Sesetengah kedai makan setempat saji hidangan ulat sutera tanpa kelulusan
Penjualan serangga untuk dimakan belum lagi diluluskan di Singapura, namun sesetengah kedai makanan sudah mula menjualnya sebagai hidangan.
Hidangan ulat sutera dijual di sebuah restoran di Singapura. (Gambar: Facebook/Chuan Chuan Le)
Satu pemeriksaan menerusi online dan di beberapa kedai makanan mendapati beberapa restoran makanan Cina dan Korea di sini menawarkan pupa ulat sutera dalam menu mereka - di mana ia selalunya dipanggang, digoreng atau direbus dalam sup.
Restoran Chuan Chuan Le di Jalan Besar memuat naik catatan di akaun Facebook miliknya pada bulan lalu bagi memperkenalkan dua menu hidangan baru iaitu ulat sutera ditumis dan dibakar serta ulat setera yang dipanggang.
Sebuah lagi restoran di Orchard Plaza, Tang Men Chuan Chuan pula menjual ulat sutera yang digoreng dalam cili pada harga S$28.80 di wadah penghantaran makanan.
Penjualan pupa ulat sutera dan produk serangga yang lain untuk dimakan tidak dibenarkan buat masa ini, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp.
"Orang ramai yang menyaksikan penjualan haram serangga atau produk serangga untuk dimakan harus laporkannya kepada SFA menerusi borang maklum balas online, di mana kami akan jalankan siasatan," kata jurucakap agensi berkenaan.
Apabila Mediacorp mengunjungi restoran Chuan Chuan Le pada lewat petang Khamis lalu (23 Mac), hidangan ulat sutera itu tidak disenaraikan dalam menu. Namun pekerja restoran mengesahkan bahawa ia boleh ditempah.
Kakitangan itu juga mendakwa bahawa ulat sutera dibenarkan untuk dijual sebagai makanan di Singapura tetapi berkata mereka tidak tahu dari mana pupa serangga berkenaan diimport masuk.
RUNDINGAN AWAM
SFA menjalankan satu rundingan awam antara Oktober dengan Disember tahun lalu bagi mendapatkan maklum balas bagi mengawal selia serangga untuk pemakanan.
Sebagai sebahagian daripada rundingan itu, 16 spesies serangga dan produk serangga dikenal pasti bagi kemungkinan diluluskan sebagai makanan di Singapura, menurut SFA.
Selain pupa ulat sutera, ia juga termasuk cengkerik, belalang, kumbang, cacing makan, rama-rama dan lebah madu.
Pembiakan serangga secara komersil bagi pemakanan manusia dan haiwan dipromosikan oleh Pertubuhan Makanan dan Agrikultur Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut SFA pada Oktober lalu.
Di Singapura, lebih 10 syarikat menunjukkan minat untuk mengimport produk makanan serangga atau pembiakan serangga.
Syarikat-syarikat yang berhasrat untuk mengimport atau membiak serangga untuk pemakanan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu demi keselamatan makanan, menurut SFA pada ketika itu.
Syarat-syarat ini termasuk menyediakan bukti dokumen bahawa serangga yang diimport dibiak dalam "pertubuhan terkawal dan kawalan keselamatan makanan" dan tiada patogen atau bahan cemar berbahaya digunakan untuk membiak atau memelihara serangga-serangga itu.
Mereka yang ingin mengimport atau membiak serangga yang belum pernah dimakan oleh manusia, harus melakukan dan menghantarkan penilaian keselamatan kepada SFA sebelum produk dibenarkan untuk dijual.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.