Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Setiap orang akan dilindungi di S'pura tidak kira apa saja 'kepercayaan' masyarakat, agama," tegas Shanmugam

Setiap orang di Singapura akan dilindungi tanpa mengira "kepercayaan" masyarakat dan sosial, agama atau seksual, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (1 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
"Setiap orang akan dilindungi di S'pura tidak kira apa saja 'kepercayaan' masyarakat, agama," tegas Shanmugam

Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Diterbitkan : 01 Mar 2021 10:48PM Dikemas Kini : 01 Mar 2021 10:50PM

SINGAPURA: Setiap orang di Singapura akan dilindungi tanpa mengira "kepercayaan" masyarakat dan sosial, agama atau seksual, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (1 Mac).

Menurut Encik Shanmugam, pendirian Pemerintah adalah "jelas" dan pindaan-pindaan terhadap Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) menjadikannya satu kesalahan untuk menghasut keganasan atas alasan agama atau kepercayaan agama terhadap mana-mana individu atau kumpulan.

Encik Shanmugam berkata demikian di Parlimen semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya. Menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh, Encik Shanmugam berkata: "Tanpa mengira masyarakat, apa saja kepercayaan sosial, agama atau seksual, setiap individu akan dilindungi di sini dan saya sudah berkali-kali berkata begitu.

"Individu LGBT, bukan LGBT, kita semua sama. Kita tidak kurang hebatnya semata-mata kerana kecenderungan pilihan seksual kita.

Tindakan akan diambil jika sesiapa mencetuskan kebencian bagi pihak atau terhadap mana-mana masyarakat, taegas Menteri Ehwal Dalam Negeri itu.

"Ini bagaimanapun tidak bermakna tindakan akan diambil pada setiap kesempatan. Pihak polis akan menggunakan budi bicara mereka, menilai konteksnya," katanya lagi.

Encik Singh (WP-Aljunied) sebelum ini menarik perhatian kepada satu insiden pada Januari di mana seorang lelaki dirakam kamera semasa merampas bendera LGBT Pride dari kaunter kedai makan di Lau Pa Sat dan membuangnya ke arah kakitangan kedai makan itu sebelum beredar dari kedai tersebut.

"Selain insiden ini, adalah penting untuk membaca bahawa salah satu sebabnya mengapa pemilik kedai makan itu memuat naik video tersebut adalah untuk "untuk menonjolkan realiti seharian yang dialami masyarakat LGBT walaupun banyak insiden tidak dirakam oleh kamera," menurut Encik Singh.

"Saya tahu Menteri Ehwal Dalam Negeri pernah menyentuh tentang sikap tidak bertoleransi terhadap tindakan yang diperlakukan ke atas masyarakat LGBT. Menteri juga sudah menekankan bahawa tugas Pemerintah adalah untuk melindungi semua orang tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan seksual."

Encik Shanmugam berkata: "Tindakan boleh diambil di bawah MRHA, jika sesebuah kumpulan agama menggunakan agama untuk menyerang kumpulan bukan keagamaan seperti kumpulan LGBT atau sesetengah individu.

"Begitu juga jika sesebuah kumpulan keagamaan atau anggotanya diserang oleh individu atau kumpulan bukan keagamaan, sebagai contoh LGBT, maka tindakan juga boleh diambil. Undang-undang sama rata dalam konteks ini," tegas Encik Shanmugam.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan