjelaskan bahawa menetapkan kadar sewa jauh lebih rendah daripada pasaran boleh menjejaskan pulangan wakaf dan dianggap gagal menunaikan tanggungjawab fidusiari terhadap penerima manfaat.
MUIS menjelaskan: "Untuk melaksanakan perkara ini dengan berkesan, para mutawalli memastikan hartanah wakaf sentiasa diselenggara dan disewakan pada kadar yang anda jangkakan untuk dibayar dalam pasaran hartanah biasa."
Dengan mengekalkan kadar sewa pada paras pasaran, harta wakaf dapat terus menyokong tujuan asal pewakaf secara berterusan dan mampan.
Namun MUIS mengakui perniagaan kini berdepan pelbagai cabaran seperti kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos operasi, perubahan citarasa pengguna dan persaingan sengit.
MUIS, WAREES KERJASAMA PELIHARA NILAI WARISAN, IDENTITI HARTANAH WAKAF DI KAWASAN WARISAN
Apabila penyewa menghadapi kesukaran membayar sewa, MUIS melalui Warees akan berbincang untuk memahami keadaan kewangan mereka dan mempertimbangkan pelan pembayaran balik.
Walaupun begitu, MUIS menyatakan bahawa terdapat kes di mana perniagaan tetap tidak dapat diteruskan atas faktor daya maju perniagaan yang lebih luas.
Penamatan sewaan secara persetujuan bersama atau tindakan undang-undang hanya diambil sebagai langkah terakhir, selaras dengan perjanjian sewa.
Bagi hartanah wakaf di kawasan warisan seperti Kampong Gelam, MUIS dan Warees bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan bangunan disenggara dan dipulihara dengan teliti, sambil mengekalkan identiti kawasan tersebut.
Perniagaan warisan di premis wakaf di daerah bersejarah juga boleh mendapat manfaat daripada sokongan yang disediakan oleh Lembaga Warisan Negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.