Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sesi meja bundar Taman Bacaan bincang peranan penting belia tangkis naratif radikal

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Golongan belia tanpa mengira kaum dan agama berperanan penting dalam usaha membanteras ekstremise ganas dan memperkukuh perpaduan sosial, sekali gus menjadikan Singapura sebuah negara yang selamat.

Demikian ditekankan oleh Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Abdul Halim Kader.

Beliau berkata demikian semasa membuka tirai perbincangan meja bundar mengenai 'Peranan belia dalam membanteras ekstremisme ganas dan mengukuhkan perpaduan sosial' hari ini (11 Feb).

Sesi itu menekankan bahawa ancaman pengganasan kekal tinggi di Singapura, dengan individu yang menjadi radikal sendiri - baik menerusi wadah online atau sebaliknya - terus menjadi punca utama ancaman domestik.

Tidak mengira apa sekalipun profilnya, sesiapa sahaja boleh menjadi radikal.

Perkembangan di luar negara, seperti di Timur Tengah, Afghanistan dan Ukraine juga boleh menjejas landskap keselamatan Singapura.
 
Elemen-elemen pelampau boleh mengeksploitasi konflik sedemikian untuk menyampaikan naratif radikal mereka dan merekrut penyokong.

Lantaran itu, penting untuk memastikan golongan belia peka dengan perkembangan dan isu-isu sedemikian untuk mengekalkan sikap tidak bertolak ansur terhadap semua jenis ucapan kebencian dan retorik pelampau.

"Kita hidup dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, di mana kita perlu bekerjasama antara kaum yang berbeza. Anda (golongan muda) adalah golongan yang akan menyampaikan mesej ini kepada generasi seterusnya.

"Dalam erti kata lain, 40 peratus rakyat muda Singapura perlu memainkan peranan untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang selamat," kata Encik Abdul Halim.

Sesi tersebut juga menegaskan pentingnya "aduan yang dibuat di peringkat awal" supaya pihak berkuasa boleh mengenal pasti individu-individu berisiko dan membantu mereka menjauhi radikalisme menerusi langkah-langkah pencegahan seperti panduan dan kaunseling.
Para peserta juga diingatkan bahawa membuat aduan tidak semestinya bermakna individu yang dilaporkan akan ditahan.

Sesi tersebut dianjurkan oleh Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura dengan kerjasama Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Seramai 25 penuntut prauniversiti Madrasah Alsagoff Al-Arabiah menghadiri sesi perbincangan tertutup tersebut bersama enam ahli panel, termasuk Encik Abdul Halim.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan