Sertai cabaran berbasikal 8,848 meter sebagai tanda sokongan kepada bekas pesalah
SINGAPURA: Bukan mudah untuk seseorang bekas pesalah dadah kembali ke pangkuan masyarakat. Ia memerlukan semangat kental dan sokongan padu.
Malah, tidak keterlaluan jika tahap cabaran mereka untuk berintegrasi semula dengan masyarakat diibaratkan seperti mendaki puncak gunung Everest, yang setinggi 8,848 meter.
Meski mencabar, ia sesuatu yang bukan mustahil untuk dicapai.
Terutama sekali, dengan adanya sokongan tidak berbelah bagi daripada anggota masyarakat.
Lantaran itu, Agensi HCSA Community Services mengadakan satu kempen, yang dipanggil ‘Everesting for Second Chances’, untuk mengajak masyarakat sama-sama memberikan sokongan padu kepada bekas pesalah dalam usaha mereka untuk kembali hidup seperti biasa.
Kempen itu terdiri daripada dua komponen. Pertama, cabaran berbasikal sehingga mencatat perjalanan sejauh 8,848 meter, atau hampir sembilan kilometer. Jumlah tersebut simbolik menunjukkan betapa mencabarnya untuk para bekas pesalah berintegrasi semula dengan masyarakat dan bahawa masyarakat menyokong mereka.
Ini merupakan cabaran berbasikal yang pertama seumpamanya.
Cabaran berbasikal itu sudah bermula pada 15 Jun dan akan berlangsung sehingga 31 Julai nanti.
Hari ini (1 Jul), satu acara fizikal menggunakan basikal pegun dianjurkan buat julung-julung kalinya, dengan 30 peserta mengambil bahagian sebagai tanda perpaduan dengan bekas pesalah.
Tetamu terhormat, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut serta mengayuh basikal pegun bersama-sama para peserta yang terdiri daripada para pengayuh basikal dan juga bekas pesalah.
Cabaran berbasikal ini terus dibuka kepada umum sehingga hujung bulan ini. Anda yang berminat boleh menggunakan basikal pegun di rumah atau berbasikal di luar.
Anda hanya perlu memuat turun aplikasi STRAVA, iaitu aplikasi yang menjejak kegiatan senaman seseorang menggunakan GPS, untuk mencatat perjalanan sejauh 8,848 meter.
Anda juga boleh memilih untuk melengkapkan perjalanan dalam tempoh sehari atau beberapa hari.
ENGGAN BERBASIKAL TAPI MAHU SOKONG? BOLEH DERMA SAHAJA
Kedua usaha mengumpul dana. Jika anda berminat untuk menunjukkan sokongan tetapi tidak gemar berbasikal, anda boleh memilih untuk menderma.
HCSA menyasarkan untuk mengumpul sebanyak S$250,000 untuk memperkasa bekas pesalah membina semula kehidupan mereka.
Menurut data terkini di laman secondchances.sg, sejak kempen ‘Everesting for Second Chances’ dimulakan, ia sudah mengumpulkan S$47,073.
Untuk lebih banyak maklumat, anda boleh lungsuri laman secondchances.sg.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.