Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Setiap keluarga di S'pura bakal terima 10 kit ART mulai 18 Jul

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jul 2022 05:43PM Dikemas Kini : 15 Jul 2022 09:13PM

SINGAPURA: Mulai Isnin (18 Jul), Kementerian Kesihatan (MOH) akan mengagihkan 10 kit Ujian Pantas Antigen (ART) kepada setiap isi rumah melalui kiriman SingPost bagi menyokong ujian kendiri. 

Ini merupakan pengagihan ketiga di peringkat nasional dan ia akan dilakukan di tengah-tengah jangkitan gelombang baru COVID-19. 

Pengagihan ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada bulan lalu. 

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan bahawa ia tidak menjangkakan gelombang semasa COVID-19 adalah seteruk gelombang Omicron pada awal tahun ini disebabkan oleh imuniti lebih kuat yang diperolehi melalui suntikan dos penggalak ataupun pemulihan daripada jangkitan COVID-19. 

Singapura melaporkan 11,772 kes baru COVID-19 setakat petang Khamis (14 Jul), membawa jumlah terkumpul kes di Singapura sejak pandemik melanda kepada sebanyak 1,569,420 kes.

Empat kematian dilaporkan pada Khamis (14 Jul), sekali gus menjadikan angka korban COVID-19 di Singapura sebanyak 1,444. 

Lebih 1,100 anggota kakitangan akan membantu mengagihkan 15 juta kit ART. 

Terdapat sekitar 1.56 juta isi rumah di Singapura, menurut Singapore Post. 

"Oleh kerana jumlah kit ART yang diagihkan adalah tinggi, kami memohon kesabaran orang ramai kerana ia boleh mengambil masa selama beberapa minggu untuk sesetengah isi rumah menerima kit mereka," menurut MOH dalam hantarannya di Facebook pada Jumaat (15 Jul). 

"Jika anda rasa anda mungkin terdedah kepada COVID-19, lakukan ujian kendiri untuk mengesan jangkitan lebih awal. Ini akan membolehkan anda untuk melindungi diri anda dan orang-orang tersayang, sekali gus membantu membendung penularan penyakit tersebut." 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan