Skip to main content

Singapura

Sesetengah peruncit kecewa dikecualikan daripada skim baucar CDC meski sudah kemukakan rayuan berulang kali

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah peruncit kecewa dikecualikan daripada skim baucar CDC meski sudah kemukakan rayuan berulang kali

Perekat baucar CDC di Kim Choo Kueh Chang di 111 East Coast Road pada 4 Sep 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 05 Sep 2025 10:43AM Dikemas Kini : 05 Sep 2025 10:57AM
SINGAPURA: Sejak 2023, Cik Cyndy Kumuo sudah mencuba sebanyak empat kali untuk memohon supaya kedainya disertakan dalam skim baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), namun gagal.

Beliau dimaklumkan bahawa lokasi kedainya tidak layak bagi skim itu, meskipun terdapat perniagaan serupa berdekatan.

Surat penolakannya menyatakan: "Skim kami hanya tersedia untuk peniaga yang terletak di kolong blok perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan di pusat penjaja."

Kedai Cik Kumuo, I.N.U Boutique di Balestier, menjual produk berkaitan haiwan peliharaan di sebuah unit yang disewa secara persendirian.

Pemeriksaan Mediacorp mendapati sebuah lagi kedai berkaitan haiwan peliharaan terletak tidak jauh daripada kedai itu berjaya disertakan dalam skim tersebut.

"Apakah kriteria untuk mendapatkan kelulusan? Jika seseorang di kawasan ini mendapat kelulusan ... maka anda sepatutnya memastikan semua orang di kawasan ini juga diberikan kelulusan," katanya. "Ini tidak adil. Bagi kami, ia agak mengarut."

RAYUAN PENIAGA DI KATONG DAN JOO CHIAT DITERIMA

Pada bulan lalu, seramai 25 peniaga di Katong dan Joo Chiat, kebanyakannya perniagaan persendirian, berjaya dalam rayuan mereka selepas melobi selama empat bulan.

Encik Edmond Wong, pengerusi Persatuan Perniagaan Katong-Joo Chiat, berkata kedai keluarganya, Kim Choo Kueh Chang, ditolak pada percubaan pertama. Beliau mengemukakan rayuan bagi pihak ramai peniaga yang bergelut dengan kos yang tinggi.

"Mereka rasakan ia mustahil untuk disertakan dalam skim itu... mereka sangat tawar hati pada awalnya," katanya.

Kelulusan itu memberi kelegaan kepada mereka: "Kami sangat gembira dan berbesar hati bahawa mereka menunjukkan kemurahan hati dalam hal ini."

LOKASI TIDAK LAYAK?

Laman web CDC menyatakan baucar itu boleh digunakan di "semua perniagaan, penjaja dan pasar raya kejiranan yang mengambil bahagian di merata Singapura".

Para pemohon yang ditolak permohonan mereka diberitahu bahawa perniagaan kejiranan merujuk kepada kedai-kedai di kolong blok HDB, kompleks dan pusat beli-belah, serta Perniagaan Kecil dan Sederhana (SME) seperti yang ditakrifkan oleh Enterprise Singapore.

Para peniaga dalam pusat beli-belah privet, kondominium, rumah-rumah kedai yang diwartakan dan tapak-tapak serupa dikecualikan.

Para penjual di kios, gerai tanpa kawasan tetap (pop-up) dan pasar malam juga tidak layak bagi skim itu.

Namun Mediacorp mendapati kedai-kedai di Bukit Timah dan berhampiran Orchard diberi kelulusan tanpa sebarang isu.

Di kedai runcit gourmet The Fishwives, kakitangannya Cik Jaffar berkata mereka disertakan dengan begitu pantas sekali.

"Para pelanggan gembira kerana mereka dapat memanfaatkan baucar mereka untuk pembelian (di kedai kami)."

Seorang jurucakap CDC memberitahu Mediacorp: "Secara amnya, perniagaan dan penjaja pusat adalah golongan yang menyediakan keperluan dan perkhidmatan harian. Walau bagaimanapun, baucar itu tidak boleh digunakan untuk membeli produk loteri, petrol, diesel, alkohol atau rokok."

PENGECUALIAN DIBERIKAN UNTUK "KHIDMAT PENTING"

Kiriman emel dari CDC yang dilihat Mediacorp menunjukkan pengecualian diberikan jika tiada sebarang penjual HDB berhampiran yang menyediakan perkhidmatan penting.

Namun perunding F&B Encik Khoo Keat Hwee, di mana permohonan skim baucar CDC bagi kedai kopinya di Pasir Ris ditolak, berkata: "Ada tempat yang terletak di luar kawasan kejiranan, atau dalam kawasan kejiranan, tetapi dalam bangunan berlainan.

"Jadi ia seolah-olah seperti anda "berada" di tempat yang salah."

Cik Gladys Lim, pengasas LimCha Teahouse berkata beliau dimaklumkan kelulusan mungkin bergantung kepada demografi dan jenis perdagangan.

Kedai-kedai makanan dilihat sebagai "penting", tetapi kedai minuman tehnya yang juga menawarkan bengkel dianggap berada di luar skop berkenaan.

Beliau juga diminta untuk menunjukkan tangkapan skrin permintaan pelanggan bagi menyokong rayuannya.

Kesnya masih lagi disemak sedang perbincangan sedang dijalankan berhubung perubahan dasar bagi perusahaan di rumah kedai.

PENDUDUK UTAMAKAN PENIAGA YANG TERIMA BAUCAR

Di Balestier, Cik Tan, pemilik restoran vegetarian GM, berkata perniagaannya merosot 30 hingga 40 peratus apabila baucar baharu diagihkan.

"Dari segi kriteria mereka, saya fikir ia sudah lapuk atau tidak lagi relevan."

Cik Joyce Chung daripada Guilt Free Food mencadangkan bahawa kelulusan harus diberikan bergantung kepada jenis perniagaan. Beliau yang mengendalikan kedai kek yang menjual kek-kek sesuai bagi penghidap kencing manis, menyediakan keperluan masyarakat.

Sungguhpun begitu, Cik Kumuo dari I.N.U Boutique berpendapat bahawa ia sudah terlambat: "Kami sudah (kehilangan pelanggan), (kesannya) sudah terlalu mendalam buat kami."
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita