Setiap pusat polis akan ada pegawai khas tangani kes keganasan keluarga
SINGAPURA: Semua pusat polis kejiranan (NPC) kini mempunyai pegawai yang dilantik khas untuk mengendalikan kes keganasan dalam keluarga, sebagai sebahagian langkah Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk mengatasi jumlah kes yang semakin meningkat.
Semasa ditemui wartawan di acara media pada Isnin (31 Okt), Inspektor Tony Thian, timbalan pegawai yang bertanggungjawab bagi unit polis kejiranan di Pusat Polis Kejiranan Rochor, berkata pegawai berkenaan sudahpun menjalani latihan khas untuk mengurus kes-kes keganasan dalam keluarga.
"Latihan termasuk pembelajaran berteraskan senario untuk menekankan kemahiran yang diperlukan untuk mendampingi mangsa dan langkah-langkah segara yang patut diambil selepas menerima aduan tersebut," katanya.
Tambah Inspektor Thian, pegawai yang dikenali sebagai pegawai polis kejiranan bagi keganasan keluarga, sudah "dikerahkan" sejak Julai.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa (1 Nov), SPF menyatakan terdapat 2,603 kes keganasan keluarga antara Januari hingga Jun.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, SPF menambah, dalam tempoh beberapa tahun yang lalu, terdapat 5,190 kes pada 2021 dan 5,134 pada 2020.
Kesalahan yang lazimnya dikaitkan dengan keganasan dalam keluarga termasuk menyebabkan kecederaan, paksaan jenayah, serangan dan ugutan jenayah.
Meskipun bilangan aduan kian meningkat, Staf Sarjan Kanan Matthew Joshua Wee, seorang pegawai pencegahan jenayah di Divisyen Polis Bedok menarik perhatian, ia mungkin menunjukkan kesedaran yang lebih tinggi.
Lantaran itu, lebih ramai pihak berani tampil meminta bantuan polis.

Selain melantik pegawai untuk mengendalikan kes keganasan dalam keluarga, SPF pada Selasa turut mengumumkan bahawa ia bekerjasama dengan beberapa agensi khidmat sosial untuk menghasilkan risalah maklumat bagi mangsa keganasan dalam keluarga.
Risalah tersebut termasuk maklumat mengenai penakrifan dan tanda-tanda keganasan, serta sumber bantuan bagi mangsa.
Ia kini dirintis di Divisyen Polis Central dan Divisyen Polis Ang Mo Kio. Menjelang Jun 2023, ia akan disediakan kepada masyarakat awam secara online serta di pusat polis kejiranan yang lain.
Pegawai polis di barisan hadapan juga dilatih untuk mendampingi mangsa keganasan keluarga.
Staf Sarjan Kanan Wee menambah semua pegawai polis di barisan hadapan akan dilatih menjelang akhir 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.