Skip to main content

Singapura

Serpihan kumpulan pengganas mungkin muncul selepas Jemaah Islamiyah dibubar: MHA

Anggaran Waktu Membaca:
Serpihan kumpulan pengganas mungkin muncul selepas Jemaah Islamiyah dibubar: MHA

Para pemimpin Jemaah Islamiyah mengisytiharkan pembubaran kumpulan itu pada 30 Jun 2024. (Arrahmah/YouTube)

Diterbitkan : 06 Jul 2024 01:24PM Dikemas Kini : 06 Jul 2024 01:31PM
SINGAPURA: Terdapat risiko dalam masa terdekat di mana "serpihan" daripada kumpulan-kumpulan pengganas akan muncul daripada pembubaran kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Sabtu (6 Jul).

Kesan jangka panjang pembubaran itu masih belum dapat dilihat, menurut MHA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

“Sebagai contoh, ideologi radikal JI, termasuk matlamat untuk menubuhkan sebuah khilafah Islam di Asia Tenggara melalui perjuangan bersenjata, berkemungkinan akan terus memikat sesetengah kumpulan dan individu,” tambah MHA.

Para pemimpin JI di Indonesia mengumumkan pembubaran kumpulan itu dalam satu acara pada 30 Jun yang dianjurkan oleh skuad antipengganasan polis Indonesia.

Kumpulan itu mendalangi beberapa serangan pengganas paling berdarah di Asia Tenggara, termasuk pengeboman Bali pada 2002 yang mengorbankan lebih 200 orang.

MHA menegaskan bahawa pembubaran JI di Indonesia adalah satu "perkembangan penting dan pencapaian besar" bagi pihak berkuasa Indonesia.

Sungguhpun demikian, MHA memberi amaran bahawa ancaman pengganas terhadap Singapura masih tinggi dan negara ini tetap menjadi sasaran utama kumpulan-kumpulan pengganas.

MHA juga menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan menghubungi polis atau Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dengan segera sekiranya mereka terserempak dengan individu atau aktiviti yang mencurigakan.

Video pengumuman itu dimuat naik ke akaun YouTube laman web Arrahmah pada 3 Jul.

Dalam video itu, 16 anggota JI dilihat berdiri di atas pentas. Mereka termasuk Abu Rusdan, seorang pendakwah tegar dan bekas pemimpin JI yang ditahan di Bekasi pada September 2021, serta Para Wijayanto, yang diberkas pada 2019 kerana merekrut anggota-anggota militan dan mengumpul dana untuk Syria. Mereka berdua masih dalam tahanan.

Pembubaran itu dipersetujui oleh perhimpunan para anggota kanan dan pemimpin pesantren yang bergabung dengan JI, kata Abu Rusdan.

Mereka bersetuju untuk kembali ke pangkuan Republik Indonesia dan akan melakukan perubahan pada kurikulum sekolah-sekolah pesantren yang bergabung dengan JI agar tidak ada lagi bahan yang mengajar ekstremisme.

Kumpulan itu ditubuhkan pada 1993 oleh Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir dengan misi membina negara Islam di Asia Tenggara.

Abdullah meninggal dunia pada 1999 manakala Abu Bakar dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun pada 2011 atas tuduhan membiayai latihan militan di Aceh. Lelaki berusia 83 tahun itu dibebaskan pada 2021 atas dasar kemanusiaan.

Didakwa bergabung dengan Al Qaeda, kumpulan itu telah disenaraikan sebagai sebuah pertubuhan pengganas oleh Mahkamah Daerah Jakarta pada 2008 selepas beberapa serangan pengganas dilancarkan oleh para individu yang bertindak bagi pihak kumpulan itu.

JI turut menyaksikan beberapa perpecahan yang membawa kepada penubuhan kumpulan-kumpulan yang diasaskan oleh para individu yang tidak berpuas hati dengan keputusan para anggota kanannya. Abu Bakar Bashir sendiri meninggalkan JI dan membentuk Majlis Mujahidin Indonesia (MMI) pada 2000 sebelum berundur pada 2008 menyusuli pertikaian dalaman.

Amerika Syarikat pada 2017 telah menyenaraikan MMI sebagai Pengganas Global yang Ditetapkan Khas (SDGT) kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan Al Qaeda dan Al Nusra. Amerika Syarikat melihat kumpulan ini berupaya menimbulkan risiko besar untuk melakukan tindakan pengganasan, walaupun MMI telah menolak sebarang kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita