Skip to main content

Singapura

Serangan siber SingHealth: SMS dihantar kepada lebih 700,000 pesakit

4,800 pesakit hubungi pusat panggilan SingHealth prihatin tentang pencerobohan data

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Jul 2018 09:48PM Dikemas Kini : 21 Jul 2018 09:54PM

SINGAPURA: SingHealth sudah menghantar pesanan ringkas SMS kepada lebih 700,000 pesakit untuk memaklumkan jika data mereka dicuri dalam serangan siber baru-baru ini, menurut pengendali kesihatan itu dalam satu kenyataan pada Sabtu (21 Julai).

Mereka merupakan pesakit yang telah mengunjungi klinik pakar dan juga poliklinik SingHealth dari 1 Mei 2015 hingga 4 Julai tahun ini, tempoh di mana data 1.5 juta pesakir dicuri dan ditiru penggodam.

Menurut SingHealth, pesanan SMS kepada baki pesakit akan dihantar dalam masa dua hari akan datang.

Kira-kira 150,000 pesakit tidak mendaftarkan nombor telefon bimbit mereka dengan SingHealth; individu-individu ini akan menerima surat dalam masa satu minggu untuk memaklumkan jika mereka terjejas.

Sementara itu, sekitar 4,800 pesakit menghubungi pusat-pusat panggilan SingHealth selepas menerima pesanan ringkas (SMS) dari penyedia khidmat jagaan kesihatan itu bahawa data ubat pesakit luar mereka telah diceroboh dalam serangan siber baru-baru ini.

Tiga pusat panggilan itu dibuka dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari dan dikendalikan oleh jururawat serta kakitangan pusat-pusat panggilan itu.

Mereka boleh bercakap dalam empat bahasa rasmi serta pelbagai dialek.

Seorang jurucakap SingHealth berkata pusat-pusat panggilan itu akan dibuka selama ia diperlukan sehingga apabila pesakit tidak lagi menghubunginya.

Beliau menambah, pada mulanya, kebanyakan pesakit prihatin tentang pencerobohan data tersebut, tetapi mereka berasa lebih tenteram setelah bercakap dengan kakitangan SingHealth.

Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam kalangan 1.5 juta pesakit yang datanya dicuri dalam pencerobohan data peribadi terbesar di Singapura.  

Sumber : CNA/NF/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita