Skip to main content

Singapura

Setelah di MENDAKI Choa Chu Kang, satu lagi sudut membaca akan dibuka di Pasir Ris

Sudut membaca di Choa Chu Kang adalah antara 44 sudut membaca yang disediakan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) di kawasan-kawasan kejiranan, demi mendekatkan lagi masyarakat dengan bahan-bahan bacaan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Setiap cuti sekolah, Cik Nadia Baharuddin tidak akan menghantar anak-anaknya ke pusat jagaan, sebaliknya membawa mereka mengunjungi sebuah 'sudut membaca' yang terletak di pusat satelit Yayasan MENDAKI di Choa Chu Kang.

Lokasinya yang terletak dekat dengan rumah ibu mentua beliau itu memudahkan mereka sekeluarga mengunjungi kemudahan itu tiga kali seminggu.

"Ianya mengukuhkan perhubungan kami sebagai ibu dan anak dengan sesi membaca di luar rumah dan ianya membina perwatakan mereka dengan sikap yang sentiasa penuh dengan ingin tahu," ujar Cik Nadia kepada BERITAmediacorp.

Sudut membaca di Choa Chu Kang itu adalah antara 44 sudut membaca yang disediakan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) di kawasan-kawasan kejiranan, demi mendekatkan lagi masyarakat dengan bahan-bahan bacaan.

500 BAHAN BACAAN DI SUDUT MEMBACA CHOA CHU KANG

Menurut Ketua Khidmat Bahasa Melayu NLB, Cik Zubaidah Mohsen: "Sudut-sudut membaca ini kami tempatkan di kawasan-kawasan kejiranan supaya lebih ramai pengguna dapat mengakses buku-buku bacaan dan bahan-bahan yang kami sumbangkan."

Di pusat satelit MENDAKI Choa Chu Kang misalnya, terdapat 500 bahan bacaan bagi pelbagai peringkat usia.

Cik Nadia Baharuddin bersama anak-anak di sudut membaca MENDAKI@Choa Chu Kang (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

Kini, berdasarkan sambutan yang menggalakkan, MENDAKI merancang untuk membuka sebuah lagi sudut membaca di pusat satelitnya di Pasir Ris pula. 

"Pendidikan adalah teras utama Yayasan MENDAKI dan aktiviti membaca adalah sesuatu yang penting untuk membina cintakan ilmu pada kanak-kanak itu," ujar Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MENDAKI, Zulaiha Yusuf.

SUDUT MEMBACA BANTU ANAK-ANAK KELUARGA KURANG KEMAMPUAN

Sebuah lagi keluarga yang giat memanfaatkan sudut membaca ialah Cik Menirissa sekeluarga. Menurut beliau, atas tujuan membantu anak-anaknya menimba ilmu pengetahuan, mereka meluangkan masa setiap Sabtu ke sudut membaca di Pusat WELL Henderson.

Sudut membaca di Pusat WELL Henderson (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

Selain menawarkan pelbagai bahan bacaan, program membaca turut dijalankan oleh para sukarelawan pusat itu bagi kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan.

Salah seorang sukarelawan sudut membaca di Pusat WELL Henderson ialah Cik Laila Jasni. Beliau berkongsi bahawa dengan bantuan para sukarelawan, kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan memperoleh keyakinan yang lebih tinggi apabila mereka belajar membaca.

"Fokus kami adalah untuk memastikan bahawa kanak-kanak yang datang ke sini terus membaca apabila mereka pulang ke rumah," jelas Laila Jasni lagi.

Daripada usaha NLB, inisiatif 'WondeRead' menghadiahkan buku-buku percuma kepada kanak-kanak kurang bernasib baik setiap tiga bulan.

Usaha memikat lebih ramai pembaca itu juga dilancarkan secara besar-besaran bagi golongan dewasa dan secara tidak langsung mengeratkan lagi silaturahim sesama jiran.

"Para penduduk berkongsi sudut membaca ini memberikan mereka peluang untuk bertemu dan mengikatkan lagi perhubungan di antara mereka," tambah Cik Zubaidah.

27,000 BUKU DISUMBANG NLB BAGI SUDUT MEMBACA

Sejak tahun lalu, NLB sudah menyumbang sebanyak 27,000 buah buku kepada sudut-sudut membaca di merata Singapura.

Satu tinjauan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) yang dijalankan tahun lalu mendapati 93% responden membaca sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan.

Dalam usaha memikat lebih ramai pembacalah, perpustakaan-perpustakaan awam NLB lazimnya ditempatkan di lokasi dekat dengan pusat beli-belah dan hab bandar.

Kini sudut-sudut membaca merupakan satu lagi kaedah merapatkan lagi bahan-bahan bacaan kepada masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita