Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sesak tapi meriah, peniaga di pasar Geylang Serai & Jurong West tak naikkan harga barang jelang Syawal

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebilangan besar peniaga di pasar Jurong West dan Geylang Serai cuba menyerap kenaikan harga barangan agar tidak menjejas semangat pelanggan mereka membuat persiapan menyambut lebaran tahun ini.

Kebanyakan barang keperluan Hari Raya seperti ketupat, santan dan daging dikekalkan harganya seperti tahun lalu.

"Sebenarnya tahun ini, saya cuba nak serapkan harga ketupat saya dan lepat, S$1.00 sahaja daripada of S$1.20. Saya ingin membiarkan kita semua merasanya. (Harga) pasaran semua tinggikan, jadi saya mengekalkan kepada harga S$1, iaitu harga tahun yang sudah," kongsi Cik Jumaseh kepada BERITAmediacorp.

"Saya tidak menaikkan harga saya. Harga saya biasa sahaja. Setahun sekali, kita biarlah memberi kepada orang," ujar Encik Mohd Jaafar Abdul Kassim, pemilik kedai S.A KASSIM yang menjual daging kambing dan ayam.



Meskipun cuaca hujan pagi tadi, ia tidak menghambat orang ramai untuk datang berpusu-pusu ke pasar Jurong West ini untuk dapatkan keperluan menyediakan juadah Hari Raya seawal 5.30 pagi lagi.

"Saya bersyukur pelanggan Melayu saya tidak lari dan masih datang juga memberi sambutan kepada saya," tambah Cik Jumaseh yang juga menjual daun janur tahun ini.

SEBILANGAN PENIAGA KEKALKAN HARGA DI TENGAH-TENGAH INFLASI

Bagi mereka yang terpaksa menaikkan harga, sambutan tetap menggalakkan kerana para pelanggan rata-rata memahami keadaan ekonomi kini.

"Alhamdulillah, raya setahun sekali bukan? Jadi mereka tetap akan merayakan walaupun ada (harga) tinggi sedikit, dan mereka membeli berpatutan, tidak melebihi. Agak-agak mereka ingin (sediakan) makanan untuk keluarga yang datang," kongsi pemilik gerai Hj Abdul Jalil Hashim, Encik Abdul Karim yang terpaksa menaikkan harga dagingnya sebanyak 1 peratus.



Bagi pelanggan seperti Cik Rozainah Roslan, beliau akur dengan langkah pegerai menaikkan harga di tengah-tengah inflasi ini.

"Saya masih beli kerana tiada pilihan lain. Ibu saya anak pertama jadi semua akan datang rumahnya," jelas beliau.

"Kalau mahal pun, kita pun memang dah tahu harga semua dah naik. Pada saya okey sahaja," kongsi seorang lagi pelanggan, Cik Norilah Haroon.

MULA BERBBELANJA SEAWAL 3.00 PAGI DI PASAR GEYLANG SERAI



Di pasar Geylang Serai juga, kebanyakan gerai di sini rata-rata mendapat sambutan yang menggalakkan tahun ini, memandangkan tiada lagi sekatan dikenakan.

Gerai N.N Coconut yang menawarkan daun janur ketupat dan kelapa misalnya sudah dikunjungi pelanggan seawal 3.00 pagi lagi.


"Mereka semua takut dan ingin elakkan daripada ramai orang dan sekarang ini, sambutannya pun masih ada sebab sekarang masih awal dan kita punya kelapa santan parut semua dah habis juga, seawal 9.00 pagi sudah habis," menurut adik kepada pemilik gerai, Cik Nur Zarina Idris.

"Saya pun baru juga jual di sini tapi Alhamdulillah, saya lihat sambutannya itu lumayan juga, sejak sudah dua tiga hari ini. Alhamdulillah kata orang itu, sambutan dia baik sebab kita jual harga dia berpatutan," kongsi Encik Abdul Aziz yang menjual barangan kering dan sayur-sayuran.

"Kita ada bekalan sebab apa semasa tempoh COVID-19, kita ada takut sedikit dengan barang untuk berniaga sebab kini sudah (kurang) COVID-19, Alhamdulillah semua bagus dan boleh berniaga," tambah seorang lagi peniaga, Encik Abdul Khadir, pemilik kedai Rabiya.

GHAIRAH SAMBUT HARI RAYA TANPA SEKATAN



Meskipun sesak, para pelanggan tetap ghairah membuat persiapan akhir, membeli apa yang diperlukan untuk siapkan hidangan di pagi Syawal.

"Banyak persiapan di rumah ingin mengatur barang, mengemas rumah jadi memakan masa. Lagipun kita bekerja di hari yang lain. Inilah waktu-waktu yang sesuai untuk kita membeli barang atau juadah untuk dapur," kongsi salah seorang pengunjung, Encik Khairulddin Ali.


Cik S Tuti Rusidan (kanan) bersama anaknya.

"Alhamdulillah (raya) sederhana tetapi lengkap. Semua lengkap hanya tinggal balik memasak dan menanti esok untuk menyambut Hari Raya, insya-Allah," kongsi seorang lagi pengunjung Cik S Tuti Rusidan.

"Mungkin sebab sudah tiga tahun tidak menyambut, mungkin sambutan meriah sedikit boleh dijangkakan," menurut Cik Siti Fatimah.

Ada juga yang berbelanja lebih kerana menjangkakan lebih ramai tetamu tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan