Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sesi rangkaian belia diadakan di M³@Jalan Besar; galak golongan belia sumbang kembali kepada masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
Sesi rangkaian belia diadakan di M³@Jalan Besar; galak golongan belia sumbang kembali kepada masyarakat

Sesi rangkaian belia diadakan di M³@Jalan Besar; galak golongan belia sumbang kembali kepada masyarakat. (Gambar: MENDAKI)

SINGAPURA: Lebih ramai belia diharap dapat meraih manfaat daripada sumber-sumber yang sedia ada dan kembali menyumbang sebagai mentor untuk membantu lebih ramai penduduk dalam masyarakat Melayu/Islam.

Antara sumber itu termasuk sesi Rangkaian YOUth@M3 di M³@Jalan Besar yang baru sahaja mengadakan sesi pertamanya pada Sabtu (18 Feb) di Kelab Masyarakat Kolam Ayer.

Menulis dalam satu catatan di Facebook, Penasihat M³@Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah berkongsi bahawa beliau teruja menyambut kehadiran para pelajar institusi pengajian tinggi dan ibu bapa yang menghadiri sesi pertama itu.


(Gambar: MENDAKI) 

Hampir 20 peserta menghadiri sesi tersebut, yang merupakan para penduduk di kawasan Jalan Besar.

"Sesi-sesi sebegini membolehkan M³@Jalan Besar mengenal pasti dan memanfaatkan potensi belia kita sebagai aset masyarakat dan menggalakkan mereka untuk memberi sumbangan positif kepada masyarakat Melayu/Islam," menurut Dr Wan Rizal.

"Melalui perkongsian dengan peserta dan ‘human library’ kami mahu para belia memanfaatkan sumber yang ada dan kembali sebagai mentor untuk membantu lebih ramai lagi untuk berjaya. Melalui usaha sukarelawan ini, (ia) dapat membantu belia kita membina modal sosial dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk mencapai aspirasi mereka," tambahnya lagi.

MUDASG KONGSI RANCANGAN SOKONG USAHA DEKATI PENDUDUK MUDA DI M³@JALAN BESAR DAN KELUARGA PROJECT DIAN


(Gambar: MENDAKI) 

Dalam sesi yang sama, kumpulan relawan belia, MudaSG turut berkongsi tentang rancangan mereka bagi menyokong usaha-usaha untuk mendekati para penduduk muda di M³@Jalan Besar serta keluarga-keluarga di bawah Projek DIAN.

"Kami berhasrat untuk memperkasakan lebih ramai belia untuk menerajui projek yang diminati mereka seperti kesihatan mental dan kemampanan," kongsi Dr Wan Rizal di laman Facebooknya.

"Dengan adanya jumlah warga emas yang lebih tinggi di Jalan Besar, golongan belia juga akan memulakan projek-projek yang turut menggalak kesihatan dalam kalangan warga emas," menurutnya lagi.


(Gambar: MENDAKI) 

Dr Wan Rizal berharap dapat melihat lebih ramai golongan belia terus menyumbang menerusi MENDAKI, M³ atau M³@Jalan Besar, berkongsi pengalaman mereka serta "menyumbang kembali ke arah usaha membina sebuah Masyarakat Gemilang."

Sejak 2019, MENDAKI bersama 11 lagi M³@Bandar sudahpun menganjur sesi-sesi sebegini untuk menjalin hubungan dan rangkaian bersama para pelajar dari Institut Pengajian Tinggi (IHL) yang menerima Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) dan juga Anugerah MENDAKI.

Sejauh ini, lebih 1,700 pelajar dan ibu bapa sudah menyertai sesi-sesi itu.

Baru-baru ini, satu lagi sesi rangkaian YOUth@M3 juga diadakan bagi M³@Nee Soon pada 4 Februari.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan