Sesetengah keluarga bergaji rendah akan dapat geran tambahan S$15,000; pilihan beli flat 3 bilik
Sesetengah keluarga bergaji rendah akan mendapat geran lebih tinggi untuk membeli rumah sendiri di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru yang dipertingkat yang diumumkan pada Selasa (8 Mac).
(Gambar: CNA)
SINGAPURA: Sesetengah keluarga bergaji rendah akan mendapat geran lebih tinggi untuk membeli rumah sendiri di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru yang dipertingkat yang diumumkan pada Selasa (8 Mac).
Sebagai sebahagian daripada perubahan itu, mereka juga dibenarkan untuk membeli flat tiga bilik dengan tempoh pajakan yang lebih singkat, selain daripada pilihan flat Flexi dua bilik dengan tempoh pajakan yang lebih pendek.
Skim itu ditawarkan kepada keluarga pemohon kali kedua - bermakna mereka yang sebelum ini menerima satu subsidi perumahan - dan mempunyai anak-anak kecil yang kini tinggal di flat sewa.
Langkah itu bertujuan untuk menyediakan lebih banyak sokongan kepada keluarga-keluarga sedemikian yang berhasrat untuk memiliki rumah mereka sendiri bagi membesarkan anak-anak mereka, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee di Parlimen.
Dengan peningkatan itu, keluarga sedemikian akan mendapat geran perumahan sehingga S$50,000 secara keseluruhannya, berbanding S$35,000 sekarang.
Peningkatan ini datang daripada pengeluaran pendahuluan yang lebih tinggi sebanyak S$35,000 ke dalam Akaun Biasa CPF mereka apabila mereka mengambil kunci flat baru mereka, berbanding dengan $20,000 sekarang.
Baki S$15,000 akan diagihkan melalui Akaun Biasa (OA) CPF mereka sepanjang lima tahun selepas mereka mengambil kunci rumah.
KELUARGA DIBENARKAN BELI FLAT LEBIH BESAR
Skim itu pertama kali dilancarkan pada 2016 bagi membantu keluarga-keluarga tertentu yang tinggal di flat sewa untuk membeli flat mereka sendiri, "supaya mereka dapat memulakan lembaran kehidupan mereka di rumah yang baru", menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND) dalam satu kenyataan media.
Di bawah skim sekarang, keluarga-keluarga boleh membeli flat Flexi dua bilik dengan tempoh pajakan antara 45 hingga 65 tahun, dinaikkan setiap lima tahun.
Namun pihak berkuasa menyatakan ia "sedia maklum bahawa sesetengah keluarga dengan kanak-kanak mahukan tempat tinggal yang lebih besar".
Keluarga-keluarga tersebut mempunyai pilihan untuk membeli flat tiga bilik dengan aturan tempoh pajakan yang serupa, selagi tempoh pajakan flat itu dapat menampung pemohon flat paling muda atau pasangan mereka sehingga usia 95 tahun.
"Tempoh pajakan flat tiga bilik yang lebih singkat ini lebih dimampui, di samping memastikan keluarga-keluarga ini boleh membeli flat sepanjang hayat mereka," menurut kenyataan tersebut.
Encik Lee menarik perhatian bahawa ini merupakan kali pertama pihak berkuasa menawarkan flat-flat tiga bilik yang baru dengan tempoh pajakan yang lebih singkat, yang merupakan perubahan "ketara" pada dasar perumahan bagi menyokong keluarga bergaji rendah.
Keluarga-keluarga juga dikehendaki menghadiri penilaian sosial tahunan oleh HDB dan menerima sokongan sosial dari sebuah agensi khidmat sosial yang dilantik bagi memastikan mereka boleh meneruskan perjalanan untuk memiliki rumah mereka sendiri.
Flat-flat yang dijual di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru akan tetap mempunyai Tempoh Penginapan Minimum (MOP) selama 20 tahun, bagi "memastikan terdapat rumah yang stabil untuk keluarga dan anak-anak mereka", tambah kenyataan itu lagi.
"Bersama, langkah-langkah ini akan menyediakan bantuan ketara kepada keluarga-keluarga ini untuk memiliki rumah sekali lagi."
Lebih banyak butiran mengenai pelaksanaan skim yang dipertingkat itu akan diumumkan apabila ia siap kelak, menurut pihak berkuasa.
Skim itu kali terakhir dipertingkat pada 2019, apabila sebuah program sokongan dibangunkan untuk membantu keluarga-keluarga menepati sasaran untuk memiliki rumah mereka sendiri. Pertimbangan khas dibenarkan bagi sesetengah keluarga yang memohon namun tidak memenuhi beberapa kriteria.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.