Skip to main content

Singapura

Setiap penumpang berlepas dari SG boleh bawa hanya 2 'power bank' mulai 15 Apr

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Apr 2026 02:14PM Dikemas Kini : 26 Apr 2026 12:55PM
  • CAAS mengumumkan peraturan baharu bermula 15 April, membenarkan hanya dua power bank dibawa oleh setiap penumpang pesawat dari Singapura.
  • Penumpang tidak dibenarkan mengecas atau menggunakan power bank semasa penerbangan, dan perlu membuang peranti berlebihan sebelum berlepas.
  • Langkah ini diambil selepas ICAO mengemaskini keperluan keselamatan untuk mengurangkan risiko kebakaran akibat bateri litium.
  • CAAS bekerjasama dengan syarikat penerbangan seperti SIA dan Scoot serta memaparkan maklumat sekatan di lapangan terbang untuk memastikan pematuhan dan keselamatan penumpang.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Mulai minggu depan, setiap penumpang yang berlepas dari Singapura hanya boleh membawa dua alat pengecas mudah alih atau 'power bank' di dalam pesawat, menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Isnin (6 Apr).

Peraturan baharu itu berkuat kuasa pada 15 April pukul 12.01 tengah malam.

Mereka yang membawa lebih daripada dua power bank perlu menghapuskan peranti yang berlebihan sebelum penerbangan mereka.

"Power bank juga tidak boleh dicas di dalam pesawat dan penumpang dinasihati supaya tidak menggunakan power bank untuk mengecas peranti mereka semasa penerbangan," menurut CAAS.

Langkah itu diperkenalkan berikutan peraturan baharu yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) pada 2 April yang mengemaskini keperluan keselamatan berkaitan membawa dan menggunakan power bank di dalam pesawat.

"Bateri litium dalam power bank boleh terlalu panas atau mengalami litar pintas, yang menimbulkan bahaya kebakaran dan keselamatan di dalam penerbangan," menurut CAAS.

"Keperluan baharu ICAO iaitu maksimum dua power bank setiap penumpang dan sekatan ke atas pengecasan dan penggunaan power bank di dalam penerbangan bertujuan untuk mengurangkan risiko kebakaran sambil memenuhi keperluan perjalanan penumpang."

CAAS menambah bahawa pihaknya "bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan penerbangan lain untuk melaksanakan keperluan baharu itu dengan lancar dan teratur".

Pihaknya berkata maklumat mengenai sekatan baharu itu akan dipaparkan di titik sentuh utama di seluruh lapangan terbang untuk mengingatkan penumpang.

Keperluan sedia ada yang lain akan terus terpakai, seperti larangan power bank dalam bagasi, had kapasiti dan keperluan untuk power bank dilindungi secara berasingan bagi mengelakkan litar pintas.

"Memandangkan syarikat penerbangan juga mungkin mempunyai dasar yang lebih ketat mengenai power bank, penumpang dinasihati agar menyemak peraturan syarikat penerbangan sebelum melakukan perjalanan," menurut CAAS.

Encik Foong Ling Huei, Pengarah Piawaian Penerbangan di CAAS, berkata, "Keperluan baharu ini akan membantu mengurangkan risiko kebakaran yang disebabkan oleh power bank di dalam penerbangan. Kami menggesa semua penumpang agar membiasakan diri dan mematuhi keperluan baharu ini, demi keselamatan mereka dan penumpang lain."

Singapore Airlines dan Scoot melarang penggunaan dan pengecasan power bank semasa penerbangan sejak April 2025, sebagai mematuhi Peraturan Bagi Barangan Berbahaya Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa berkaitan power bank, yang diklasifikasi sebagai bateri litium.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita