Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Setiap penduduk S'pura akan ada doktor keluarga sendiri jelang 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penduduk Singapura akan dipelawa untuk berdaftar dengan doktor keluarga(GP) pilihan mereka sebagai barisan hadapan jagaan untuk kesemua keperluan kesihatan mereka, mulai tahun depan. 

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (9 Mac). 

GP, atau doktor keluarga, akan membantu individu tersebut sepanjang kehidupan mereka bagi pelbagai keperluan kesihatan yang berbeza bagi memastikan kesinambungan jagaan, menurut MOH dalam satu kenyataan media. 

Bercakap semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan MOH, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata MOH akan bermula dengan penduduk berusia 40 tahun ke atas. 

"Pada usia itu penyakit-penyakit kronik mungkin bermula. Kami harus membangunkan pangkalan data penyertaan secara bertahap-tahap," kata Encik Ong. 

Penduduk akan didaftar mengikut tempat tinggal mereka. Buat masa ini, hampir 90 peratus penduduk berjumpa doktor keluarga atau hospital berdekatan dengan rumah mereka. 

Namun, penduduk juga boleh memilih GP jauh daripada rumah mereka, menurut MOH, memberi contoh mereka yang masih terus berjumpa doktor mereka sedari kecil. 

Setelah mendaftar, mereka tetap boleh membuat perubahan jika perlu, misalnya, sekiranya mereka berpindah ke rumah baru. 

Inisiatif ini merupakan bahagian utama daripada strategi baru dipanggil, Healthier SG (SG Lebih Sihat) yang melibatkan "rombakan besar bagi sektor jagaan utama", termasuk memasukkan GP ke dalam ekosistem jagaan kesihatan awam dan tumpuan pada jagaan pencegahan. 

"Kajian menunjukkan bahawa mereka yang secara konsisten berjumpa doktor keluarga yang sama, secara amnya lebih sihat dan kurang perlu pergi hospital dan jabatan kecemasan," kata Encik Ong. 

Ini kerana doktor dan kumpulan jagaan itu kenali mereka dengan baik dan boleh mengesan petanda-petanda awal sebarang masalah dengan pantas dan tepat, tambahnya lagi. 

Encik Ong juga menarik perhatian bahwa setakat ini, hanya tiga daripada lima penduduk Singapura mempunyai doktor keluarga mereka sendiri. 

Yang lain lebih kerap bertukar doktor, misalnya, jumpa seorang doktor untuk mendapatkan ubat  penyakit darah tinggi dan seorang lagi untuk sijil perubatan bagi selesema dan batuk, ujar Encik Ong. 

"Tidak seorang pun doktor keluarga yang tahu keadaan kesihatan kita dan sejarah kesihatan keluarga secara keseluruhannya untuk melihat kaitan antara peristiwa-peristiwa berbeza," katanya lagi.

"Kami boleh manfaatkan doktor GP untuk menjaga lebih ramai pesakit, bukan untuk selesema dan batuk, tetapi menyediakan  jagaan pencegahan." 

PENYELARASAN KELOMPOK JAGAAN KESIHATAN  

MOH akan bekerjasama dengan tiga kelompok jagaan kesihatan - Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG) dan SingHealth - untuk menyokong GP yang mengendalikan klinik di kawasan mereka dan menyepadukan mereka ke dalam sistem kesihatan secara keseluruhan, seperti membenarkan perkongsian data dan mempertingkatkan jagaan secara berkumpulan. 

Program pendaftaran nasional ini akan diselaraskan tiga kelompok jagaan kesihatan tersebut, dengan setiap kelompok menjaga sehingga 1.5 juta penduduk dalam satu daerah. 

"Doktor keluarga boleh bekerjasama dengan poliklinik atau hospital untuk menguruskan pesakit yang mempunyai keperluan lebih rumit," menurut MOH. 

Tambah MOH lagi, setelah dibenarkan untuk meninggalkan hospital, pesakit berkenaan akan dirujuk ke doktor keluarga mereka untuk memastikan kesinambungan jagaan. 

"Jagaan pesakit juga boleh dikongsi antara doktor keluarga dan doktor pakar atau kakitangan kesihatan yang lain untuk bersama membantu pesakit berdasarkan keperluan jagaan mereka." 

Maklumat lebih lanjut tentang Healthier SG sedang dirangka, menurut MOH lagi. 

Dalam masa beberapa bulan akan datang, MOH akan berunding dengan pihak-pihak kepentingan lain, termasuk masyarakat am, GP, pekerja jagaan kesihatan dan rakan-rakan masyarakat, untuk mendapatkan pandangan mereka. 

Ia kemudian akan memberikan lebih banyak butiran tentang Healthier SG dalam satu Kertas Putih dan membentangkannya untuk dibahaskan di Parlimen, menurut MOH, sambil menambah bahawa ia akan mengongsi maklumat lebih lanjut tentang pelan rundingan awam kelak.

PERUBAHAN KEPADA PEMBIAYAAN KELOMPOK JAGAAN KESIHATAN 

MOH juga mengumumkan ia akan beralih kepada model bayaran tetap bagi tiga kelompok jagaan kesihatan, di mana NUHS, NHG dan SingHealth akan mendapat bayaran yang sudah ditetapkan bagi setiap penduduk di bawah jagaan mereka yang menetap di daerah berkenaan. 

"Dengan peralihan pembiayaan ini, terdapat insentif bagi hospital untuk cuba memastikan penduduk berkenaan sihat melalui jagaan pencegahan," menurut MOH. 

Model baru ini juga akan memberi mereka "lebih kelonggaran" untuk mengenal pasti cara untuk membantu penduduk, tambah MOH. 

Buat masa ini, kelompok-kelompok tersebut dibiayai berdasarkan model beban kerja, yang bermakna pembiayaan bergantung kepada jumlah khidmat yang mereka sediakan, seperti jumlah pembedahan dan pesakit. 

"Dengan model ini, kelompok tersebut bertangungjawab terhadap pembiayaan itu, merangsang mereka untuk memikir cara menjimatkan sebahagian daripada dana tersebut," menurut MOH, sambil menjelaskan sebab di sebalik perubahan tersebut. 

Tambah MOH lagi, ini bermakna pesakit mungkin boleh dipindahkan ke tempat-tempat jagaan lain di mana kosnya lebih rendah.

Skop model ini akan "diperluaskan secara berperingkat sedang pelbagai aspek pengendalian kelompok itu siap digunakan," tambah MOH.

Melengkapi model pembiayaan ini adalah beberapa sasaran kesihatan utama, kata Encik Ong. Beberapa "petanda penting" termasuk mutu jagaan, amalan tabiat dan gaya hidup sihat, jumlah penyakit kronik dan keberkesanan kos rawatan, katanya. 

Di bawah sistem baru itu, perbelanjaan bagi setiap kelompok jagaan kesihatan tidak akan terjejas, tambah Encik Ong. 

"Sebenarnya, jumlah dana akan naik sedikit. Apa yang akan berubah adalah cara perbelanjaan itu dihitung," katanya. 

TENAGA PEKERJA DAN TEKNOLOGI 

Untuk menyokong perubahan yang diperlukan, MOH akan melabur lagi dalam tenaga pekerja dan membangunkan  "tiang sokongan yang penting dari segi teknologi dan data". 

Dari segi tenaga pekerja, Pemerintah memberi tekanan pada latihan dan pendidikan perubatan keluarga sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut MOH. 

"Kami akan meneroka langkah-langkah lain untuk memastikan siswazah baru mempunyai pengalaman yang meluas," menurut MOH lagi, sambil menambah bahawa latihan pos siswazah dalam perubatan keluarga juga sedang diperkukuhkan. 

MOH akan meninjau bagaimana ia dapat memberi sokongan data lebih baik bagi doktor keluarga, seperti memberikan mereka akses kepada rekod perubatan pesakit dan peralatan untuk memantau keadaan pesakit dan perkembangan kesihatan dengan lebih baik. 

Untuk menyokong usaha tersebut, MOH menarik perhatian kepada sistem Rekod Kesihatan Elektronik Kebangsaan (NEHR) yang sudah ditubuhkan untuk menyelaraskan maklumat dan membenarkan akses kepada kumpulan jagaan pesakit. 

Undang-undang baru, Rang Undang-Undang Maklumat Kesihatan, pula akan dikuat kuasakan untuk mengawalnya, menurut MOH. 

"Dengan lebih akses kepada data yang dikongsi dan rekod individu, terdapat keperluan untuk memastikan dan memudahkan perkongsian data yang selamat, dan bagi pengguna bersikap bertanggunjawab untuk mendapatkan data," menurut MOH lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan