Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Setiap rakyat SG ada hak dilindungi undang-undang adil saksama; perlu wujud ruang selamat bincang isu seksualiti, kata AP Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Setiap rakyat SG ada hak dilindungi undang-undang adil saksama; perlu wujud ruang selamat bincang isu seksualiti, kata AP Melayu

Anggota Parlimen (AP) Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) (kiri) dan Datuk Bandar CDC Tenggara Mohd Fahmi Aliman berucap di Parlimen pada 28 November 2022.

SINGAPURA: Setiap rakyat Singapura mempunyai hak untuk dilindungi di bawah undang-undang yang adil dan saksama, kata Anggota Parlimen (AP) Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) di Parlimen pada Isnin (28 Nov) berhubung pandangannya tentang pemansuhan Seksyen 377A.

Usul Pemerintah untuk memansuh Seksyen 377A Kanun Keseksaan, yang menetapkan hubungan seks sesama lelaki sebagai satu jenayah, hangat dibincangkan dalam perbahasan di Parlimen hari ini.

Encik Zhulkarnain berkata masyarakat Singapura masih bersikap konservatif dalam hal berkaitan perkahwinan dan keluarga. Namun demikian, "kebanyakan daripada kita tidak mahu seseorang itu dihukum penjara hanya atas sebab kelakuannya di bawah Seksyen tersebut", kata beliau.

"Walaupun kita tetap berbeza antara agama, bangsa, nilai atau cara hidup, sebagai manusia dan setiap daripada kita ada hak yang sama untuk dilindungi di bawah naungan undang-undang yang adil dan saksama untuk semua warganegara."

Rang Undang-undang lain untuk meminda Perlembagaan bagi melindungi takrif perkahwinan daripada dicabar di mahkamah juga dibahaskan di Parlimen pada Isnin.

Pindaan kepada Perlembagaan itu, menurut Encik Zhulkarnain, adalah penting kerana ia bertujuan untuk melindungi undang-undang serta dasar-dasar Pemerintah yang berlandaskan definisi keluarga dan perkahwinan sebagai antara seorang lelaki dengan seorang wanita.

"Dengan adanya perlindungan ini, tiada kes yang boleh diajukan ke mahkamah untuk mencabar perlembagaan undang-undang yang mentakrifkan perkahwinan sebagai antara lelaki dan wanita dan juga dasar-dasar pemerintah yang berlandaskan definisi perkahwinan, termasuk dasar-dasar perumahan awam, pendidikan dan media," jelas beliau kepada Dewan.

Pada masa yang sama, kata Datuk Bandar CDC Tenggara Mohd Fahmi Aliman, terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan ruang selamat bagi keluarga membincangkan perkara berkaitan seksualiti secara terbuka.

"Khususnya, ibu bapa dan anak-anak sepatutnya bebas membincangkan perkara-perkara begini tanpa khuatir dipandang serong. Ibu bapa yang tidak setuju dengan pandangan masyarakat gay dan homoseksual tentang seksualiti tidak patut diaibkan di mata umum.

"Mereka patut bebas menyuarakan pegangan sendiri kepada anak-anak mereka, didasari oleh ajaran agama dan pandangan dunia mereka. Ibu bapa patut diberi ruang untuk melindungi anak-anak mereka daripada sebarang kandungan yang mereka anggap tidak wajar, termasuk yang berkaitan dengan masyarakat gay dan homoseksual," ujar beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/DY/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan