Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sesetengah gerai mungkin 'tutup kedai buat sementara waktu' dek larangan eksport ayam M'sia

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gerai ayam segar di pasar kejiranan anda mungkin akan ditutup, sekurang-kurangnya buat masa ini, selepas Malaysia menghentikan eksport ayam, menurut para pegerai yang ditemui Mediacorp pada Selasa (24 Mei).

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada Isnin (23 Mei) bahawa negaranya akan menghentikan eksport ayam mulai 1 Jun.

Langkah tersebut adalah antara langkah-langkah untuk menangani kekurangan bekalan domestik.

Ia juga merupakan 'langkah jangka pendek' untuk menghentikan eksport sebanyak 3.6 juta ekor ayam sebulan, sehingga harga domestik dan pengeluaran kembali stabil, kata Encik Ismail Sabri.

Walaupun belum jelas bagaimana larangan Malaysia terhadap eksport ayam akan menjejas bekalan dan harga ayam di Singapura, para pegerai di pasar basah berkata mereka bimbang terhadap perkembangan ini.

TUTUP GERAI BUAT SEMENTARA WAKTU

Harga ayam sudah semakin meningkat sejak sebulan lalu. Menurut data Jabatan Statistik Singapura (DOS), harga purata bagi keseluruhan ayam yang disejukkan adalah S$7.21 sekilogram pada April tahun ini, meningkat dari S$6.60 sekilogram pada Mac.

Kepak ayam yang disejukkan juga meningkat dari S$8.75 sekilogram pada Mac kepada S$9.45 sekilogram pada April.

Larangan eksport ayam dari Malaysia membimbangkan sesetengah pegerai di Singapura kerana ia mungkin akan menyebabkan kenaikan harga yang lebih tinggi.

Ini dikhuatiri akan menjejas perniagaan mereka.

Di Pasar Bukit Merah View, Encik Mohamed Basheer, pemilik gerai Halnaz Frozen Goods, berkata perniagaannya sudahpun terjejas dengan kenaikan harga makanan. Sungguhpun demikian, peniaga berusia 42 tahun itu telah cuba untuk tidak menaikkan harganya terlalu tinggi.

"Jika harga jualan saya dinaikkan, saya khuatir pelanggan akan lari. Lagipun, Sheng Siong, FairPrice, sudah mula menaikkan sedikit harga mereka dan para penjual di pasar basah kini dalam kedudukan yang sangat sukar sekarang," katanya kepada Mediacorp.

Encik Basheer, yang menjual daging halal termasuk ayam, berkata sesetengah pelanggan kurang senang dengan harga yang "semakin mahal".

"(Tetapi saya memberitahu mereka) tiada pilihan lain. (Gerai-gerai lain) sudah menaikkan harga, saya juga terpaksa menaikkan harga," luah Encik Basheer.

SESETENGAH PELANGGAN "TIDAK BEGITU" TERJEJAS

Sungguhpun demikian, pelanggan-pelanggan lain yang beratur untuk membeli ayam segar di pasar basah berkata penggantungan itu "tidak begitu menjejas" kehidupan mereka.

Seorang pelanggan, Cik Jenny Ng, yang enggan mendedahkan usianya berkata, keluarganya hanya makan daging ayam sekali-sekala saja. Dia membelinya dari sebuah gerai di Pasar Beo Crescent "hanya bila dia memerlukannya".

"(Jika gerai ayam berhenti menjualnya), maka saya akan membelinya di tempat lain. Gerai ini terletak berhampiran dengan rumah saya, jadi saya datang ke sini apabila saya membeli makanan (di pasar)," katanya.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan