Skip to main content

Singapura

Sering tiada di rumah sebagai suami, bapa dan anak': AP Tampines Koh Poh Koon jelas sebab lepaskan jawatan

Anggaran Waktu Membaca:
 Sering tiada di rumah sebagai suami, bapa dan anak': AP Tampines Koh Poh Koon jelas sebab lepaskan jawatan

Dr Koh Poh Koon di parlimen.

Diterbitkan : 22 May 2026 06:57PM
  • Dr Koh Poh Koon, Anggota Parlimen PAP, meletakkan jawatan sebagai Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Kerja dan Kesihatan berkuat kuasa 1 Jun kerana keperluan keluarga.
  • Beliau menyatakan keputusan ini dibuat selepas banyak pertimbangan dan perbincangan bersama keluarga, serta ingin memberi lebih sokongan kepada isterinya.
  • Dr Koh akan kekal sebagai Ahli Parlimen GRC Tampines dan mengambil masa beberapa bulan untuk bersama keluarga serta memikirkan langkah seterusnya.
  • Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Tan See Leng mengucapkan terima kasih atas sumbangan Dr Koh selama sedekad dalam pentadbiran politik Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Dr Koh Poh Koon, menyatakan beliau meletakkan jawatan daripada pentadbiran politik kerana keluarganya memerlukan beliau dalam keadaan yang "tidak sepadan dengan tuntutan" tugas-tugas rasminya.

Dalam satu catatan di Instagram pada Jumaat (22 Mei), Dr Koh berkata beliau berterima kasih atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk beliau memegang jawatan yang lebih tinggi dalam penggal pemerintah kali ini.

“Bagaimanapun, saya menjadi seorang suami, bapa, dan anak yang sering tiada di rumah sejak saya melangkah ke arena politik pada tahun 2015, kerana meletakkan keperluan Singapura dan penduduk kawasan saya melebihi keluarga sendiri,” tambah Anggota Parlimen GRC Tampines itu.

“Sudah terlalu lama isteri saya memikul sebahagian besar bebanan di rumah, sering kali terpaksa menjaga ibu bapa dan anak-anak kami seorang diri.”

Dr Koh akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Kerja dan Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan bermula 1 Jun, menurut pengumuman Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada petang Jumaat, yang memetik “sebab-sebab keluarga”.

Menerima peletakan jawatan tersebut, Perdana Menteri Lawrence Wong mengucapkan terima kasih kepada Dr Koh atas perkhidmatan beliau selama sedekad sebagai pemegang jawatan politik.

Dalam satu catatan berasingan di Facebook, Menteri Tenaga Kerja Tan See Leng berkata Dr Koh memutuskan untuk meletak jawatan daripada politik untuk kembali ke bidang perubatan.

Bagaimanapun, sebagai maklum balas kepada pertanyaan pihak Mediacorp, Dr Koh menyatakan beliau belum mempunyai rancangan tetap untuk kembali ke kerjaya perubatan buat masa ini.

Keputusan itu dibuat “dengan berat hati” selepas banyak pertimbangan dan perbincangan bersama keluarganya, kata Dr Koh dalam hantaran Instagram beliau.

Selepas baru-baru ini menyelesaikan tugasnya dalam Jawatankuasa Semakan Strategik Ekonomi, beliau merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk memfokuskan semula keutamaannya, kata beliau.

“Buat masa sekarang, keluarga saya memerlukan perhatian saya dalam satu keadaan yang sukar dibahagikan dengan tugas berat sebagai seorang anggota politik,” tambahnya.

Walaupun beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Ahli Parlimen (AP), beliau perlu memainkan peranan yang lebih besar untuk menyokong isterinya dengan lebih baik, dan “melakukan apa yang betul” demi keluarga mereka, katanya.

Beliau menambah bahawa beliau akan mengambil masa beberapa bulan akan datang untuk meluangkan masa bersama keluarga serta memikirkan langkah seterusnya.

Dr Koh, yang merupakan seorang pakar bedah usus besar, berkhidmat sebagai Menteri Negara Kanan bagi Tenaga Kerja sejak 2021 dan Menteri Negara Kanan bagi Kesihatan sejak 2025. Beliau juga sebelum ini pernah berkhidmat sebagai timbalan setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Beliau pertama kali bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Kecil Punggol East pada tahun 2013, di mana beliau tewas kepada calon Parti Pekerja (WP), Lee Li Lian.

Pada Pilihan Raya Umum tahun 2015, beliau menang sebagai sebahagian daripada pasukan PAP di GRC Ang Mo Kio dan bergelar Ahli Parlimen.

Pada tahun 2020, beliau menyertai pasukan GRC Tampines dan bertanding di kawasan undi yang sama pada pilihan raya tahun 2025.

Berkhidmat sebagai pemegang jawatan politik sejak menceburi bidang ini merupakan “satu penghormatan terbesar” dalam hidupnya, kata Dr Koh dalam video yang dimuat naik pada Jumaat.

“Saya bersyukur atas peluang untuk menyumbang kepada Singapura di pelbagai kementerian dan gerakan buruh, serta membawa perubahan sebagai sebahagian daripada pasukan yang dinamik,” katanya.

Dr Koh turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan barisan Kabinet yang lain atas bimbingan mereka, serta rakan sekerja dan kakitangan kementerian yang telah menyokongnya sepanjang tahun-tahun ini.

“Saya belajar banyak perkara daripada anda semua, dan saya akan sentiasa menghargai kerjasama serta persahabatan kita.”

Sambil menambah bahawa ini bukanlah ucapan selamat tinggal, Dr Koh berkata beliau akan terus melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada penduduk kawasannya sebagai Anggota Parlimen bagi GRC Tampines.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita