Skip to main content

Singapura

Sesi taklimat bantu asatizah fahami keputusan fatwa, lebih siap jawab soalan jemaah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pelbagai aspek berkaitan fatwa berkaitan ujian saringan genetik bagi pembawa penyakit yang serius dibincangkan dalam satu sesi taklimat buat para asatizah yang dianjurkan Pejabat Mufti hari ini (18 Ogos).

Fatwa yang telah diterbitkan Jawatankuasa Fatwa pada 4 November 2024 itu membolehkan para pasangan untuk menjalani ujian saringan genetik bagi penyakit serius.

Sesi yang dihadiri 112 asatizah itu diharap dapat memberi pencerahan dan menjawab sebarang kemusykilan yang ada dari sudut pandang agama dan sains perubatan.

Barisan panel dianggotai Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa, Anggota Jawatankuasa Fatwa (2025-2028) Ustazah Dr Sakinah Saptu, Penyelidik Makmal Fatwa, Ustaz Huzhaifah Mohd Kamal dan Konsultan KKH, Dr Jeanette Goh.
Related article image
Talasemia dan Distrofi Otot Spina merupakan dua daripada 80 penyakit genetik serius yang disenaraikan, yang didapati lebih sering dikhuatiri oleh pasangan-pasangan yang menjalani ujian saringan bagi penyakit genetik serius di KKH, kongsi Konsultan KKH, Dr Jeanette Goh (dua dari kanan) berikutan sesi perbincangan bagi Fatwa ke atas Ujian Saringan Genetik bagi Penyakit Serius anjuran MUIS.
“Di Singapura, salah satu keadaan lazim yang kami jalankan saringan ialah Talasemia. Talasemia telah pun disaring sebelum saringan pembawa, khususnya bagi wanita hamil di Singapura. Selain Talasemia, kami juga meneliti keadaan lain seperti atrofi otot spina,” kongsi Dr Goh kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Ini merupakan antara usaha Pejabat Mufti untuk memastikan masyarakat Islam memahami sepenuhnya fatwa ini serta pelbagai pilihan yang tersedia untuk pasangan yang berumahtangga.

“Biasanya kita akan mengadakan beberapa sesi taklimat dengan para asatizah. Kita nak pastikan bahawa para asatizah ini memahami keputusan fatwa. Kemudian, mereka boleh menganjurkan sebarang pertanyaan tentang keputusan fatwa. Dalam erti kata lain, sekiranya ada pertanyaan di sisi masyarakat tentang fatwa ini ‘ikhwah’ asatizah boleh membantu untuk sama sama menghuraikan permasalahan tersebut," ujar Ustaz Dr Izal.
Related article image
"Ada beberapa aspek dalam isu ini yang masih lagi memerlukan kajian lanjut," ujar Timbalan Mufti Dr Izal Mustafa (dua dari kiri)
Bagi Ustazah Dr Sakinah pula, ia akan bantu pasangan suami isteri membuat keputusan yang termaklum tentang pilihan reproduktif mereka yang sejajar dan selari dengan kehendak syarak.

“Sebagai guru agama, saya mendapati bahawa hal ini sangat penting kerana kita dapat memberikan panduan agama yang betul kepada pasangan Muslim yang hadir. Mungkin kepada kita asatizah untuk mendapatkan panduan saranan dan nasihat. Jadi sebagai asatizah ketika diberikan dengan fatwa yang begini, ianya seharusnya memberikan kepada mereka dengan keyakinan agar memberikan nasihat yang wajar kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Related article image
Anggota Jawatankuasa Fatwa (2025-2028) Ustazah Dr Sakinah Saptu berkongsi pertimbangan jawatankuasa fatwa ke atas ujian saringan genetik bagi pembawa penyakit serius.
LEBIH BERI KEYAKINAN UNTUK ASATIZAH JAWAB SOALAN JEMAAH

Sesi sebegini juga bermanfaat untuk para asatizah muda sepeti Ustaz Amir Amri Alfian, 27 tahun.

“Apa yang disampaikan tadi sebenarnya adalah satu pendedahan awal kepada para asatizah untuk kita dapat fahami isu supaya apabila nanti para jemaah ataupun mereka di luar sana yang ingin tahu lebih lanjut mengenai fatwa sedemikian," kongsi Ustaz Amir yang juga merupakan Pegawai Dakwah di Masjid Al-Iman.

"Lebih memberikan keyakinan kepada soalan yang diajukan oleh para jemaah dan buat diri saya sendiri pula, ianya boleh dikatakan relevan jugalah kerana saya pun baru setahun berumahtangga dan insya-Allah ini sebagai satu ilmu tambahan untuk kita berkongsi bersama," tambahnya.
 
Related article image
Barisan panel dianggotai (dari kiri) Penyelidik Makmal Fatwa, Ustaz Huzhaifah Mohd Kamal, Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa, Anggota Jawatankuasa Fatwa (2025-2028) Ustazah Dr Sakinah Saptu dan Konsultan KKH, Dr Jeanette Goh memberi pencerahan dan menjawab persoalan-persoalan yang diajukan para asatizah. (Gambar: Roslinda Rahmat)
Jawatankuasa Fatwa kini sedang meneliti dengan lebih lanjut berkenaan pilihan-pilihan yang tersedia untuk pasangan Muslim.

Ia menyusuli pelancaran inisiatif ujian saringan yang dilancarkan oleh SingHealth Duke-NUS pada tahun 2024.
Jawatankuasa Fatwa MUIS telah membincangkan kedudukan agama berkaitan saringan ini untuk pasangan Muslim.

Program saringan itu dapat membantu mengenal pasti pembawa penyakit genetik yang serius dan potensi keadaan genetik dalam anak-anak pada masa hadapan.

“Kami di Pejabat Mufti dan juga Jawatankuasa Fatwa kita terus mengadakan boleh kita katakan kerjasama dengan pihak KKH dan juga pihak SingHealth berkaitan dengan isu ini. Kerana ada beberapa aspek dalam isu ini yang masih lagi memerlukan kajian lanjut. Sebagai contoh, pasangan yang telah melalui ujian saringan dan dapat keputusannya, apa pilihan yang ada di sisi mereka? Nah, ada pelbagai pilihan dan kesemua pilihan ini perlu untuk dikaji dan diteliti di peringkat Jawatankuasa Fatwa,” jelas Dr Izal.

Sebuah lagi sesi akan diadakan esok (19 Ogos) di Hab Islam Singapura dan diadakan dalam bahasa Inggeris.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita