Skip to main content

Singapura

Sesetengah netizen di Asia Tenggara tubuh kumpulan siber ganggu askar Israel, lakukan buli online

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah netizen di Asia Tenggara tubuh kumpulan siber ganggu askar Israel, lakukan buli online

Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)

Diterbitkan : 02 Dec 2023 03:34PM

SINGAPURA: Masyarakat siber dari beberapa negara Asia Tenggara melancarkan kempen online terhadap Israel serta menentang respons pelbagai pemerintah terhadap perang Israel-Hamas yang telah berlarutan selama hampir dua bulan.

Di Indonesia dan Malaysia, para netizen telah menyerang dan membuli tentera siber dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dengan membanjiri akaun-akaun media sosial mereka melalui panggilan, komen dan mesej, dalam usaha untuk melemahkan semangat mereka.

Sementara itu, dengan undang-undang domestik melarang bantahan fizikal terhadap perang Israel-Hamas, banyak perdebatan dalam kalangan rakyat Singapura berlaku secara online.

Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 18 Okt menyatakan bahawa acara dan perhimpunan awam berhubung konflik Israel-Hamas tidak dibenarkan atas sebab-sebab keselamatan dan ketenteraman awam, memandangkan ketegangan berhubung konflik tersebut semakin memuncak.

Sesetengah netizen di rantau ini, berdasarkan bahasa yang digunakan atau nama negara yang dikenal pasti dalam akaun media sosial mereka, mengkritik pendekatan pemerintah Singapura, manakala yang lain pula tidak berpuas hati dengan kumpulan-kumpulan tertentu di Singapura yang kelihatan seolah-olah tidak peduli terhadap konflik itu.

Seorang penganalisis memberitahu Mediacorp bahawa gerakan dan tindakan sedemikian memberikan netizen yang berada jauh dari zon perang merasakan seolah-olah mereka perlu "mengambil tindakan", tetapi mencadangkan bentuk-bentuk aktivisme yang lain mungkin lebih berkesan.

INDONESIA DAN MALAYSIA: AKTIVISME ONLINE DAN SERANGAN MAKLUMAT PALSU

Dalam perang online menentang Israel, gerakan berpangkalan di Indonesia yang diberi nama #JulidFiSabilillah telah mencetuskan 'doxxing' dan buli siber terhadap anggota IDF serta orang lain yang dianggap oleh kumpulan itu sebagai zionis, iaitu gelaran yang merujuk kepada mereka yang percaya kepada penubuhan sebuah negara bagi orang Yahudi.

Menurut laporan media tempatan, akaun media sosial dan nombor telefon bimbit WhatsApp askar Israel disebarkan secara online, membolehkan rakyat Indonesia dan juga rakyat Malaysia untuk membanjiri akaun tersebut dengan komen, mesej dan panggilan.

Sesetengah askar Israel telah menutup bahagian komen di Instagram mereka, manakala yang lain pula kehilangan akaun mereka.

Seorang warga Indonesia - yang menggunakan nama pena Erlangga Greschinov - memulakan gerakan itu apabila dia mula-mula berkongsi akaun media sosial askar-askar IDF pada 16 Nov.

Dia memberitahu Mediacorp melalui panggilan telefon bahawa dia merasakan dia perlu mengambil tindakan selepas melihat tentera Israel di Instagram berpesta di Gaza.

“Mereka menari di bandar Gaza yang punah-ranah … Dan saya (mula bertanya): ‘Mengapa orang-orang ini tidak menyesali kekejaman (yang mereka lakukan)?’

Gerakan itu bertujuan untuk menyanggah naratif oleh media dan tentera Israel yang memaparkan rakyat Palestin dengan cara yang negatif, katanya.

Dr Joanne Lim, seorang profesor jurusan Komunikasi, Media dan Pengajian Budaya di Universiti Nottingham di Malaysia, berkata bahawa bentuk aktivisme sebegini adalah satu bentuk "tanggungjawab" di mana netizen merasakan tanggungjawab sosial yang mendalam untuk meminta kekejaman di Gaza segera dihentikan.

Sungguhpun demikian, Dr Lim berpendapat bahawa bentuk aktivisme yang lain mungkin lebih berkesan.

“Daripada mengapi-apikan keadaan dan menjadi ejen penyebar khabar angin dan informasi salah, satu bentuk aktivisme yang lebih berkesan adalah meminta tindakan … untuk membantu meringankan penderitaan yang disebabkan oleh kekejaman secara besar-besaran ini dan jenayah perang terhadap kemanusiaan,” katanya.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai gerakan yang serupa seperti di Indonesia, para netizen di negara itu telah mengambil tindakan untuk menyerang pengguna, baik di Malaysia mahupun di seluruh dunia, yang menyokong Israel.

KRITIKAN YANG ADIL PENTING DALAM WACANA BERKAITAN SINGAPURA: PENGANALISIS

Di Singapura, Dr Mathew Mathews, ketua makmal sosial Institut Pengajian Dasar (IPS), memberitahu Mediacorp bahawa walaupun tidak mungkin sebahagian besar rakyat Singapura tidak mempedulikan peristiwa yang berlaku sejak dua bulan lalu, ramai berhati-hati tentang kelantangan mereka di ruang siber.

Ini kerana rakyat Singapura menyedari bahawa konflik tersebut adalah isu yang sensitif, katanya.


Beliau menambah bahawa ramai juga mungkin mendengar dan memahami seruan pemerintah supaya rakyat Singapura tidak membiarkan isu ini menimbulkan pergeseran antara kumpulan-kumpulan di Singapura dan pemerintah memantau dengan teliti keadaan itu terutamanya berkaitan dengan ancaman terhadap keselamatan negara.

Menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan bersama, rakyat Singapura juga telah menyumbang lebih S$7 juta dalam bentuk wang tunai dan sumbangan barangan untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan di Gaza.

Dr Syed Farid Alatas, seorang profesor sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), juga bersetuju dengan sensitiviti isu itu tetapi berkata bahawa lebih banyak boleh dilakukan oleh rakyat Singapura seperti mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai perang Israel-Hamas.

“Menghulurkan bantuan kemanusiaan tentu sekali penting, tetapi tidak benar bahawa ia adalah satu-satunya perkara yang boleh kita lakukan. Mungkin ada lagi cara-cara lain yang boleh kita usahakan,” katanya kepada Mediacorp.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita