Skip to main content

Singapura

Setahun kemudian: Bagaimana 3 AP penggal pertama sesuaikan diri dengan jadual padat dan perhatian awam

Pada 3 Mei 2025, rakyat Singapura kembali mengundi dan memilih beberapa wajah baharu ke parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:
Setahun kemudian: Bagaimana 3 AP penggal pertama sesuaikan diri dengan jadual padat dan perhatian awam

Anggota parlimen penggal pertama (dari kiri) Shawn Loh dari GRC Jalan Besar, Hazlina Abdul Halim dari GRC East Coast dan Abdul Muhaimin Abdul Malik dari GRC Sengkang. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong, Jeremy Long, Liew Zhi Xin)

SINGAPURA: Pada 3 Mei 2025, rakyat Singapura kembali mengundi dan memilih beberapa wajah baharu ke parlimen.

Bagi Parti Tindakan Rakyat (PAP), ia merupakan pengambilan Anggota Parlimen baharu terbesar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi Parti Pekerja (WP) pula, ia menjadi satu lagi langkah dalam pelan peralihan kepimpinan yang dirancang sejak beberapa tahun lalu.

Setahun kemudian, keterujaan awal sudah reda dan tanggungjawab sebenar mula dirasai. Mediacorp menemubual tiga anggota parlimen penggal pertama daripada kedua-dua parti berhubung perkara-perkara yang tidak dijangka mereka: tekanan masa, penelitian awam dan keyakinan yang diperlukan untuk berucap di Dewan.

MANTAN PENGARAH BELANJAWAN UTAMAKAN KELUARGA

Beliau mungkin pernah menyelia belanjawan negara Singapura bagi 2024 dan 2025, namun menguruskan masa menjadi cabaran terbesar bagi Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Jalan Besar Shawn Loh sejak memegang jawatan itu.

Sebagai anggota parlimen penggal pertama yang masih menyesuaikan diri dengan kawasan undinya, di samping peranannya sebagai pengarah urusan kumpulan sebuah konglomerat tempatan yang menggajikan lebih 1,000 pekerja, Encik Loh berkata peranan paling penting baginya ialah sebagai seorang bapa kepada empat orang anak.
Related article image
Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Shawn Loh di Pusat Makanan dan Pasar Bendemeer pada 29 April 2026. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
AP PAP itu sentiasa mengutamakan masa bersama anak-anaknya yang berusia antara lima hingga 13 tahun. Setiap pagi, beliau mengejutkan mereka sekitar 6.00 pagi dan menghantar mereka ke sekolah. Pada waktu malam pula, beliau memastikan keluarganya makan malam bersama dan cuba menamatkan urusan sebelah malam sebelum 8.20 malam supaya dapat menidurkan anak-anaknya.

“Sebagai seorang bapa, saya tidak percaya masa berkualiti sahaja mencukupi. Saya percaya kuantiti masa juga diperlukan. Jadi saya utamakan interaksi yang kerap dan konsisten dengan anak-anak saya, dan itu tidak berubah. Kita perlu konsisten dalam perkara-perkara yang kecil,” kata beliau kepada Mediacorp dalam satu temu bual di Pusat Makanan dan Pasar Bendemeer.

Ini bermakna beliau mencari ruang untuk meluangkan masa bersama keluarga antara komitmen pagi dan malam, atau kadangkala membawa anak-anak bersama beliau.

Namun, beliau menetapkan batas melibatkan perkongsian gambar anak-anaknya di media sosial.

“Saya tidak menentukan jumlah anak berdasarkan gaya hidup yang saya mahu jalani. Saya menentukan gaya hidup yang saya mahu jalani berdasarkan jumlah anak yang saya ada,” kata Encik Loh, yang akan mencecah usia 40 tahun, tahun ini.

Peranannya sebagai seorang bapa juga mempengaruhi tugas beliau di parlimen. Sebagai anggota jawatankuasa parlimen pemerintah bagi tenaga manusia, kewangan serta perdagangan dan perusahaan, beliau turut membangkitkan isu-isu berkaitan bidang tersebut yang menurutnya kurang diberi perhatian dalam perbahasan.

“Ramai anggota parlimen kami datang daripada latar belakang penggerakan masyarakat dan sektor sosial,” kata beliau. Isu seperti cukai pendapatan dan sumbangan kepada Tabung Kewangan Antarabangsa kurang mendapat perhatian berbanding isu penipuan atau alat mobiliti peribadi.

“Jumlah anggota parlimen yang berucap selalunya tidak mencerminkan kepentingan sesuatu isu, dan saya mahu menjadi sebahagian daripada faktor pengimbang itu.”

Ketika ditanya mengenai kemungkinan mengundi bertentangan dengan pendiriannya terhadap sesuatu isu, Encik Loh berkata parti “membezakan antara undian dengan suara”.

Menurut beliau, anggota parlimen mengundi berdasarkan pendirian parti, namun tidak diwajibkan untuk bercakap dengan satu suara sahaja, sambil memberi contoh usahanya yang memperjuangkan subsidi asas penjagaan kanak-kanak dan mengembalikan lebihan belanjawan melebihi dua peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) kepada rakyat Singapura sebagai contoh pendirian yang berbeza daripada pemerintah.

Menguruskan maklum balas para penduduk juga menjadi satu cabaran, khususnya apabila pihak-pihak yang terlibat mempunyai pandangan yang bertentangan.

Salah satu contohnya melibatkan para penduduk di kawasan Whampoa yang berbeza pendapat mengenai lokasi tempat pembakaran colok, dengan ada yang mahukannya ditempatkan lebih dekat dengan blok perumahan untuk memudahkanpenggunaannya, manakala yang lain mahukannya diletakkan lebih jauh bagi mengelakkan asap daripada masuk ke dalam rumah.

“Prinsipnya ialah mereka yang memilih untuk menyertai sesuatu aktiviti harus menanggung kos aktiviti itu, termasuk berjalan ke tempat pembakaran colok. Namun bagi mereka yang tidak memilih untuk terlibat dalam aktiviti itu dan hanya menjadi pihak ketiga yang terkesan dengan kesan negatifnya, maka kita perlu cuba untuk membantu mereka dengan lebih baik,” kata beliau.

Rakan-rakan anggota parlimen penggal pertamanya turut membantu dengan berkongsi pengalaman menerusi pertemuan tidak rasmi dan kumpulan-kumpulan sembang. Namun Encik Loh secara terbuka mengakui masih banyak yang perlu dipelajari.

“Saya masih belajar. Saya masih bertemu dengan orang baharu. Ada yang berkata mereka masih belum pernah berjumpa dengan saya walaupun saya sudah berusaha dengan sebaik mungkin. Jadi saya teruskan,” kata beliau. “Ia memerlukan masa dan usaha, dan tiada jalan pintas untuk mengenali masyarakat.”

ATASI KETAKUTAN BERUCAP DI KHALAYAK RAMAI

Semasa di universiti, AP GRC Sengkang Abdul Muhaimin Abdul Malik pernah kehilangan idea secara tiba-tiba ketika membuat pembentangan bagi tutorialnya. Berucap di hadapan khalayak ramai tidak pernah menjadi kekuatannya, kata beliau yang mengaku dirinya sebagai seorang "introvert", kepada Mediacorp semasa ditemubual di kawasan Compassvale.

“Apabila saya mula menjadi calon semasa Hari Penamaan Calon, itulah kali pertama saya cuba bercakap tanpa melihat sebarang bahan,” kata Timbalan Setiausaha Penganjur WP itu.
Related article image
Anggota Parlimen GRC Sengkang Abdul Muhaimin di Compassvale pada 30 April 2026. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Sejak memegang jawatan, lelaki berusia 37 tahun itu secara beransur-ansur berjaya mengatasi ketakutan tersebut, dengan memanfaatkan pengalamannya sebagai mantan pengurus kanan hartanah di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) untuk membangkitkan isu-isu perumahan, serta pengalamannya sebagai seorang bapa baharu, dengan anak perempuannya kini berusia sembilan bulan, untuk menyuarakankebimbangan yang dihadapi para ibu bapa muda.

Walaupun beliau selesa dengan isu-isu perbandaran berdasarkan tugasnya sebelum ini, aspek parlimen memerlukan lebih banyak penyesuaian. Beliau menjadi lebih yakin hasil sokongan anggota parti dan isterinya, sesuatu yang penting apabila berdepan dengan anggota Kabinet di seberang Dewan.

“Kami cuba untuk memberi tumpuan kepada apa yang perlu kami sampaikan dan tidak terlalu terkesan dengan reaksi mereka,” kata beliau.

AP WP yang lebih kanan turut membimbing beliau dan rakan-rakan baharu lain dalam menyediakan ucapan, termasuk bertukar pandangan mengenai topik yang ingin dibangkitkan. Encik Muhaimin menganggap dirinya bertuah kerana dapat memanfaatkan pengalaman rakan sepasukannya di GRC Sengkang iaitu Jamus Lim, Louis Chua dan He Ting Ru, yang kini memasuki penggal kedua mereka.

“Mereka menetapkan piawaian yang sangat tinggi untuk saya,” kata beliau. “Namun saya tahu had kemampuan saya, dan mereka kata jangan terlalu tertekan dengannya, jadi saya hanya lakukan apa yang selesa bagi diri saya.”

Menyediakan ucapan adalah satu perkara, namun menyampaikannya pula merupakan satu lagi cabaran. Setiausaha Agung WP Pritam Singh menasihati pasukannya supaya berlatih di hadapan cermin dan meneliti ekspresi wajah masing-masing. Isteri Encik Muhaimin juga menjadi seorang pengkritik yang jujur, mendengarkan beliau berlatih dan memberi maklum balas.

“Beberapa kali pada awalnya, dia berkata: ‘Kenapa terlalu beremosi dan cuba untuk menjadi terlalu ceria? Parlimen sangat serius.’”

Selepas meletak jawatan di AHTC, beliau memutuskan untuk memberi tumpuan sebagai AP sepenuh masa, keputusan yang turut memberinya lebih fleksibiliti dalam membantu penjagaan anak perempuannya yang baru dilahirkan. Beliau merancang untuk menilai semula keadaan kerjayanya sekitar pertengahan penggal ini, apabila anaknya sudah lebih besar sedikit.

Secara keseluruhannya, kehidupan beliau banyak berubah kerana kini hampir tiada pemisahan antara kerja dan kehidupan peribadi, memandangkan beliau sentiasa memikirkan maklum balas penduduk dan isu-isu masyarakat.

Encik Muhaimin berkata buat masa ini beliau masih berjaya mengekalkan profil yang agak rendah, sesuatu yang dihargainya. Beliau menganggarkan sekitar 30 peratus penduduk mengenalinya sebagai AP kawasan tersebut.

Satu lagi penyesuaian yang perlu beliau lakukan ialah belajar untuk tidak terlalu terbawa-bawa dari segi emosi dengan kes-kes yang dikendalikan. Sesi Bertemu Rakyat pada setiap Rabu dan lawatan rumah ke rumah pada Khamis mendedahkan beliau kepada pelbagai isu – daripada kesempitan kewangan hingga pertikaian keluarga dan konflik antara jiran – yang lebih sukar untuk ditangani berbanding masalah berkaitan hartanah yang pernah dikendalikannya sebelum ini.

“Apabila saya mula mengendalikan Sesi Bertemu Rakyat, saya tidak sedar terdapat begitu banyak masalah di luar sana,” kata beliau.

Tidak seperti pekerjaannya dahulu, di mana beliau mengetahui langkah-langkah dan penghuraian bagi pelbagai isu berkaitan hartanah, masalah yang dihadapi manusia yang melibatkan emosi yang lebih sukar untuk ditangani. “Semua isu nyata atau tidak nyata ini, kadangkala saya sendiri tidak mempunyai jawapannya.”

Khususnya dalam pertikaian antara jiran, beliau perlu kekal objektif sebagai AP kepada kedua-dua pihak.

“Apabila mereka memberikan maklum balas tertentu, kami mendengarnya secara langsung dan saya boleh bersimpati dengan mereka. Namun selepas itu, saya perlu berundur seketika dan cuba memahami pula pandangan jiran yang satu lagi,” kata beliau. “Saya perlu mengadakan jarak dan tidak terlalu terkesan dari segi emosi dengan semua ini.”

MENYESUAIKAN DIRI DENGAN TUMPUAN DAN PENELITIAN AWAM

Dengan latar belakang dalam kewartawanan penyiaran dan ehwal awam, AP GRC East Coast Hazlina Abdul Halim tidak asing dengan tugas yang melibatkan perhatian umum. Namun, penelitian yang hadir bersama era digital sememangnya sesuatu yang nyata bagi mereka yang berada dalam kedudukannya, kata Cik Hazlina kepada Mediacorp di Pasar Bedok 85.
Related article image
Anggota Parlimen GRC East Coast Hazlina Abdul Halim di Pasar Bedok 85 pada 30 April 2026. (Gambar: CNA/Liew Zhi Xin)
Para AP wanita, AP minoriti dan AP muda cenderung menerima lebih banyak perhatian sedemikian – khususnya golongan terakhir kerana rakan sebaya mereka merupakan pengguna aktif media sosial, kata CEO Dana Masyarakat EtonHouse berusia 41 tahun itu.

Identiti sedemikian merupakan sesuatu yang “terserlah” untuk dibawakan, kata Cik Hazlina, dan setiap satunya hadir dengan jangkaan yang berbeza dan tersendiri. Sebagai contoh, apabila isu aturan kerja fleksibel dibangkitkan, perbincangan lazimnya menggambarkan wanita sebagai penyedia jagaan. “Namun realitinya, kerja fleksibel membantu keluarga, bukan hanya wanita,” kata beliau.

Pada masa yang sama, pengalaman hidup sedemikian turut memberikan pemahaman yang lebih mendalam dan boleh membantu dalam penggubalan dasar, kata Cik Hazlina.

“Sebagai AP muda, anda akan faham bahawa golongan belia mahukan ruang, mahu melakukan perkara mereka sendiri dan mahukan sedikit kebebasan untuk mencuba. Kemudian sebagai wanita pula, anda memahami cabaran yang dihadapi di rumah atau halangan yang dihadapi di tempat kerja,” kata beliau.

“Dan sebagai seorang minoriti, anda memahami jangkaan budaya dalam keluarga, misalnya dalam membina keluarga dan kepentingan menjaga keluarga besar.”

Reaksinya terhadap kritikan online adalah untuk menerimanya dengan hati yang terbuka, sambil melihat platform sedemikian sebagai ruang untuk memahami sentimen dan mendapatkan maklum balas, dan bukannya gangguan yang perlu diketepikan.

Ia merupakan tabiat yang dibentuk sejak zamannya sebagai seorang penyampai penyiaran, apabila para penonton membuat komen tentang pelbagai perkara daripada cara penyampaiannya hingga gaya rambutnya. “Baiklah, terima kasih, saya akan perbaikinya esok,” itulah pemikirannya ketika itu – dan ia kekal sehingga hari ini.

“Penelitian itu sememangnya semakin meningkat, kerana asasnya juga bertambah. Terdapat lebih ramai orang sekarang,” kata Cik Hazlina. “Anda tidur pada waktu malam dan bangun dengan mengingati bahawa anda merupakan harapan bagi 42,000 penduduk.”

Tanggungjawab itu turut dipikulnya dalam melakukan kerja di lapangan. Walaupun mempunyai pengalaman selama 13 tahun dalam khidmat masyarakat, Cik Hazlina berkata menguruskan sebuah kawasan undi tertentu merupakan pengalaman yang berbeza. Beliau berkata ia mengambil masa sekitar tiga bulan sebelum beliau benar-benar mula mengenali para penduduk menerusi interaksi yang konsisten di lapangan, sama ada secara santai atau dalam acara rasmi.

Keupayaan bahasanya turut memainkan peranan. Cik Hazlina fasih bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin, yang dipelajarinya sejak kecil. “Saya rasa pertukaran bahasa yang dilakukan secara bersesuaian membantu orang ramai merasakan bahawa, ‘Ya, dia akan memahami saya’. Dan saya fikir itu banyak membantu,” kata beliau.

Menguruskan sebuah kawasan undi fizikal juga bermakna terdapat keperluan untuk memikirkan tentang prasarana. Satu laluan berbumbung dan tanjakan baharu yang menghubungkan blok-blok berhampiran Pasar Bedok 85 baru-baru ini dibuka di kawasan Fengshan - sejenis penambahbaikan nyata yang menurutnya disedari dan dihargai para penduduk, menurutnya.

Beliau juga melibatkan para penduduk dalam tugas parlimennya dengan meminta izin untuk berkongsi kisah-kisah mereka semasa berucap di Dewan. “Saya rasa penduduk menghargainya. Mereka rasa dilihat dan didengari.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita