Sesi damping pasangan muda akan dianjur bagi sokong usaha membesarkan anak pasca COVID-19
Pemerintah akan melancarkan satu siri sesi pendampingan awam bersama pasangan-pasangan muda tentang membesarkan anak-anak dalam dunia pasca COVID-19, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah, yang menyelia Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), pada Jumaat (1 Jan).
SINGAPURA: Pemerintah akan melancarkan satu siri sesi pendampingan awam bersama pasangan-pasangan muda tentang membesarkan anak-anak dalam dunia pasca COVID-19, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah, yang menyelia Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD), pada Jumaat (1 Jan).
Cik Indranee berkata matlamat perbincangan tersebut, yang akan bermula selepas Belanjawan 2021 dibentangkan pada Februari, adalah untuk memahami isu-isu dan keprihatinan yang dihadapi oleh para pasangan muda dalam keadaan norma baru selepas pandemik, memandangkan COVID-19 menyebabkan segelintir pasangan memutuskan untuk menangguhkan rancangan perkahwinan mereka dan yang berasa bimbang tentang kos.
"Ia penting jika kita mahu Singapura menjadi sebuah negara yang mesra keluarga, jika kita mahu Singapura menjadi sebuah tempat yang menyokong pasangan dan keluarga mereka, untuk memahami apakah yang difikirkan oleh pasangan-pasangan dan keluarga muda," kata Cik Indranee di sidang media maya semasa lawatannya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK untuk bertemu dengan bayi-bayi yang dilahirkan pada Tahun Baru.
Semasa sesi-sesi tersebut yang akan diadakan online, Cik Indranee berkata beliau berharap dapat merungkai isu-isu yang perlu ditangani dan sama ada ia adalah dasar-dasar atau inisiatif yang perlu diperkenalkan.
"Kadar kesuburan (TFR) kita adalah 1.14, saya benar-benar berharap ia boleh diperbaiki. Namun untuk meningkatkannya juga bermakna anda harus memastikan keluarga-keluarga diberikan lebih banyak sokongan," katanya.
Beliau turut mengusulkan idea bekerja dari rumah sebagai topik yang boleh dibincangkan semasa pertemuan secara online itu - bagaimana aturan kerja yang lebih fleksibel boleh membantu dan mungkin menghambat para ibu bapa, dan bagaimana untuk menjadikannya sebahagian daripada norma baru.
Cik Indranee berkata matlamatnya adalah untuk "melibatkan seramai mungkin individu" dalam sesi tersebut. Mereka akan menghubungi keluarga-keluarga dalam peringkat kehidupan yang berbeza, termasuk para pasangan yang baru berkahwin, ibu bapa yang bakal menimang cahaya mata, mereka yang mempunyai anak-anak sehingga usia memasuki sekolah rendah, ibu bapa tunggal dan ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa.
Keutamaannya, kata beliau, adalah untuk memberi bantuan kepada keluarga rakyat Singapura, namun ia tidak akan "menolak maklum balas" daripada penduduk tetap atau warga asing.
Pihak berkuasa, kata Cik Indranee, masih sedang menentukan "jumlah optimum" individu untuk didampingi dan para penggubal dasar yang lain juga akan dilibatkan, katanya, memandangkan terdapat beberapa kementerian misalnya, Kesihatan dan Pendidikan yang menangani isu-isu keluarga, sambil menambah bahawa butiran lanjut akan diberikan pada masa akan datang.
Pemerintah sebelum ini cuba menangani kesulitan yang disebabkan oleh COVID-19 pada perancangan keluarga.
Pada Oktober lalu, ia memperkenalkan bonus bayi COVID-19 sekali sahaja sebanyak S$3,000 untuk bayi yang dilahirkan antara Oktober 2020 dengan September 2022, di samping bayaran sedia ada sehingga S$10,000 bagi setiap kanak-kanak.
Bayaran berbentuk tunai sekali sahaja itu adalah untuk membantu para pasangan "menampung kos membesarkan anak-anak semasa waktu sukar ini", menurut NPTD dalam kenyataan medianya ketika itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.