‘Sesetengah penunjuk’ buktikan S’pura sasaran kempen maklumat palsu baru-baru ini
Terdapat “beberapa penunjuk” yang menunjukkan bahawa Singapura menjadi sasaran kempen perang maklumat oleh sebuah negara yang sedang berusaha untuk mewajarkan tindakannya di peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa pilihan itu mengadakan dua sesi tertutup. (Gambar: MCI)
SINGAPURA: Terdapat “beberapa penunjuk” yang menunjukkan bahawa Singapura menjadi sasaran kempen perang maklumat oleh sebuah negara yang sedang berusaha untuk mewajarkan tindakannya di peringkat antarabangsa, kata seorang ahli akademik dengan memberi bukti kepada Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Online Disengajakan dalam satu sesi tertutup.
Jawatankuasa tersebut mengadakan dua sesi privet semalam (16 Mac) untuk mendengarkan keterangan lisan. Sesi-sesi itu diadakan secara privet kerana ia “berhubung perkara-perkara mengenai keselamatan negara dan hubungan antarabangsa”, menurut jawatankuasa berkenaan dalam rumusan keterangannya pada hari ketiga perbincangan berkenaan.
Dalam salah satu sesi sedemikian, Dr Gulizar Haciyakupoglu – seorang felo penyelidikan di Pusat Kecemerlangan bagi Keselamatan Negara di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang – menarik perhatian tentang bagaimana negara berkenaan cuba mempengaruhi sesetengah golongan masyarakat melalui artikel berita dan media sosial bagi “mewajarkan tindakannya di peringkat antarabangsa”.
Namun, negara tersebut tidak dikenal pasti dalam rumusan keterangan itu.
Beliau juga menarik perhatian bahawa Singapura pernah menjadi mangsa beberapa serangan siber sebelum ini, termasuk serangan ke atas kementerian-kementerian yang sensitif.
“Ancamannya nyata bagi Singapura,” tegas Dr Haciyakupoglu.
Beliau berkata bahawa kempen maklumat palsu kini semakin canggih dan ada kalanya orang awam boleh menyumbang sebagai “penyebar maklumat palsu” dan turut membentuk “sebahagian daripada militia yang bertindak bagi menyokong kempen maklumat palsu yang dibiayai oleh sesebuah negara”.
Kempen-kempen sebegitu dilengkapi dengan serangan siber termasuk serangan perisian hasad, menggodam lelaman yang mempunyai pelbagai sumber atau DDOS dan gabungan “program pintu belakang”, yang membolehkan negara penyerang untuk mengumpul maklumat tentang rakyat negara yang disasarkan dan meningkatkan kesannya, tambah Dr Haciyakupoglu.
SINGAPURA “BELUM BERSEDIA SEPENUHNYA” MENANGANI KEMPEN MAKLUMAT PALSU
Seorang lagi felo penyelidikan di RSIS, Dr Damien Cheong turut menunjukkan bukti dalam sesi privet yang berasingan di mana beliau berkata bahawa Singapura belum “bersedia sepenuhnya” untuk menangani kaedah-kaedah kempen maklumat palsu.
Beliau juga menarik perhatian kepada kewujudan tentera siber di rantau ini termasuk Malaysia dan Indonesia yang dengan mudah boleh dikerahkan terhadap Singapura sama ada secara langsung ataupun sebagai proksi bagi negara lain.
Beliau juga memberi amaran mengenai insiden-insiden yang mungkin dan sudahpun berlaku yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan terhadap institusi-institusi yang diyakini seperti polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.