Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sesi bertemu penduduk diadakan secara hibrid; AP buat penyesuaian dampingi penduduk dalam talian

Walaupun sesi bertemu penduduk sebahagian besarnya sudah disambung semula, cara penduduk mengutarakan isu dan keprihatinan mereka sudah beralih online - dengan lebih ramai yang menggunakan wadah online untuk mendekati Anggota Parlimen (AP) masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Sesi bertemu penduduk diadakan secara hibrid; AP buat penyesuaian dampingi penduduk dalam talian

(Gambar: Facebook/Jamus Lim, Poh Li San)

Diterbitkan : 14 Jan 2022 10:31AM Dikemas Kini : 14 Jan 2022 10:31AM

SINGAPURA: Walaupun sesi bertemu penduduk sebahagian besarnya sudah disambung semula, cara penduduk mengutarakan isu dan keprihatinan mereka sudah beralih online - dengan lebih ramai yang menggunakan wadah online untuk mendekati Anggota Parlimen (AP) masing-masing.

Pada Selasa lalu (4 Jan), AP Jamus Lim (WP-Sengkang) menulis di Facebook bahawa seperti ramai penduduk Singapura yang kembali ke pejabat pada tahun baru ini, Parti Pekerja pula menyambung semula kegiatan mendampingi penduduk secara bertemu muka pada minggu lalu.

Namun di kawasan undinya di Anchorvale, sesi bertemu penduduk (MPS) pada Isnin malam (3 Jan) diadakan secara "kecil-kecilan".

Sukarelawan yang ditugaskan untuk menulis surat tetap bekerja di luar pejabat sementara satu pasukan berasingan yang terdiri daripada para sukarelawan utama berada di sana. Langkah-langkah kawalan dilaksanakan untuk mengasingkan para penduduk divaksin dan belum divaksin di kawasan menunggu yang berasingan.

"Seperti kebanyakan operasi, kmai juga kini lebih hibrid dalam cara kami bekerja," kata Profesor Madya Lim.

"Ramai penduduk yang mendekati kami secara online, memberikan butiran yang cukup banyak sehingga kami dapat membantu mereka dengan cara sedemikian."

"KAMI AKAN BERUBAH MENGIKUT PERKEMBANGAN PLATFORM"

Beberapa AP memberitahu Mediacorp mereka telahpun menyaksikan peralihan itu, yang dipacu oleh pandemik COVID-19, di samping pendigitalan beberapa aspek kehidupan yang lain.

Profesor Madya Lim berkata meskipun beliau sudah menyambung semula sesi bertemu penduduk secara bertemu muka pada setiap Isnin, para sukarelawan dan ramai penduduk kini mahir menggunakan alat persidangan video online seperti Zoom sehinggakan beliau mengekalkan pilihan itu bagi mesyuarat MPS.

Ini berguna bagi sesetengah kes di mana penduduk tidak dapat menghadiri sesi MPS pada Isnin malam atau mempunyai perkara mustahak yang perlu diselesaikan segera atau tidak dapat menghadiri secara fizikal ke sesi itu.

AP Poh Li San (PAP-Sembawang) berkata beliau belum lagi menyambung semula sesi bertemu penduduk. Sebaliknya, beliau membalas kiriman emel daripada penduduk yang memerlukan bantuan. Ada juga yang menghubungi beliau menerusi Facebook Messenger.

Walaupun ramai penduduknya kini menggunakan wadah maya untuk menghubunginya, segelintir penduduk yang tidak maklum bahawa sesi MPS sudahpun digantung atau mereka yang kurang celik teknologi tetap pergi ke pejabatnya untuk mendapatkan bantuan.

Justeru, menurut Cik Poh, pada setiap lewat petang Rabu, beliau dan sekumpulan relawan yang kecil akan ke pejabat MPS beliau untuk membantu para penduduk berkenaan.

"BAIK BURUKNYA"

Cik Poh dan beberapa lagi AP yang ditemui berkata para penduduk kini tidak perlu lagi menunggu sehingga sesi mingguan diadakan untuk menghubungi mereka. Penduduk juga tidak perlu beratur dan bantuan dapat segera dihulurkan bagi kes-kes yang tidak rumit.

Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Alvin Tan (PAP-Tanjong Pagar) berkata bahawa rayuan dan cadangan daripada penduduk dihantarkan kepadanya setiap hari menerusi banyak wadah berbeza.

"Saya rasa kami perlu membuat penyesuaian... MPS bukan seperti MPS dahulu, di mana anda tahu, anda berjumpa pada setiap hari Isnin atau mana-mana hari yang anda tetapkan, ia sebenarnya setiap hari... ia hampir tidak henti-henti," katanya.

"Terdapat baik buruknya apabila anda selalu tersedia. Anda secara tidak langsung meningkatkan jangkaan."

MASIH PILIH SESI FIZIKAL

Meskipun dengan kemudahan untuk mengadakan sesi bertemu penduduk secara online, Cik Poh dan Cik Foo Mee Har (PAP-West Coast) berkata mereka lebih memilih sesi pertemuan secara fizikal.

Menurut Cik Poh: "Bagi sesi-sesi secara bertemu muka, kami dapat menenangkan dan berinteraksi dengan penduduk, berbual dengan mereka, terutama sekali jika bahasa ibunda mereka bukan Inggeris.

"Selain itu, menerusi bahasa gerak tubuh, kami dapat menilai dengan lebih baik jika penduduk itu mempunyai keperluan lain yang mereka mungkin tidak kongsikan dalam kiriman emel atau panggilan telefon. Secara peribadi, saya lebih memilih sesi secara fizikal."

Semua AP berkata jika sesuatu kes itu adalah rumit, mereka akan mengaturkan satu sesi mesyuarat menerusi Zoom, panggilan telefon atau lawatan ke rumah untuk bertemu penduduk.

Mereka juga mempunyai sekumpulan kakitangan yang mengendalikan pejabat-pejabat cawangan mereka pada malam sesi bertemu penduduk bagi para penduduk yang tidak begitu mahir dalam IT.

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa