Sesi kumpulan fokus bincangkan Pelan Induk pengangkutan darat
Meluaskan ruang pejalan kaki dan sambungan perjalanan lebih lancar.
Sesi kumpulan fokus mengenai Mobiliti Aktif. (Gambar: Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim/Fcaebook)
BERITAmediacorp: Meluaskan ruang pejalan kaki dan sambungan perjalanan lebih lancar.
Itulah antara harapan yang dikongsi para peserta di satu sesi kumpulan fokus mengenai Mobiliti Aktif semalam (1 Dis).
Turut serta dalam sesi perbincangan Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) itu ialah pengerusinya, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.
Dalam satu catatan Facebook hari ini (2 Dis), Dr Faishal yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga melahirkan rasa "terima kasih kepada para peserta yang menghadiri sesi tersebut" dan dengan "ghairah berkongsi bagaimana mobiliti aktif boleh menyediakan kaedah pengangkutan yang mudah dan cekap untuk semua rakyat Singapura di masa hadapan".
Perbincangan itu bertujuan menjana idea, mengumpul maklum balas serta mendapatkan saranan-saranan tentang cara untuk mengatasi cabaran-cabaran mobiliti aktif yang dihadapi sekarang.
Berkongsi lebih lanjut, Dr Faishal berkata, "Antara saranan-saranan yang diutarakan semasa sesi kumpulan fokus itu adalah untuk memperluaskan laluan pejalan kaki di kawasan-kawasan sibuk dan memudahkan akses.
"Beberapa peserta inginkan ketersambungan lebih baik apabila menggunakan alat-alat mobiliti aktif untuk melakukan perjalanan merata negara. Peserta lain berharap agar di masa depan, para pengguna alat mobiliti aktif dan kenderaan akan lebih mementingkan keselamatan dan berhemah antara satu sama lain," menurut Dr Faishal.
Menurut Dr Faishal lagi, sebagai ahli Panel Penasihat Pelan Induk Pengangkutan Darat - LTMP 2040, beliau amat gembira dapat berinteraksi dengan para peserta daripada pelbagai latar belakang kehidupan. Beliau menyeru semua pihak bersama-sama memperbaiki pengalaman mobiliti aktif di Singapura dan memastikan persekitaran yang lebih selamat dan selesa bagi semua pengguna laluan dan jalan raya, sekaligus menjadikan berjalan, mengayuh dan menaiki pengangkutan awam satu cara hidup di Singapura.
Perbincangan itu tambahnya akan menyumbang kepada saranan dan laporan Pelan Induk keseluruhan yang dihasillkan oleh Panel Penasihat LTMP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.