Skip to main content

Singapura

Sesetengah kedai kopi SG teragak-agak naik taraf tandas meski diberi subsidi

Anggaran Waktu Membaca:
Sesetengah kedai kopi SG teragak-agak naik taraf tandas meski diberi subsidi
Sebuah tandas di kedai kopi di Geylang. (Gambar: CNA/Vanessa Lim)
Diterbitkan : 20 Feb 2026 07:53AM
SINGAPURA: Apabila pemilik kedai kopi Ben Leem menjalankan kerja-kerja ubah elok premisnya bulan lalu, beliau memutuskan sudah tiba masanya untuk menaik taraf tandas juga.

Selepas didenda dan dikenakan mata demerit oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) kerana gagal memenuhi piawai kebersihan tandas, beliau tahu beliau perlu bertindak atau berdepan risiko hukuman lebih berat.

“Ini antara sebab utama kami (memutuskan untuk mengubah suai tandas). Kami tahu pihak berkuasa akan datang semula,” kata pemilik berusia 48 tahun Coffee Sense di 181 Ang Mo Kio Ave 5 itu.

“Tandas itu tidaklah terlalu kotor tetapi ada had penyenggaraan yang boleh kami lakukan,” katanya, sambil menambah kedai kopi itu tidak pernah diubah suai sejak beliau mengambil alih sedekad lalu.

Walaupun tandas dibersihkan dua kali sehari, penggunaan yang tinggi menjejas kebersihan tandas itu. Jubin rosak, kesan kotoran berlarutan dan penjelasan mereka juga tidak diterima semasa pemeriksaan dijalankan.

Apabila beliau mendapat tahu tentang Geran Ubah Elok Tandas Kedai Kopi baharu oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), beliau segera memohon.

Geran itu menawarkan pembiayaan sehingga 95 peratus daripada kos ubah elok, dihadkan kepada S$50,000 bagi setiap kedai kopi.

Satu lagi geran bagi pembersihan yang lebih terperinci turut membiayai sehingga 95 peratus kontrak pembersihan selama dua tahun, dihadkan kepada S$25,000.

Dua geran berjumlah S$5 juta itu, yang diumumkan tahun lalu ditawarkan menyusuli cadangan Pasukan Bertindak Tandas Awam, yang bertujuan meningkatkan piawai kebersihan di kedai kopi seluruh Singapura.

NEA memberitahu Mediacorp bahawa setakat sehingga 31 Januari, ia menerima 175 permohonan bagi kedua-dua geran tersebut sejak dibuka pada 3 November tahun lalu.

Kedai kopi Encik Leem menjadi yang pertama untuk selesai menjalankan kerja-kerja ubah elok tandas di bawah skim itu.

Tandas tersebut antara lain kini dilengkapi dengan paip sensor dan kelengkapan baharu.

Naik taraf bernilai S$49,000 itu membawa hasil segera, kata Encik Leem.

“Kami masih membersihkan dua kali sehari tetapi perbezaannya sangat ketara. Tiada lagi bau yang tidak menyenangkan,” katanya.

Apabila Mediacorp melawat pada Februari, tandas itu bersih tanpa kesan kotoran atau bau.

Pengusaha lain turut menyatakan sebab sama untuk memohon, termasuk keperluan menaik taraf tandas akibat penggunaan yang tinggi dan kesan 'haus dan lusuh'.

Ada yang berkata pengubahsuaian membantu mematuhi piawai serta mengelak tindakan penguatkuasaan.

Di bawah Sistem Mata Demerit SFA, kedai kopi boleh dikenakan mata demerit atas kesalahan berkaitan tandas.

Dikenakan 12 mata demerit dalam setahun boleh membawa kepada penggantungan satu hingga tiga hari.

Kenneth Lee, pemilik kedai kopi Hai Fong di Toa Payoh, belum pernah didenda tetapi mengakui tandasnya tidak “menepati piawai”.

“Tandas saya agak lama - kali terakhir diubah suai kira-kira 10 tahun lalu dan itu pun sekadar secara ringkas. Jadi sudah tiba masanya untuk kerja-kerja ubah elok kerana penggunaannya sangat tinggi,” katanya lagi.

“Saya tahu ada pengusaha yang sudah didenda atau digantung,” tambahnya. “Walaupun penggantungan sehari nampak kecil … anda boleh buka semula tetapi tidak tahu bila (pihak berkuasa) akan datang lagi. Dan jika mereka datang lagi, mungkin kali ini tiga hari.

“Sebagai pengusaha, kami bukan sekadar menjual kopi, kami juga menyewakan gerai. Jika kami minta penyewa tutup (kerana penggantungan), tiada pendapatan bagi mereka.”

Persatuan Peniaga Bar dan Foochow Coffee Restaurant, yang mewakili kira-kira 400 ahli, berkata ramai berhasrat untuk memohon disebabkan oleh subsidi yang menarik.

KEENGGANAN MENGUBAH SUAI

Namun tidak semua pengusaha yakin, dengan sesetengahnya bimbang tentang kos, gangguan terhadap perniagaan dan cabaran praktikal.

Wong Kee Mee, pemilik Keng Wah Sung di Geylang Road, tidak bercadang memohon mana-mana geran.

Kekangan ruang dan rutin pembersihan sedia ada menjadikan kerja-kerja ubah elok tidak praktikal, kata beliau.

Unit kedainya hanya mempunyai dua bilik kecil - satu tandas cangkung dan dua tempat membuang air kecil bagi pelanggan lelaki bersebelahannya - dengan ruang terhad untuk dinaik taraf.

Walaupun didenda S$2,000 bagi dua kes tahun lalu kerana gagal memenuhi piawai kebersihan tandas, Encik Wong berkata beliau sudah membuat beberapa peningkatan dan memberi tumpuan kepada pembersihan harian.

Pengusaha berusia 68 tahun itu malah membelanjakan S$2,500 wang sendiri untuk menukar jubin lantai dan dinding semasa hujung minggu bagi mengurangkan gangguan.

Yang lain pula bimbang tentang kos pendahuluan.

Adrian Ng, yang mengendalikan 27A Coffee Shop di Geylang, menyifatkan ubah elok sebagai satu beban kewangan walaupun dengan subsidi besar.

Kedai kopinya didenda S$1,300 dan digantung sehari pada tahun lalu kerana gagal memastikan tandas “bersih dan dalam keadaan baik”.

Ketika Mediacorp mengunjungi tandas di kedai kopi itu, jubin lantai menunjukkan tanda 'haus dan lusuh' dan tempat duduk tandas kekuningan, namun tiada bau ketara.

Ditanya sama ada beliau sanggup ambil risiko didenda berbanding mengubah suai, Encik Ng berkata: “Tiada bajet, jadi tiada pilihan … kami hanya mampu terus mencuci.”

Encik Leem - yang masih menunggu bayaran balik daripada NEA - mengakui keperluan membayar kontraktor terlebih dahulu dan menunggu tiga hingga enam bulan untuk mendapatkan bayaran balik yang boleh menekan aliran tunai sesetengah pemilik.

Gangguan perniagaan juga menjadi kebimbangan.

Ubah elok boleh mengambil masa beberapa minggu dan kedai perlu ditutup sepanjang tempoh itu.

Sesetengah kedai kopi dengan tandas lebih besar mungkin memerlukan kos melebihi S$50,000, katanya.

“Mereka perlu mengeluarkan wang dahulu untuk bayar kontraktor dan hanya mendapat bayaran balik tiga hingga empat bulan kemudian … itu sesuatu yang perlu difikirkan.”

UBAH PEMIKIRAN

Persatuan Tandas Singapura menyatakan penguatkuasaan dan pendekatan kesedaran memberi kesan, namun meyakinkan pengusaha untuk meningkatkan standard tandas masih mencabar.

Sesetengah pemilik tidak yakin tandas bersih dapat membantu perniagaan.

“Daripada 10 (kedai kopi) yang kami temui, mungkin lima berkata mereka tidak memerlukannya,” kata presiden persatuan itu, Ho Chee Kit.

“Di kedai kopi, biasanya - saya beli, saya makan, saya kemudian beredar. Jadi lebih sukar untuk meyakinkan mereka,” kata beliau.

Namun, persatuan itu memberi lebih banyak tumpuan kepada pengusaha dengan kemudahan yang jelas kotor atau usang.

Ia melancarkan Program 'Happy Toilet' bagi kedai kopi tahun lalu, menilai kemudahan antara tiga hingga enam bintang berdasarkan kebersihan, reka bentuk dan penyenggaraan.

Setakat sehingga 13 Februari, 10 kedai kopi termasuk milik Encik Leem menerima pensijilan.

Bagi Encik Leem, pelaburan itu berbaloi.

Perniagaannya meningkat kira-kira 20 peratus sejak dibuka semula pada Januari, walaupun beliau mengaitkan sebahagiannya dengan pengubahsuaian keseluruhan premis.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita