Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Seronok belajar tradisi dan adat resam isteri sempena Tahun Baru Cina

Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini lebih istimewa bagi pasangan suami isteri Raihan Rahim dan Ng Xueli atau nama Islamnya Sara.

Anggaran Waktu Membaca:
Seronok belajar tradisi dan adat resam isteri sempena Tahun Baru Cina

(Gambar: Nurhelmy Hakim)

BERITAmediacorp: Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini lebih istimewa bagi pasangan suami isteri Raihan Rahim dan Ng Xueli atau nama Islamnya Sara.

Inilah kali pertama mereka menyambutnya sebagai pasangan suami isteri.

Sebagai pasangan suami isteri antara kaum, banyak yang perlu mereka pelajari tentang budaya masing-masing.

'

Bagi Encik Raihan, ini termasuk mempelajari tentang tradisi dan kepercayaan masyarakat Cina apabila menyambut Tahun Baru Cina.

"Ini sesuatu perkara yang baru saya pelajari semalam. Ia tentang pembersihan. Selalunya semasa perayaan, kita perlu bersihkan rumah tetapi bagi kaum Cina, mereka mengambil serius perkara ini. Jadi perlu vakum dan pastikan tiada habuk yang tertinggal," seloroh beliau.

Ada juga pantang larang yang harus dipatuhi.

"Kita perlu membersih sebelum Tahun Baru Cina. Jadi apabila saya hendak mencuci pinggan pagi tadi, saya pun tidak pasti kalau saya boleh cuci atau tidak. Jadi saya perlu tanyakan kepada isteri saya. Kalau Hari Raya kita, asalkan kemas sudah," kata beliau.

Menurut Cik Ng, kepercayaan kaum Cina mengenai larangan untuk mengemas rumah pada hari pertama Tahun Baru Cina adalah kerana ia seakan-akan cuba untuk menghalau kebaikan dan tuah yang baru.

Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa antara kepercayaan kaum Cina adalah untuk memastikan lampu rumah sentiasa dinyalakan sepanjang malam Tahun Baru Cina.

Ia dipercayai membawa tuah dan kemakmuran ke dalam rumah kerana ia mewakili tahun yang cerah di hadapan dan mengusir nasib malang dari tahun sebelumnya.

"Saya agak terkejut juga, dan saya terus tanya, bil elektrik siapa bayar?" kata Encik Raihan sambil ketawa.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada pertengahan tahun lalu ghairah untuk melawat rumah saudara Cik Ng.

Ini lebih-lebih lagi kerana tiada lagi sekatan jumlah tetamu di musim perayaan kali ini

'Saya rasa sambutan tahun ini akan sangat berlainan. Tidak ada sekatan, jadi akan menjadi sangat kecoh!" Encik Raihan berkata:

Keriangannya menyambut ketibaan Tahun Arnab bermula malam semalam (21 Jan) apabila berkumpul makan bersama di rumah mertuanya.

'
Bagi Encik Raihan, sesuatu yang paling menarik baginya adalah Lo Hei.

'
"Saya suka suasana kecohnya, melambungkan tinggi makanan itu. Saya dengar, lebih tinggi lebih banyak 'huat'!"

PENYESUAIAN PERLU DIBUAT BAGI PASANGAN MUSLIM SAMBUT TAHUN BARU CINA

Cik Ng berkata beliau perlu membuat beberapa penyesuaian seperti menyediakan makanan yang halal.

"Tidak begitu susah untuk menyesuaikan diri. Keluarga saya akan berusaha untuk mencari makanan halal untuk menempah untuk kami juga.

"Kalau kuih-muih Tahun Baru Cina pula, saudara mara saya juga akan mengasingkan kuih-muih Halal dan yang tidak Halal. Jadi mereka akan kata, bahagian ini kita boleh makan, bahagian lainnya, kita tidak boleh makan," tambah Cik Ng.

'
Cik Ng berkata bahawa beliau juga sering ditanya sama ada beliau masih lagi menyambut Tahun Baru Cina selepas memeluk agama Islam.

"Ramai yang bertanya sama ada saya masih meraikan sambutan Tahun Baru Cina, atau jika saya boleh kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara. Bagi saya, bukannya haram untuk melakukannya."

"Tetapi ada juga yang mungkin sudah membuat kuih-muih dan ingin tahu sama ada saya boleh menerimanya untuk dimakan. Mereka bertanya kerana tidak mahu menyinggung perasaan saya," jelas beliau.

Encik Raihan ini tidak sabar untuk bertemu dengan keluarga besar isterinya.

'
"Dari segi perbezaan bahasa perbualan, itu yang mungkin masih belum serasi lagi. Ada saudara maranya yang berbual dalam bahasa Hokkien, jadi saya pun tidak faham. Tetapi ada juga saudara mara yang cuba memulakan perbualan, jadi saya pun akan cuba menyambung," jelas Encik Raihan.

PASANGAN ANTARA KAUM PERLU BERSIKAP TERBUKA

Encik Raihan dan isterinya akur bahawa banyak yang perlu difahami antara satu sama lain, terutama sekali dari segi budaya dan adat resam kaum masing-masing.

Encik Raihan berkata: "Kita perlu mempunyai minda yang terbuka. Kita tidak boleh terlalu tersekat dari segi pemikiran kita. Kalau ada nilai yang perlu kita pegang, kita pegang. Kalau boleh, kita berkompromi juga."

Cik Ng akur prosesnya akan mengambil masa.

''
"Kita perlu tahu apa yang benar-benar tidak boleh kita lakukan. Kita juga perlu banyak bersabar kerana generasi lebih tua, mereka agak sukar untuk menyesuaikan diri kepada kita juga.

"Dari segi tradisi, kita perlu ikut juga. Jadi untuk tradisi Tahun Baru Cina, kita buat dan ikut. Untuk tradisi Hari Raya, kita lakukannya juga. Sebagai pasangan antara kaum, tidak perlu untuk kita mengetepikan salah satu tradisi," tambah beliau.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa