Setiausaha Pertahanan Amerika Pete Hegseth samakan Donald Trump dengan Lee Kuan Yew
Encik Hegseth membandingkan Presiden Amerika Donald Trump dengan Perdana Menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew, semasa Dialog Shangri-La pada 31 Mei 2025. (Gambar: AFP/Oliver Contreras, Saul Loeb, Roslan Rahman)
SINGAPURA: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth pada Sabtu (31 Mei) menyamakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan Perdana Menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew.
Dalam ucapan sulung beliau, yang menarik perhatian tentang strategi Amerika di rantau Asia-Pasifik, Encik Hegseth menyifatkan kedua-dua pemimpin itu sebagai "individu bersejarah".
“Seperti mendiang perdana menteri (Singapura), pendekatan Presiden Trump masuk akal dan diambil demi kepentingan negara,” kata beliau semasa berucap di Dialog Shangri-La, yang menghimpunkan para pemimpin pertahanan kanan dari seluruh dunia.
Mendiang Lee berkhidmat sebagai perdana menteri Singapura selama tiga dekad.
Encik Hegseth memuji "kepimpinan bijak dan visi strategiknya".
"Itulah yang boleh dicapai dengan akal budi, dan itulah sebenarnya visi Presiden Trump."
Mendiang Lee, yang membangunkan Singapura kepada sebuah pusat perindustrian dan kewangan berteknologi tinggi, masih dihormati di Singapura selepas lebih sedekad beliau meninggal dunia.
Wadah media sosial pula kecoh dengan kritikan terhadap perbandingan yang dibuat oleh Encik Hegseth.
"Seorang (daripada mereka) bersejarah, sementara seorang lagi histeria," seloroh seorang pengulas.
Seorang lagi pengguna media sosial pula berkata: "Trump dapat dibandingkan dengan Lee Kuan Yew? Ini seumpama menyamakan mi segera dengan santapan mewah."
"Saya rasa satu gentaran tadi. Pasti LKY tertawa terbahak-bahak dalam kuburnya," kata seorang lagi pengguna media sosial yang menggunakan akronim nama mendiang Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.