Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SERS tidak perlu disemak semula; tidak banyak tapak baru dijangka: MND

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Semakan semula secara menyeluruh terhadap Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS) "tidak diperlukan" kerana tidak banyak tapak baru dijangka layak.

Demikian menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Dalam jawapan bertulis kepada sebuah jawatankuasa yang sedang mempertimbangkan petisyen yang difailkan di Parlimen oleh Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai pada Ogos lalu, kementerian itu menyifatkan skim tersebut sebagai "sangat memilih".

Jawatankuasa Petisyen Awam terdiri daripada Encik Leong - dari Parti Kemajuan Singapura - dan tujuh Anggota Parlimen (AP) lain, termasuk Menteri Pengangkutan S Iswaran, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong.

Pada Khamis (17 Nov), jawatankuasa itu menyerahkan kepada Parlimen satu laporan berhubung petisyen Encik Leong, yang menggesa moratorium ke atas SERS dan semakan semula mengenai bagaimana pampasan dan penempatan semula diberikan kepada penduduk yang terjejas.

Beliau memfailkan petisyen tersebut bagi pihak lima penduduk yang terjejas SERS, membabitkan Blok 562 hingga 565 di Ang Mo Kio Ave 3, seperti yang diumumkan pada April lalu.

Beberapa penduduk menyuarakan keprihatinan mereka termasuk keperluan untuk mengeluarkan wang tambahan untuk membeli flat gantian dengan saiz yang serupa, dan bagaimana tapak gantian itu kelihatan seakan mempunyai kurang pilihan pengangkutan dan prasarana berbanding flat lama mereka.

Laporan jawatankuasa berhubung petisyen tersebut termasuk tiga pusingan jawapan bertulis, dari MND sepanjang tempoh 16 September sehingga 14 November.

Dalam jawapan pertamanya, kementerian itu menyatakan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menganggarkan, sekitar lima peratus flat HDB sesuai untuk SERS.

"Kebanyakan projek dengan potensi pembangunan semula yang tinggi sudahpun dipilih," kata MND.

Projek SERS Ang Mo Kio merupakan pengumuman SERS yang pertama dalam hampir empat tahun. Sebelum ini, projek terakhirnya di kenal pasti di MacPherson dan diumumkan pada Mei 2018.
Dalam petisyennya itu, Encik Leong ingin tahu tentang proses penilaian flat SERS dan menggesa agar semakan semula dilakukan bagi "pilihan pampasan" untuk pemilik flat.

"Proses penilaian sedia ada bagi flat yang diperoleh di bawah SERS adalah telus dan bebas," menurut MND dalam jawapan bertulisnya.

Pasaran pampasan bagi kesemua flat SERS dinilai secara bebas oleh penilai swasta berlesen dan mengikut "prinsip penilaian hartanah yang mantap", tambah pihaknya.

"Ini termasuk mengambil kira faktor-faktor seperti harga urus niaga baru-baru ini bagi flat jualan semula yang setanding, baki tempoh pajakan flat SERS, dan ciri-ciri flat, termasuk keadaan dan tahap kerja-kerja ubah elok," kata kementerian itu.

Pemilik flat yang tidak bersetuju dengan penilaian flat mereka, boleh mendapatkan penilai mereka. Sekiranya mereka masih tidak berpuas hati selepas berbuat demikian, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan (Pengambilan Tanah), yang kemudiannya akan memutuskan nilai pasaran flat yang diperoleh sebagai penilai neutral.

TOKOKAN DIPERLUKAN

"Sama ada atau tidak tokokan perlu dibuat bergantung kepada pilihan di mana penduduk akan ditempatkan semula, misalnya, sama ada mereka memutuskan untuk menggantikannya kepada saiz yang betul, ke flat yang lebih besar, atau berpindah ke lokasi lain," kata MND dalam satu jawapan pada 19 Oktober.

Sekiranya harga jualan flat baru itu lebih tinggi daripada nilai pasaran flat lama mereka selepas mengambil kira geran dan subsidi, maka wang tokokan diperlukan kerana penduduk akan mendapat flat baru dengan nilai yang lebih tinggi berbanding rumah sebelumnya.

Dalam kes SERS di Ang Mo Kio, sejumlah besar pemilik flat dijangka perlu membuat tokokan jika mereka ingin membeli flat bersaiz serupa pada pajakan 99 tahun di tapak gantian, kata MND.

Ini kerana baki pajakan flat mereka hanya 57 tahun, pada masa pengumuman SERS dibuat.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan