Skip to main content

Singapura

Sesi uji bakat Anugerah bermula, tampilkan juri baharu dan pas 'fast track'

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 06 Jun 2026 09:19PM Dikemas Kini : 13 Jul 2026 01:10PM
SINGAPURA: Usaha pencarian bakat baharu bermula hari ini dengan sesi uji bakat Anugerah 2026 membuka tirai di Taman Warisan Melayu pagi Sabtu (6 Jun).

Dari jam 10 pagi lagi, para peserta sudahpun menunjukkan bakat nyanyian mereka kepada panel juri yang terdiri daripada Sezairi, Ann Hussein dan Hady Mirza.
Related article image
Para juri uji bakat Anugerah, (dari kiri) Sezairi, Hady Mirza dan Ann Hussein (Gambar: Mediacorp)
Ini merupakan pertama kali Hady dan Sezairi tampil sebagai juri Anugerah.

Bagi Hady, yang telah memenangi beberapa pertandingan nyanyian termasuk 'Asian Idol' dan Gegar Vaganza musim keenam, peranan sebagai juri ini bukanlah sesuatu yang beliau ambil ringan.

"Saya rasa sangat, sangat teruja dan juga merasakan satu tanggungjawab yang sangat berat sekali. Saya harap saya akan berikan yang terbaik untuk mereka yang bertanding," luah beliau.
Related article image
Juri Hady Mirza mempunyai banyak pengalaman menyertai pertandingan nyanyian (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
PELIBATAN ALUMNI ANUGERAH DAN PAS 'FAST TRACK' ANTARA PEMBAHARUAN MUSIM KE-12

Selain juri-juri baharu, Anugerah 2026 juga menampilkan beberapa lagi kelainan.

Antaranya ialah pelibatan para alumni Anugerah.

"Kami akan menampilkan bakat-bakat alumni Anugerah daripada musim-musim yang lalu dan mereka akan bergabung dengan bakat-bakat baharu yang kami akan cungkil untuk Anugerah kali ini," jelas penerbit Anugerah 2026, Zulina Karim.
Related article image
Penerbit Anugerah 2026, Zulina Karim (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
"Kami juga mempunyai pas 'fast track' yang diberikan kepada juri untuk memilih bakat-bakat yang mereka rasa sangat cemerlang (dan) sangat menyerlah," tambah beliau.

Setiap juri diberikan dua pas tersebut.

Antara yang menerima pas tersebut dari Hady Mirza ialah Nadhrah Mohamad Roslan.

"Sekarang ini, saya ingin mencuba untuk mencabar diri saya. Saya rasa Anugerah platform yang terbaik untuk ini," kata Nadhrah yang pertama kali menyertai sebarang uji bakat.
Related article image
Penerima pas 'fast track', Nadhrah Mohamad Roslan (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
Seorang lagi penerima pas 'fast track' ialah Danial Badrul Hisham yang menerimanya dari Ann Hussein.

"Saya rasa teruja untuk menyertai uji bakat ini kerana saya yakin dengan nyanyian saya," kata Danial.
Related article image
Danial Badrul Hisham pula menerima pas tersebut daripada Ann (Gambar: Athirah Karim/BERITA Mediacorp)
PEMILIHAN TWM SEBAGAI LOKASI UJI BAKAT

Sesi uji bakat siang tadi akan diikuti oleh sesi kedua esok (7 Jun).

Sesi-sesi uji bakat minggu ini khas untuk mereka yang sudahpun mendaftarkan diri kelmarin.

Bagi mereka yang masih berminat tetapi belum mendaftarkan diri, mereka boleh menyertai sesi uji bakat terbuka pada Sabtu hadapan (13 Jun) di TWM.

Ditanya tentang sebab pemilihan lokasi itu, Zulina menjelaskan, "Sejajar dengan kembalinya Anugerah dengan wajah yang lebih segar, Taman Warisan Melayu juga telahpun melalui pembaharuan. Saya rasa kedua-duanya mempunyai aspirasi yang sama. Oleh itu, uji bakat anugerah diadakan di Taman Warisan Melayu."

14 peserta yang berjaya setelah pusingan ketiga uji bakat akan menyertai peringkat suku akhir yang akan ditayangkan di SURIA bermula 25 Ogos 2026.

Juara Anugerah 2026 yang bakal memenangi hadiah wang tunai $25,000 akan dinobatkan dalam peringkat akhir pada 27 Oktober.
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita