Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Serangan terhadap kapal di Laut Merah tidak jejas pelabuhan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Serangan terhadap kapal di Laut Merah tidak jejas pelabuhan SG

Gambar fail: Giuseppe Cacace/AFP

Diterbitkan : 21 Dec 2023 04:48PM Dikemas Kini : 21 Dec 2023 07:52PM
SINGAPURA: Pelabuhan-pelabuhan Singapura "masih tidak terjejas" dengan situasi di Laut Merah, di mana kapal-kapal komersial diserang oleh kumpulan Houthi, dedah Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Khamis (21 Dis).

MPA, bagaimanapun, akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan bersedia untuk membantu kapal-kapal yang mengalami kelengahan akibat sebarang lencongan.

"Jika gangguan itu berlarutan dan jadual kapal semakin terjejas, MPA dan rakan-rakan kongsi di pelabuhan-pelabuhan Singapura bersedia untuk membantu kapal-kapal yang datang ke Singapura untuk 'mengejar dan menepati' jadual mereka dan memudahkan pergerakan kargo," menurut MPA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

MPA turut menarik perhatian bahawa beberapa syarikat kontena utama sudah mula melencongkan kapal-kapal mereka dari Terusan Suez, yang menghubungkan Laut Merah dengan Mediterranean dan merupakan sebahagian daripada laluan perdagangan utama yang menghubungkan Eropah dan Amerika Utara dengan Asia.

Laluan alternatif lebih panjang yang dilalui kapal-kapal yang mengelilingi Cape of Good Hope menambah satu hingga dua minggu masa pelayaran, bergantung kepada destinasinya.

"Pada masa yang sama, beberapa syarikat minyak juga menghentikan buat sementara penghantaran melalui Laut Merah," menurut MPA, sambil menambah bahawa dianggarkan 10 peratus hingga 15 peratus daripada jumlah perdagangan global dan 30 peratus perdagangan kontena melalui Terusan Suez setiap tahun.

Menurut MPA, ia sudah menasihati pemilik, pengurus, pengendali dan nakhoda kapal yang berdaftar di Singapura untuk "menyemak pelan keselamatan kapal mereka dan melaksanakan langkah-langkah mengurangkan risiko yang diperlukan apabila melakukan perdagangan di kawasan itu".

"MPA tidak menerima permintaan bantuan daripada kapal-kapal berdaftar di Singapura yang melakukan pelayaran di Laut Merah," tambah MPA.

Houthi, yang menguasai sejumlah besar wilayah di Yaman sejak beberapa tahun lalu selepas tercetus perang, melancarkan dron dan peluru berpandu ke atas kapal-kapal antarabangsa yang belayar menerusi Laut Merah pada bulan lalu. Serangan itu disifatkan Houthi sebagai tindak balas terhadap serangan dan pencerobohan Israel ke atas Gaza.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan