Setiap isi rumah di SG akan terima 12 kit ART COVID-19 mulai 21 Nov
SINGAPURA: Setiap isi rumah di Singapura akan menerima 12 kit ujian pantas antigen (ART) mulai 21 November. Ia sebahagian usaha untuk mengalakkan masyarakat supaya melakukan ujian kendiri bagi COVID-19 sekiranya mereka berasa tidak sihat.
Ini merupakan pengagihan kit ART keempat sejak pandemik melanda.
"Memandangkan ini kemuncak musim cuti dan terdapat jumlah tinggi kit ART yang akan diagihkan, kami memohon pemahaman masyarakat awam bahawa sesetengah isi rumah mungkin menerima kit lebih lewat berbanding yang lain," jelas Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (4 Nov).
Ujian kendiri secara kerap merupakan benteng pertahanan utama dalam pendekatan Singapura terhadap COVID-19 untuk membolehkan pengesanan dan pengasingan awal, menurut MOH.
"Oleh kerana jangkitan semula menjadi perkara lebih biasa, mereka yang mengalami gejala seperti batuk, sakit tekak, hidung berair atau demam, 28 hari selepas jangkitan sebelumnya, juga harus menjalani ujian kendiri COVID-19," tambah kementerian tersebut.
Pemerintah akan terus menyokong keluarga berpendapatan rendah yang mungkin memerlukan lebih banyak kit ART daripada jumlah yang diagihkan, menurut MOH.
Para penerima bantuan Pejabat Khidmat Sosial (SSO) dan Pusat Khidmat Keluarga boleh terus memohon untuk mendapatkan kit ujian tambahan di lokasi-lokasi tersebut.
MOH juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) untuk menghulurkan kit ujian tambahan kepada para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Maklumat lanjut mengenai penyediaan kit ART ini akan dikongsikan secara berasingan dengan para pelajar dan ibu bapa pada satu tarikh kelak," menurut MOH.
PELBAGAI SUBVARIAN MEREBAK DI SELURUH DUNIA
MOH menarik perhatian kini terdapat pelbagai subvarian COVID-19 yang sedang merebak di seluruh dunia dan bahawa varian baru juga boleh timbul.
"Dengan pemulihan perjalanan antarabangsa, varian baru yang amat mudah berjangkit boleh memasuki dan merebak di Singapura tanpa amaran awal," menurut MOH.
Tambah kementerian itu, ujian kendiri secara berkala akan membantu dalam pengesanan dan pengasingan awal, terutama sekali apabila individu berkenaan berasa tidak sihat setelah pulang dari luar negara atau sebelum melawat mahupun berinteraksi dengan golongan mudah terdedah seperti warga emas.
Individu yang diuji positif COVID-19 harus mematuhi protokol MOH yang sedia ada bagi kes-kes COVID-19.
Individu berisiko lebih tinggi - seperti warga emas atau mereka yang mempunyai daya imun lebih lemah - atau mereka yang mengalami gejala teruk harus mendapatkan rawatan perubatan.
Individu berisiko rendah yang mengalami gejala ringan seperti demam, batuk dan sakit tekak harus memantau dengan teliti keadaan mereka bagi sebarang tanda dan gejala yang membimbangkan semasa pulih di rumah.
"Sekiranya tanda dan gejala bertambah teruk, mereka harus melawat doktor keluarga mereka. Para anggota masyarakat awam dinasihatkan supaya hanya menuju ke Jabatan Kecemasan bagi keadaan mendesak," tegas MOH.
MOH turut menasihatkan orang ramai yang diuji negatif tetapi berasa tidak sihat supaya mengurangkan interaksi sosial kerana penyakit mereka mungkin disebabkan virus-virus pernafasan lain seperti demam selesema.
"Hidup dengan COVID-19 bermakna kita harus terbiasa dengan kenaikan mendadak kes COVID-19 disebabkan varian baru yang muncul dari semasa ke semasa," tambah MOH.
"Kita harus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memastikan diri sendiri dan orang tersayang selamat, seperti memastikan vaksinasi kita dikemas kini, menjalani ujian apabila perlu dan menjaga kebersihan diri."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.